Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:31
Maghrib
7:15
Isyak
8:27
Setempat

Banduan yang mahu cerai wajib jalani kaunseling

Jun 22, 2019 | 05:30 AM

BANDUAN yang sedang menjalani proses penceraian kini diwajibkan menjalani Program Kaunseling Perkahwinan (MCP), yang bertujuan menyelamatkan perkahwinan mereka, serupa dengan pasangan biasa yang lain.

Namun, sekiranya ia tidak berhasil, maka kaunselor MCP akan menyokong pasangan tersebut dalam proses penceraian mereka secara baik.

MCP dikendalikan Mahkamah Syariah (SYC).

Dianggarkan setiap tahun terdapat sekitar 50 banduan menjalani proses penceraian semasa di penjara, sebelum masuk penjara atau selepas dibebaskan, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan) Amrin Amin.

Bercakap kepada media di sesi penglibatan dengan 10 agensi MCP di Kelab Masyarakat Kampong Ubi semalam, Encik Amrin berkata banduan boleh rasa terjejas setiap kali pasangan di luar penjara meminta cerai.

"Ini kali pertama SYC menghulurkan bantuan dengan bekerjasama bersama kaunselor untuk mendampingi banduan yang sedang melalui proses perceraian.

"MCP sendiri telah memanfaatkan ramai pasangan yang sedang melalui proses perceraian.

"Daripada 3,200 kes perceraian (antara 2016 dengan 2018) yang dikendalikan SYC, hampir separuh tidak meneruskan proses penceraian itu selepas MCP," katanya.

Di bawah MCP yang diperkenalkan sejak 2004, mereka yang mempunyai anak-anak di bawah usia 21 tahun, akan dinasihatkan agar mempertimbang keperluan dan kebajikan anak mereka semasa membuat keputusan.

Mereka akan dilengkapi dengan kemahiran keibubapaan bagi mengurangkan konflik, justeru mengurangkan impak negatif penceraian ke atas anak.

Ia juga menghubungkan pasangan yang bercerai serta anak-anak mereka kepada sumber nasional dan masyarakat bagi sokongan tambahan dan berterusan.

MCP merupakan bahagian integral Bidang Tumpuan Kedua M³ (Muis, Mendaki and Mesra) berkaitan sokongan bagi banduan dan keluarga mereka.

Ditanya sekiranya lebih ramai banduan yang bercerai, Encik Amrin berkata:

"Saya rasa tidak mudah diramalkan kejayaan proses kaunseling itu kerana ia bergantung kepada faktor seperti bagaimana kededua pihak menerima kaunseling, langkah yang diambil, serta punca kerosakan rumah tangga itu. Ini semua mempengaruhi hasil kaunseling itu.

"Tapi sukar dinafikan bahawa sekiranya salah seorang di penjara, mungkin agak sukar bersatu semula. Ini kerana mereka tidak mempunyai masa untuk berbual dan huraikan segala masalah yang dihadapi.

"Jadi kaunseling ini beri wadah kepada mereka berbincang secara rasional dan seolah-olah adanya seorang moderator yang dapat membantu mereka capai agar huraian yang lebih baik."

Bagi menyelaras sokongan menyeluruh kepada banduan serta keluarga mereka, Pusat Kaunseling Jamiyah (JCC) dan AMP yang memantau rujukan SYC melibatkan banduan yang sedang bercerai, akan menghubungkan keluarga banduan tersebut kepada Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi sokongan lanjut selepas MCP.

Selain menemani keluarga dan anak-anak mereka semasa lawatan ke penjara, Pendamping Masyarakat Fitrah menawarkan sokongan emosi semasa masa-masa sukar sebegini.

Para pendamping juga mengadakan lawatan ke rumah bagi memahami keperluan keluarga tersebut dengan lebih baik dan menawarkan apa jua rujukan maklumat yang penting buat mereka.

Pada masa yang sama, Pejabat Fitrah juga telah memulakan satu skim yang diberi nama Kembali-ke-Fitrah di mana pegawai dan pendampingnya akan menyambut bekas banduan selepas mereka dibebaskan daripada penjara dan menawarkan pakej Kembali-ke-Fitrah kepada bekas banduan.

Pakej tersebut termasuk baucar fidyah yang boleh ditukar kepada keperluan harian di pasar raya, kad EZ-Link, sejadah dan satu pakej maklumat tentang bantuan yang disediakan untuk mereka.

Sejak skim itu bermula pada April lalu, sekitar 40 bekas banduan telah meraih manfaat daripadanya.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian