MASYARAKAT Melayu telah mencatatkan kemajuan menggalakkan dalam bidang pendidikan selama sedekad, dengan peratusan mereka yang mempunyai pendidikan universiti meningkat berganda kepada 10.8 peratus pada 2020 berbanding 5.5 peratus pada 2010.
Mereka yang memiliki diploma dan kelayakan profesional juga meningkat daripada 9.8 peratus pada 2010 kepada 16.9 peratus tahun lalu.
Demikian menurut dapatan Banci Penduduk 2020 yang dikeluarkan Jabatan Statistik Singapura (DOS) semalam.
Peratusan itu berdasarkan 150,000 isi rumah pelbagai bangsa yang mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut yang meneliti trend dan perubahan berkaitan ciri demografik, perkahwinan, pendidikan, bahasa dan agama dari 2010 hingga 2020.
Dapatan banci itu adalah yang pertama dan bahagian kedua akan dibentangkan esok.
Secara umum, dalam kalangan penduduk Singapura berusia 25 tahun dan ke atas, sekitar 58.3 peratus mempunyai kelayakan pos menengah atau lebih tinggi pada 2020, berbanding 46.5 peratus pada 2010, lantas membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan lebih baik.
Masyarakat Cina dan India juga menunjukkan kemajuan dalam pendidikan. Misalnya, peratusan masyarakat Cina yang mempunyai kelayakan universiti naik kepada 34.7 peratus pada 2020 berbanding 23.2 peratus pada 2010.
Bagi masyarakat India pula, ia adalah 41.3 peratus, berbanding 36.8 peratus pada 2010.
Ditanya mengenai peratusan masyarakat Melayu yang masih rendah berbanding masyarakat lain yang memasuki universiti, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, berkata pelbagai laluan pendidikan disediakan yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar seperti di peringkat Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan juga universiti kerana ia turut mengutamakan aspek kemahiran.
"Ia bukan sekadar mengenai kelayakan pendidikan tinggi tetapi juga memastikan anda mempunyai kemahiran yang tepat untuk memberikan pendapatan yang bersesuaian dengan set kemahiran, personaliti dan kebolehan anda," katanya.
Mengulas dapatan itu, Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata masyarakat Melayu harus berbangga dengan pencapaian itu.
Tetapi, beliau juga menyatakan perlunya masyarakat meneliti bidang-bidang diceburi para pelajar.
"Kita perlu teliti dengan lebih lanjut bidang-bidang yang diceburi, sama ada ia boleh memenuhi keperluan masa kini. Jika ada bidang yang kita rasa terlebih peratusannya, kita harus fikirkannya sebagai sebuah masyarakat,'' kata Dr Norshahril.
Dalam pada itu, dapatan Banci Penduduk itu juga menunjukkan bilangan penduduk keseluruhan Singapura - yang merangkumi warga dan penduduk tetap (PR) - meningkat dari 5.077 juta pada 2010 kepada 5.686 juta pada 2020.
Peratusan etnik penduduk kekal stabil dengan 74.3 peratus Cina, 13.5 peratus Melayu dan 9 peratus India.
Selain itu, dapatan itu turut mendapati bilangan mereka yang tidak berkahwin kian meningkat terutama dalam kalangan yang berusia 25 hingga 29 tahun.
Wanita juga mempunyai bilangan anak yang berkurangan berbanding sedekad lalu, dengan bilangan bayi yang dilahirkan secara purata berkurangan daripada 2.02 setiap wanita pada 2010 kepada 1.76 pada 2020.
SEKILAS DAPATAN BANCI PENDUDUK 2020 BERBANDING 2010
- Bilangan penduduk Singapura (warga dan PR): 5.686 juta (5.077 juta)
- Bilangan rakyat: 3.52 juta (3.23 juta)
- Penduduk semakin menua: 15.2% penduduk berusia 65 tahun dan ke atas (9%)
- Bilangan wanita berusia 25-29 tahun yang tidak berkahwin 69% (54%)
- Bilangan wanita yang mempunyai anak berkurangan; purata anak dilahirkan wanita berusia 40-49 tahun yang pernah berkahwin ialah 1.76 (2.02)
- Lebih ramai bertutur Bahasa Inggeris di rumah; 48.3% penduduk berusia lima tahun dan ke atas (32.3%)
- Bilangan masyarakat Melayu bertutur Bahasa Melayu di rumah 9.2% (12.2%) Kadar lulusan universiti naik seganda
Laporan lanjut: