HUJAN berserta guruh melanda banyak kawasan di Singapura semalam, hingga banjir kilat berlaku di Ang Mo Kio dan Ekspreswe Rentas Pulau (PIE).
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata menerusi Twitter pada 5.18 petang bahawa banjir kilat berlaku di Ang Mo Kio Avenue 1 menuju ke Ang Mo Kio Avenue 2 selepas Ang Mo Kio Avenue 3.
Sekitar 40 minit kemudian, LTA berkata ada satu lagi banjir kilat di PIE menuju ke Tuas, dekat Ekspreswe Kranji atau jalan keluar Ekspreswe Bukit Timah.
Agensi air negara PUB juga mengeluarkan amaran banjir di beberapa tempat kawasan tengah Singapura.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengeluarkan amaran tentang hujan lebat pada 4.10 petang dan berkata bahawa hujan lebat boleh dijangka di bahagian utara, barat dan tengah Singapura selama sejam.
Menurut ramalan dua jam NEA, banjir berserta guruh dan angin kencang boleh dijangka antara 4 hingga 6 petang di banyak kawasan kecuali di bahagian timur negara.
Hujan juga menyebabkan PUB mengeluarkan amaran banjir di Tanjong Pagar Road, Craig Road, Gul Circle, Veerasamy Road dan Bishan Road. Kamera televisyen litar tutup PUB pula menunjukkan paras air meningkat melebihi 90 peratus di beberapa kawasan.
Khidmat Kaji Cuaca Singapura meramalkan sebelum ini bahawa lebih banyak hujan berserta guruh dijangka pada separuh kedua bulan ini, yang kebanyakannya dijangka berlaku pada sebelah tengah hari.