PEKERJA bebas anggota Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang diuji positif Covid-19 atau positif menerusi ujian ART dalam tempoh 11 Oktober hingga 31 Disember boleh memohon bantuan sekali sahaja hingga $200.
Bantuan ini adalah bagi anggota layak Persatuan Pekerja Bebas dan Bekerja Sendiri NTUC atau persatuan berkaitan NTUC.
Ini termasuk Persatuan Pejuang Penghantaran Kebangsaan (NDCA), Persatuan Instruktor dan Jurulatih Nasional, Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional, Persatuan Teksi Nasional dan Persatuan Karyawan Kandungan Kreatif, Visual dan Audio (Singapura).
Mengumumkan demikian semalam, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, menarik perhatian tentang sumbangan dan cabaran yang dihadapi pekerja golongan itu.
"Saya melihat rakan-rakan pekerja bebas kita bergelut dan mata pencarian telah terjejas oleh Covid-19 dan saya faham keresahan mereka mengenai ketidaktentuan untuk kembali ke masa-masa sebelum pandemik.
"Ia merupakan satu masa mencabar untuk anda sejak awal tahun lalu, namun demikian anda menunjukkan kecekalan dan ketabahan tinggi dalam tugasan harian anda. Terima kasih!"
Encik Ng berharap bantuan yang dihulur itu dapat meredakan beban mereka.
"Saya berharap skim bantuan sementara ini akan dapat sedikit sebanyak menolong anda," kata beliau dalam satu catatan Facebook semalam, sambil menasihatkan mereka yang memerlukan bantuan agar mendapatkannya daripada pasukan Unit Pekerja Bebas dan Bekerja Sendiri (U FSE).