DALAM keadaan Cik Rose Enjong, yang kini sakit dan sudah dipotong satu kakinya, beliau tetap rasa bersyukur kerana masih dapat menikmati kasih sayang daripada keluarganya.
Pada usia 72 tahun kini, beliau gembira kerana berpeluang melihat cicitnya yang baru dilahirkan sekitar setahun lalu.
"Alhamdulillah saya syukur dengan segala nikmat yang diberikan," kata Cik Rose.
Pada sekitar 2008, kaki kiri beliau menjadi bengkak dan membesar akibat jangkitan kuman dan beliau telah dinasihatkan doktor di Hospital Tan Tock Seng untuk memotong kaki tersebut bagi mencegah jangkitan merebak ke bahagian tubuh badan yang lain.
Tatkala itu, Cik Rose juga mengalami penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.
"Ketika kaki saya besar itu, saya dalam kesakitan. Jadi apabila doktor nasihatkan saya potong kaki, saya setuju tetapi saya tidak fikirkan selepas kaki dipotong, macam mana saya hendak jalan," keluh Cik Rose.
Namun beliau bersyukur kerana sejak kakinya dipotong, salah seorang cucu lelakinya sanggup menjaganya.
Cucunya itu kini berusia 27 tahun, sudah lebih 13 tahun menjaga neneknya yang amat disayangi.
"Itulah, cucu lelaki saya yang telah menjaga saya sejak usianya 13 tahun. Semasa dia bersekolah, dia akan jaga dan temankan saya pada waktu malam.
"Dia juga yang bantu membersihkan rumah atau kadangkala, tolong masak mengikut arahan saya.
"Sekarang, dia masih jaga saya. Dia akan tolong saya pada waktu siang jika beliau tidak bekerja dan tidur di rumah bersama saya pada waktu malam. Dia jarang keluar rumah," kata Cik Rose.
Menceritakan tentang keluarganya, Cik Rose mempunyai dua orang anak, empat orang cucu dan seorang cicit.
Suaminya meninggal dunia pada 1993 akibat serangan jantung.
Kini, Cik Rose tinggal di sebuah flat sewa satu bilik di kawasan Edgefield Walk, dekat Punggol.
Sebelum ini, Cik Rose pernah tinggal di sebuah flat empat bilik, tetapi mengalami masalah membayar ansuran bulanan.
Lantas beliau menjual flat tersebut dan pernah menyewa rumah di pasaran terbuka.
Beliau juga pernah tinggal di Rumah Warga Tua Jamiyah, Darul Takrim, selama tiga tahun.
Beliau berpindah ke flat sewa yang sekarang pada 2017.
Menurutnya lagi, beliau boleh "dianggap masih sihat selepas dipotong kaki dan boleh ke bilik air sendiri dengan kerusi roda".
Namun kini, beliau sudah kurang kuat dan perlukan bantuan untuk dimandikan atau menukar lampin dewasa pakai buang.
Baru-baru ini, Cik Rose telah dimasukkan ke hospital dan ditahan selama sekitar enam bulan akibat penyakit kencing manis.
Beliau baru sahaja keluar dari hospital pada Julai 2021.
Katanya, beliau kini juga mengalami masalah kesihatan di bahagian paru-paru.
"Doktor kata badan saya ada banyak air. Jadi, saya perlu makan ubat yang membantu mengeluarkan air dalam badan.
"Kalau saya sudah makan ubat itu, saya banyak buang air kecil. Tetapi, kalau saya tidak makan ubat itu, saya cepat mengah atau rasa sesak," kata Cik Rose.
Ekoran masalah kesihatan Cik Rose, pihak hospital baru-baru ini telah membantu beliau mendapatkan perkhidmatan penjagaan rumah dari NTUC Health, di mana Cik Rose perlu membayar yuran subsidi sekitar $30 setiap bulan.
Dalam pada itu, Cik Rose juga sangat bersyukur kerana menerima bantuan zakat dari Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama sekitar 10 tahun.
Bantuan zakat dari Muis dihentikan ketika beliau tinggal di Darul Takrim.
Kini setelah berpindah ke flat sewa, bantuan zakat beliau sebanyak $240 sebulan diteruskan semula.
Selain itu, beliau turut layak untuk skim sokongan pemerintah, Skim Sokongan Warga Emas, di mana beliau menerima wang tunai sebanyak $900 setiap tiga bulan.
Rumah kebajikan Sunlove Home turut membantu beliau dengan menawarkan khidmat pengangkutan ke hospital dan memberinya makan tengah hari selama lima hari setiap minggu.
Mengulas tentang penerimaan bantuan zakat dari Muis, Cik Rose berkata:
"Alhamdulillah, dah ada bantuan zakat dari Muis ini, saya boleh bernafas. Sebab, saya tidak boleh bekerja.
"Pada orang lain, $200 lebih itu sikit, tapi pada saya, alhamdulillah. Saya boleh beli beras, boleh beli barang keperluan saya seperti lampin dewasa pakai buang, tisu badan basah dan sebagainya.
"Alhamdulillah, saya dapat bantuan dengan izin Allah swt," kata Cik Rose yang pernah bertugas sebagai tukang masak.
Lantas, Cik Rose ingin menasihatkan kepada golongan memerlukan agar tidak berasa malu untuk meminta bantuan zakat dari Muis jika mereka memerlukan.
"Pertolongan itu datang dengan izin Allah swt. Tetapi, kita mesti ikhtiar. Saya bersyukur pada umur dan keadaan saya sekarang, saya masih dipanjangkan umur dan dapat bersama keluarga saya," kata Cik Rose tersenyum.
"Alhamdulillah, dah ada bantuan zakat dari Muis ini, saya boleh bernafas. Sebab, saya tidak boleh bekerja.
Pada orang lain, $200 lebih itu sikit, tapi pada saya, alhamdulillah.
Saya boleh beli beras, boleh beli barang keperluan saya seperti lampin dewasa pakai buang, tisu badan basah dan sebagainya...
Alhamdulillah, saya dapat bantuan dengan izin Allah swt."
- Cik Rose Enjong, 72 tahun, penerima bantuan zakat dari Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama sekitar 10 tahun.