Balik modal!, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:38
Syuruk
7:02
Zuhur
1:09
Asar
4:34
Maghrib
7:13
Isyak
8:29

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

MENJELANG AIDILFITRI

Balik modal!

Jun 02, 2019 | 05:30 AM

Kurang seminggu sebelum Lebaran menjelang, beberapa pegerai di bazar Hari Raya di serata pulau memberitahu Berita Minggu bahawa mereka mendapat sambutan menggalakkan dan berharap perniagaan terus rancak pada hari-hari terakhir Ramadan ini. Ikuti laporan NORMAN SAWI (normans@sph.com.sg) dan MUHAMMAD EDRIE RIZWAN (edrieam@sph.com.sg)

PERNIAGAAN di bazar perayaan di serata pulau terus rancak menjelang minggu terakhir Ramadan, terutama pada hujung minggu.

Malah, beberapa peniaga musiman yang ditemui Berita Minggu (BM), terutama pegerai berulang dan jenama yang sedia dikenali, berkata mereka ‘balik modal’ atau berjaya mendapat balik sewa gerai seawal minggu pertama.

Syed Uzair Syed Abu Bakar, yang memiliki gerai Broti SG di Bazar Utara di Woodlands, berkata perniagaan rancak dan beliau telah pun ‘balik modal’ atau meraih pendapatan yang cukup bagi menampung perbelanjaannya, termasuk sewa gerai sekitar $10,000.

“Nampaknya, setakat ini semua berjalan lancar, alhamdulillah... kami mendapat lebih banyak pelanggan daripada yang dijangka,” ujarnya apabila dihubungi BM.

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

“Tapi tentu sekali, kami menjangka jumlah pelanggan terus kekal atau bertambah pada hari-hari terakhir Ramadan nanti,” tambahnya, yang menyewa gerai buat tahun kedua berturut-turut di Bazar Utara.

Cik Asliza Salleh, pemilik gerai Cookies Valet di bazar berhampiran City Plaza pula berkata biskut Hari Raya yang dijualnya mendapat sambutan baik walau gerai beliau lebih jauh daripada bazar utama di Wisma Geylang Serai (WGS).

Menurutnya, sambutan itu membuatkan perniagaannya ‘balik modal’ pada minggu ketiga di bazar.

Namun, ada juga pegerai musiman, terutama yang kali pertama berniaga di bazar, yang melahirkan harapan agar sambutan kian rancak pada hari-hari terakhir Ramadan ini.

Encik Ismadi Mukhtar, yang bersama keluarganya mengendalikan gerai Mooktaz – menjual kuih dan barang perhiasan Hari Raya – di Bazar WGS berpendapat sedemikian.

Ini kali pertama Encik Ismadi, bekas pemain bola sepak nasional, berniaga di bazar.

“Jualan kami paling laris pada hujung minggu, berbanding hari biasa... kami juga menerima sokongan padu daripada keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya, yang berkata beliau telah berjaya ‘mendapat balik’ sewa gerai, tetapi belum lagi balik modal.

“Hasrat kami adalah belajar menambah pengalaman berniaga secara musiman ini, dan kami berharap dapat ‘break even’ pada akhir tempoh jualan,” tambahnya.

Persaingan bagi menarik perhatian pelanggan dan dolar pelanggan sengit tahun ini.

Hampir 2,000 gerai ditawarkan di sekurang-kurangnya 13 bazar di serata Singapura Ramadan ini, termasuk bazar sebulan dan bazar tempoh singkat atau ‘pop-up’.

Di Geylang Serai – yang sejak dulu lagi sinonim dengan bazar sempena Hari Raya – sekitar 800 gerai ditawarkan, termasuk 500 yang dikendalikan oleh WGS.

STRATEGI PIKAT PELANGGAN

Persaingan yang sengit itu mendorong pegerai bersikap inovatif dan menyemak strategi demi memikat pelanggan.

Sebagai contoh, Broti SG menambah lima minuman baru ke dalam menunya, termasuk yang berperisa kesukaan ramai seperti Teh Susu Gula Melaka bagi menarik perhatian pelanggan baru dan peminat setia.

Mereka juga menjenamakan semula produk mereka dan mempergiat usaha memasarkan gerai mereka, terutama di media sosial.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kami mencuba pelbagai cara bagi merancakkan perniagaan,” kata Syed Uzair.

Bersependapat, Encik Ismadi juga berkata Mooktaz menggunakan media sosial dan rangkaian kenalan peribadi untuk memasarkan produk mereka.

Cik Azliza akur, media sosial berperanan penting bagi merancakkan perniagaan.

Malah, perniagaannya berputik daripada Instagram.

Menurutnya, yang mula menjual biskut melalui dalam talian pada 2015, sokongan pelanggan setia dan selebriti di media sosial telah membantu merancakkan penjualan Biskut Rayanya.

Seorang lagi pemilik gerai di bazar yang menggunakan media sosial untuk memasarkan produk mereka ialah Inlove by TNS.

Menurut pemiliknya, Cik Nur Hidayah Abdul Rahim, beliau kerap mengemaskini Instagram bagi menguar-uarkan tawarannya kepada pelanggan.

Selain itu, beliau juga memastikan gerai di WGS sentiasa dihias cantik supaya lebih menonjol dan dapat menarik pelanggan.

Kata Cik Nur Hidayah, selain berniaga, beliau juga mendapatkan gerai di bazar perayaan ini bagi memperkenalkan jenama kepada golongan yang tidak menggunakan media sosial, seperti warga lebih tua.

Meluaskan jangkauan dan memperkenalkan khidmat mereka kepada pelanggan baru juga antara sebab Alfya Atelier mendapatkan gerai di Bazar Raya Utara di Woodlands.

Menurut pengarah kreatifnya, Cik Siti Khairiah Suradi, mereka mendapatkan gerai sebagai rakan kongsi masyarakat dan tidak dikenakan sewa.

Sebaliknya, mereka menawarkan khidmat yang bertujuan memberikan kesan sosial seperti menawarkan kelas menjahit percuma kepada pelanggan yang berbelanja $5 untuk membeli barangan jahitan mereka.

“Kami senang hati berada di sini kerana selain dapat memperluas jangkauan kami, kami juga dapat merasai suasana Hari Raya,” ujar Cik Siti Khairiah.

Pengalaman lebih baik yang dilalui pegerai setakat ini mungkin selari dengan perubahan yang diperkenalkan kepada Bazar Raya Geylang Serai tahun ini.

Demi menangani isu kos sewa gerai yang tinggi sejak beberapa tahun lalu, sewa bagi bazar perayaan utama telah dihadkan tahun ini.

Sewa bagi Bazar Raya Geylang Serai dihadkan kepada $14,000 tahun ini, sementara beberapa pegerai di Bazar Raya Utara di Woodlands membayar sekitar $10,000 untuk menyewa gerai mereka.

Lebih banyak barangan khusus Hari Raya dan makanan tradisional Melayu pula dijual di Bazar Raya Geylang Serai tahun ini, dengan semua makanan yang ditawarkan halal.

 


APA KATA PENIAGA

“Sokongan keluarga amat penting, terutama sekali waktu sibuk masa hujung minggu, mak cik, pak cik, sepupu dan mak bapak akan turun padang untuk tolong. Kami buka gerai di bazar sebab nak dedahkan jenama kami kepada orang yang lebih tua yang tak ada media sosial.”
– Cik Nur Hidayah Abdul Rahim, pemilik perniagaan pakaian, Inlove by TNS.

“Maklum balas yang positif daripada pelanggan setia dan selebriti sedikit sebanyak merancakkan penjualan biskut di Cookies Valet. Cookies yang kami jual pun berperisa kegemaran ramai, terutama sekali anak-anak muda yang lebih sukakan manisan seperti ini.”
– Cik Asliza Salleh, pemilik Cookies Valet.

“Pengalaman yang kami peroleh daripada bazar lalu amat membantu kami menyusun strategi bagi perniagaan tahun ini. Kami perkenalkan minuman baru dan mempergiat usaha pemasaran untuk menarik bukan sahaja pelanggan baru bahkan pelanggan lama.”
– Syed Uzair Syed Abu Bakar, pemilik Broti SG.

“Kami lihat banyak saingan tahun ini, bukan hanya daripada pegerai di Bazar Raya Geylang Serai, malah di bazar lain di serata Singapura. Hasrat kami adalah belajar menambah pengalaman berniaga secara musiman ini, dan kami berharap dapat ‘break even’ pada akhir tempoh jualan.”
– Encik Ismadi Mukhtar, pemilik bersama Mooktaz.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map