BALI: Banyak negara yang hadir di Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat (FMCBG) Kumpulan 20 (G20) telah mengutuk tindakan pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan menuntut peperangan itu dihentikan.
Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan hos G20, Indonesia, semalam sebagai menutup mesyuarat tersebut.
Pertemuan dua hari di Bali, Indonesia itu gagal menghasilkan satu kenyataan bersama setelah menteri dan gabenor yang hadir tidak dapat mencapai persetujuan mengenai peperangan yang dicetuskan Russia itu.
Negara-negara Barat meletakkan tekanan ke atas Russia ekoran pencerobohan itu, mendakwa Moscow bertanggungjawab mengakibatkan kejutan besar ke atas ekonomi global, sambil turut menuding jari ke atas teknokrat negara itu yang bersubahat dalam jenayah-jenayah perang yang dilakukan.
"Ramai anggota bersetuju bahawa pemulihan ekonomi global telah tergendala dan kini ia berdepan dengan cabaran besar akibat peperangan Russia ke atas Ukraine, yang telah dikutuk sekeras-kerasnya, selain menuntut peperangan dihentikan," kata Indonesia dalam pengisytiharannya.
Jakarta, yang telah gigih mengimbangi dasar luarnya yang neutral dengan tanggungjawabnya menjadi hos sidang G20 November ini, menggantikan kenyataan bersama dengan kenyataan pengerusi sepanjang 14 perenggan, yang turut disertai dua bahagian mengenai perbezaan yang dilahirkan anggota-anggota mesyuarat itu.
Kenyataan Indonesia itu juga menekankan keprihatinan anggota-anggota G20 terhadap keselamatan makanan dan tenaga global. - Reuters.