Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANALISIS BERITA

Bakat terbaik bantu rancak ekon, wujudkan kerja lebih baik bagi rakyat

Aug 31, 2022 | 05:30 AM



SELAMA bertahun-tahun yang lalu, Singapura gigih membangunkan kepakaran mendalam dalam beberapa sektor pasaran tertentu sehingga berjaya menjadikan negara ini sebuah hab perniagaan dan kewangan global dalam peta dunia.



Namun, sedang ekonomi negara ini menjalani transformasi dan berkembang ke tahap yang selanjutnya, ia perlu terus menarik bakat asing terbaik dari seluruh dunia yang dapat membawa perubahan inovatif yang luar biasa dan seterusnya, mewujudkan pekerjaan yang baik dan bernilai tinggi untuk rakyat Singapura.



Bakat yang dicari ini haruslah mereka yang berkaliber tinggi dengan kepakaran dan kemahiran mendalam yang tiada atau terhad di Singapura pada masa ini.



Ini seperti pemenang Hadiah Nobel dan individu seumpamanya, ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan Sea, Encik Forrest Li, yang dapat menyumbang kepada sektor pertumbuhan di Singapura.



Individu seperti ini amat diperlukan, kata para pengamat dan pemain industri, terutamanya dalam bidang seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau yang semakin diberi tumpuan dan dorongan oleh pemerintah.



Kelmarin, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, mengumumkan beberapa peningkatan yang akan dibuat pada rangka kerja pas pekerjaan Singapura untuk menarik bakat terbaik dan karyawan teknologi berpengalaman dalam bidang yang kekurangan kemahiran.



Antaranya adalah untuk memperkenalkan Pas Rangkaian dan Kepakaran Luar Negara baru bagi menarik bakat terbaik, dengan pemohon perlu meraih gaji bulanan tetap sekurang-kurangnya $30,000, yang setanding dengan 5 peratus pemegang Pas Pekerjaan (EP) teratas.



Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group, Encik Saktiandi Supaat, berkata peningkatan tersebut diperlukan kerana persaingan bagi bakat sejagat telah meningkat dan negara-negara di rantau ini dan di dunia telah pun memulakan program lebih awal sedang kegiatan perniagaan kembali rancak.



Menarik bakat terbaik dalam pelbagai sektor akan memberi isyarat kepada dunia bahawa Singapura kekal terbuka, dan membantu mengembangkan sektor baru muncul tertentu yang tidak mempunyai bakat tempatan atau kemahiran sedia ada yang mencukupi, ujar beliau.



"EP peringkat tinggi ini akan merangsang inovasi lebih besar, peluang pertumbuhan dan berpotensi meningkatkan permintaan bagi bakat tempatan dalam pasukan mereka serta pemindahan keupayaan/kemahiran.



"Ini akhirnya boleh membawa kepada pertumbuhan gaji bagi bakat tempatan kita yang digajikan syarikat berbilang negara (MNC)," tambah Encik Saktiandi.



Peningkatan pada rangka kerja pas pekerjaan itu juga akan menjadikan ia lebih mudah bagi perniagaan menarik, menggajikan dan mengekalkan bakat terbaik dalam sektor berkaitan teknologi berbanding masa lalu, kata CEO Gemx Technologies, Encik Asmadi Ahmad.



Kenaikan dalam jumlah perniagaan sedemikian akan mewujudkan peluang bagi pengalaman bekerja sambil belajar dan pekerjaan tempatan bersama MNC tersebut, tambah beliau.



Namun, tidak dapat dinafikan pengumuman berhubung rangka kerja pas pekerjaan itu telah menimbulkan keprihatinan dalam kalangan rakyat Singapura, yang bimbang peluang pekerjaan mereka akan terjejas disebabkan persaingan antara pekerja tempatan dengan bakat asing.



Pada tahap makro, Encik Abdul Wahab Mohamed Yusoff, Naib Presiden Asia Pasifik di syarikat keselamatan siber Delinea, berkata: "Ia adalah jelas bahawa Singapura memerlukan bakat terbaik, terutamanya dalam bidang di mana negara ini tiada atau kekurangan kemahiran.



"Contohnya, pengkomputeran kuantum - bidang pembangunan komputer berdasarkan teknologi yang bertumpukan sekitar prinsip teori kuantum - di mana Singapura perlu menarik karyawan teknologi tinggi yang terbaik dari universiti terunggul di dunia seperti Institut Teknologi Massachusetts (MIT).''



Namun, yang menjadi keprihatinan adalah cara pelaksanaan pas pekerjaan dan proses menapis bakat asing yang datang ke Singapura, kata beliau.



"Saya setuju bahawa kita perlukan bakat terbaik bagi peranan dalam bidang teknologi. Namun, terdapat juga peranan dalam bidang teknologi yang tidak memerlukan kepakaran teknologi mendalam, contohnya dalam penjualan dan pemasaran.



"Adakah kita perlu bakat asing untuk peranan ini? Saya rasa tidak. Ini lebih kepada kemahiran perniagaan dan saya pasti, terdapat ramai bakat tempatan yang memiliki kemahiran ini, yang mana pengetahuan tempatan mereka lebih sesuai untuk negara kita. Kita perlu berhati-hati tentang siapakah yang kita bersedia membawa masuk.



"Siapakah akan memantau perkara ini dan adakah pemerintah akan meneliti permohonan mereka secara mendalam?" kata Encik Abdul Wahab, sambil menambah pemerintah juga harus menjadikan ia mandatori bagi bakat asing belajar memahami dan bersepadu dalam masyarakat tempatan.



Dr Tan dalam satu sidang media kelmarin berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan mendekati pemegang Pas Rangkaian dan Kepakaran Luar Negara dengan dekat semasa mereka berada di Singapura.



Tambahnya, fleksibiliti yang ditawarkan pas ini bertujuan membolehkan pemegang pas menyumbang secara bermakna kepada Singapura, dan tidak bermaksud untuk disalahgunakan sebagai dokumen lawatan atau pelancongan.



Terdapat juga persoalan sama ada peningkatan yang dibuat itu cukup untuk menarik bakat terbaik, lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan skim-skim yang ditawarkan negara lain.



Pakar ekonomi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, berkata Singapura tentu sekali mahu membawa masuk bakat sejagat yang sesuai dan mahu memilih yang terbaik.



Namun, oleh sebab laluan untuk dapat tinggal di Singapura adalah lama dan tidak pasti, akan ada beberapa tarikan bersaing daripada sistem imigresen di dunia Barat, yang secara amnya lebih terbuka memberikan hak kediaman berdasarkan kriteria yang jelas.



"Walau bagaimanapun, sekurang-sekurangnya, saya tidak fikir sistem Singapura kurang berdaya saing berbanding yang di Timur Tengah atau Asia, yang semua secara amnya juga lebih terbatas dari segi kediaman tetap.



"Pada akhirnya, kita perlu menilai dasar dengan sama ada ia membantu mempertingkat tenaga kerja dan daya saing kita, dan memberikan hasil yang lebih baik untuk rakyat Singapura," kata beliau.




" Ia adalah jelas bahawa Singapura memerlukan bakat terbaik, terutamanya dalam bidang di mana negara ini tiada atau kekurangan kemahiran.



Contohnya, pengkomputeran kuantum - bidang pembangunan komputer berdasarkan teknologi yang bertumpukan sekitar prinsip teori kuantum - di mana Singapura perlu menarik karyawan teknologi tinggi yang terbaik dari universiti terunggul di dunia seperti Institut Teknologi Massachusetts (MIT).''



- Encik Abdul Wahab Mohamed Yusoff, Naib Presiden Asia Pasifik di syarikat keselamatan siber Delinea.



"EP peringkat tinggi ini akan merangsang inovasi lebih besar, peluang pertumbuhan dan berpotensi meningkatkan permintaan bagi bakat tempatan dalam pasukan mereka serta pemindahan keupayaan/kemahiran.



Ini akhirnya boleh membawa kepada pertumbuhan gaji bagi bakat tempatan kita yang digajikan syarikat berbilang negara (MNC)."



- Encik Saktiandi Supaat, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >