Bangsa, agama sasaran mudah penyebar berita palsu: Chee Hean

Pofma langkah penting dalam usaha negara kekang kepalsuan dalam talian dan jadikan ruang siber wadah yang lebih selamat

BANGSA dan agama merupakan sasaran mudah bagi penyebar berita palsu membahayakan masyarakat, kata Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.

Justeru, kata beliau, sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama, Singapura perlu menghapuskan berita palsu dalam talian yang boleh menimbulkan kesengsaraan.

Berkata demikian di majlis berbuka puasa tahunan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) bersama Masjid Khadijah semalam, Encik Teo berkata Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) yang diluluskan baru-baru ini, merupakan langkah penting dalam usaha negara ini mengekang kepalsuan dalam talian, dan menjadikan ruang siber wadah lebih selamat.

"Jika diayah ini tidak ditangani, ia boleh menimbulkan salah faham dan memburukkan, atau membesar-besarkan insiden atau isu kecil," tambahnya.

Sekitar 100 tetamu hadir di acara yang berlangsung di Auditorium Masjid Khadijah itu.

Mereka termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; para Anggota Parlimen (AP) Dr Yaacob Ibrahim dan Profesor Madya Dr Fatimah Lateef.

Beberapa pemimpin Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang hadir termasuk Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram; Presiden Muis, Encik Mohammad Alami Musa; Ketua Eksekutif Muis, Encik Esa Masood dan Timbalan Mufti, Dr Nazirudin Nasir.

Acara itu turut disertai beberapa pemimpin agama lain.

Memetik dua serangan pengganas di Christchursh, New Zealand dan di Sri Lanka, baru-baru ini, Encik Teo menekankan bahawa Singapura tidak boleh ambil mudah keharmonian antara kaum dan agama di sini.

"Serangan baru-baru ini di Christchurch dan Sri Lanka merupakan peringatan yang mengerikan bahawa pengganas dan pelampau terus mengancam kedamaian dan kestabilan, dan melakukan serangan bahkan di tempat-tempat ibadat. Mereka terus menghasut konflik dan menyebarkan kebencian mengikut garis bangsa dan agama.

"Mereka sering menyembunyikan agenda merbahaya dalam acara atau bahan siaran harian. Malangnya, kita telah mula melihat beberapa wanita dan remaja jatuh ke dalam perangkap mereka dan terpengaruh dengan diayah negatif mereka," katanya.

Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Ali Mohamed, yang berucap pula berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Muis, Kumpulan Jagaan Susul Antara Agensi (ACG) dan Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) untuk menggalak sifat toleransi antara semua kaum dan agama, serta melahirkan kefahaman yang lebih baik mengenai agama dan budaya masing-masing.

"Masyarakat di sini, terutamanya kumpulan agama, mempunyai peranan penting untuk dimainkan bagi menggalak kesepaduan sosial dan kehidupan berharmoni.

"Kita perlu terus berusaha untuk melindungi dan menghargai keamanan yang dinikmati masa kini, demi masa depan yang lebih cerah.

"Dalam mempertahankan keharmonian agama, RRG telah mendapatkan semua anggota dan rakan RRG, terutamanya ACG, agar komited dalam mencapai keharmonian kaum," katanya.