Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bantuan untuk pekerja asing terjejas yang sambut Ramadan

Apr 21, 2020 | 05:30 AM



SEDANG umat Islam di seluruh dunia sedang berada di ambang Ramadan, tentunya ada sebahagian orang dalam keadaan tersepit dan kecemasan.



Kalangan golongan ini misalnya adalah pekerja asing beragama Islam yang terjejas dengan pandemik Covid-19.



Sedang kebanyakan kes baru jangkitan Covid-19 di sini kebelakangan ini melibatkan pekerja asing yang tinggal di dormitori, mereka yang masih sihat turut diarah untuk tidak keluar rumah.



Sementara itu, banyak bantuan telah diusahakan oleh pelbagai pihak termasuk ramai rakyat Singapura dan badan sukarela agar pekerja ini dapat makanan untuk berbuka puasa dan bersahur selain bantuan yang disediakan pemerintah.



Sebuah pasukan petugas berbilang agensi yang dibentuk membantu pengendali dormitori pekerja asing menjaga keperluan penduduknya misalnya kini sedang menyelaraskan usaha bersama beberapa badan bukan pemerintah (NGO) yang telah tampil untuk menjaga kesejahteraan pekerja asing ini dengan lebih baik.



Mereka akan antara lain bekerjasama dengan Alliance of Guest Workers Organisation (AGWO), It's Raining Raincoats (IRR), Geylang Adventures and Crisis Relief Alliance untuk mendekati lebih ramai pekerja asing termasuk pekerja di kilang yang sebahagiannya diubah menjadi dormitori (FCD).



Menurut komander pasukan petugas itu, Brigadier-Jeneral (BG) Seet Uei Lim, minggu lalu, mereka juga akan akan bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk memenuhi keperluan pekerja asing Muslim yang bekerja di sini dengan Ramadan yang bakal tiba beberapa hari lagi.



Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), sekitar 180,000 pekerja asing yang memegang permit kerja dan S Pass serta anggota keluarga mereka telah dikenakan perintah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).



Daripada jumlah itu, sebahagian besar merupakan pemegang permit kerja yang tinggal di FCD, kuarters sementara di tapak binaan atau premis penginapan privet seperti rumah kedai.



MOM turut berkata sebelum ini bahawa antara usaha yang telah dijalankan beberapa NGO di sini termasuk menghantar 7,000 hidangan makanan sehari kepada pekerja di FCD serta menyelaras dan menghantar barangan yang diderma orang awam seperti makanan, beg, sabun dan keperluan harian lain kepada pekerja yang memerlukannya.



Ini turut melengkapi usaha pasukan petugas yang sedang menyelaras usaha membantu pekerja asing ini bersama NGO tersebut.



Namun lebih daripada itu, pekerja asing ini juga amat memerlukan kata-kata semangat untuk membantu mereka mengharungi masa yang sukar dan tidak menentu ini, kata timbalan presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) Abu Bakar Mohd Nor.



Pengerusi firma simpanan 'cloud' InfoFabrica Holdings Pte Ltd itu turut mengenali ramai pekerja asing menerusi peranan yang dimainkannya semasa bertugas di sebuah syarikat sebelum ini dan masih berhubungan dengan mereka sehingga kini.



"Sekarang ini, mereka bimbang dan keluarga mereka juga risaukan tentang mereka, jadi saya cuba tenangkan mereka. Ini yang amat diperlukan mereka buat masa ini.



"Dengan kerja binaan dihentikan dan kebanyakan mereka tidak bekerja buat sementara waktu, mereka akan menghabiskan Ramadan ini di dormitori.



"Oleh itu, saya minta mereka untuk tabah menghadapi dugaan ini dan menjaga satu sama lain," ujar Encik Abu Bakar.



Tambahnya, perang terhadap koronavirus ini hanya akan dimenangi jika setiap individu kekal bersatu.



Kelmarin, Hospital Besar Sengkang (SKH) memuat naik video di laman Facebook mereka yang menunjukkan seorang doktor bernama Dr Muntasir Mannan Choudhury bercakap dengan pekerja asing di sebuah dormitori.



Beliau memberi jaminan kepada pekerja itu bahawa beliau dan rakan kerjanya ada untuk menjaga mereka dan meminta pekerja itu jangan bimbang.



Berkongsi beberapa panduan, Dr Muntasir antara lain meminta mereka menjaga kebersihan dengan kerap mencuci tangan, lebih-lebih lagi semasa hendak bersembahyang setiap hari.



Sementara itu, pekerja asing Muslim di sini yang turut menyingsing lengan memakmurkan masjid di sini, di samping tugas berat sektor binaan dan pembersihan, pasti akan mengalami Ramadan yang berbeza berbanding sebelum ini.



Pengerusi Masjid Khadijah, Ustaz Ali Haji Mohamed, berkata mereka selalunya menyediakan makanan bagi lebih 400 pekerja asing untuk berbuka puasa di masjid itu setiap hari semasa Ramadan dan pekerja ini turut membantu menguruskan jamuan berbuka puasa.



Tahun ini, Ustaz Ali yang juga Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) berkata kumpulan itu akan berkongsi panduan menerusi siri video Ramadan di Facebook.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >