Subuh
5:30
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Setempat0

KORONAVIRUS

Bantuan kewangan ceriakan keluarga ibu tunggal pada Ramadan, Syawal

Jun 07, 2020 | 05:30 AM

MEMBESARKAN tiga anak seorang diri dan menjadi pencari nafkah tunggal bukannya mudah.

Apatah lagi setelah sumber pendapatannya terjejas akibat penularan Covid-19.

Namun, Cik Rita (bukan nama sebenar), 44 tahun, berkata beliau terpaksa kekal kuat.

"Anak-anak saya perlukan saya, jadi kalau saya tak kuat, siapa yang akan tanggung mereka?" ujarnya yang mempunyai anak berusia antara tujuh tahun dengan 21 tahun.

Menceritakan pengalamannya, Cik Rita berkata sejak perceraiannya tiga tahun lalu, beliau perlu membahagi masa antara dua pekerjaan sambilan - penjaga bayi dan pentadbir di syarikat guaman - sementara mencari pekerjaan sepenuh masa.

Dalam pada itu, beliau turut berharap dapat ditawarkan pekerjaan sepenuh masa di tempat kerjanya.

Namun, nasib tidak menyebelahinya kerana bukan sahaja beliau diberhentikan kerja di pejabat Mac lalu, beliau juga tidak dapat menjaga bayi akibat langkah jarak selamat.

"Waktu itu, saya betul-betul tertekan. Saya menghadapi kekurangan dalam kewangan saya jadi saya perlu ikhtiar cara lain," katanya.

Justeru, beliau pun memulakan perniagaan dari rumah (HBB) menjual pes beku lauk Melayu sejak Februari lalu.

Beliau bergantung sepenuhnya pada perniagaan itu memandangkan itulah satu-satunya sumber pendapatannya yang tinggal.

Tetapi perniagaan itu turut terjejas akibat Covid-19 dan langkah pemerintah yang pada mulanya menyekat operasi HBB sepertinya.

Cik Rita merupakan antara penerima skim Pakej Bantuan Sementara atau TAP 2.0 di bawah AMP Singapura, yang mendapat sokongan daripada usaha mengumpul dana Team Solidarity.

Menerusi usaha ini, Cik Rita mendapat bantuan sosio-pendidikan bagi anak-anaknya yang ke sekolah dan turut menerima sumbangan wang tunai tahun ini, antara bantuan lain.

Baginya, bantuan kewangan ketika tempoh mencabar sebegini sesuatu yang amat dihargai, bahkan menambahkan keceriaan pada bulan Ramadan dan Syawal.

Menurutnya, bagi tahun-tahun lalu, beliau sentiasa membawa anak-anaknya ke masjid untuk berbuka dan sahur kerana tidak mampu memberi anaknya makan setiap hari.

"Saya bersyukur tahun ini saya sekurang-kurangnya dapat memberi anak saya makan di rumah. Saya tersentuh dengan usaha masyarakat yang peduli terhadap golongan seperti kami.

"Sebagai ibu, kita sentiasa mahu yang terbaik buat anak kita. Bantuan sebegini meringankan beban kewangan dan membolehkan ibu seperti saya melakukan lebih bagi anak-anak," ujarnya yang tidak dapat menahan sebak.

Memandang ke depan, beliau berharap perniagaannya akan lebih rancak lagi.

Ketika ditanya apa motivasinya, Cik Rita berkata:

"Prestasi pelajaran anak-anak saya sejauh ini Alhamdulillah semuanya cemerlang.

"Malah, salah satu anak saya akan ke universiti tahun depan.

"Ini yang memberi saya dorongan mahu terus memberikan yang terbaik."


SUKUR ADA YANG PEDULI

"Saya bersyukur tahun ini saya sekurang-kurangnya dapat memberi anak saya makan di rumah. Saya tersentuh dengan usaha masyarakat yang peduli terhadap golongan seperti kami.

Sebagai ibu, kita sentiasa mahu yang terbaik buat anak kita. Bantuan sebegini meringankan beban kewangan dan membolehkan ibu seperti saya melakukan lebih bagi anak-anak."

BANGGA DENGAN KEJAYAAN ANAK

"Prestasi pelajaran anak-anak saya sejauh ini Alhamdulillah semuanya cemerlang.

Malah, salah satu anak saya akan ke universiti tahun depan.

Ini yang memberi saya dorongan mahu terus memberikan yang terbaik."

- Cik Rita (bukan nama sebenar), ibu tunggal tiga anak.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian