Bapa akui pukul bayi hingga tempurung kepala retak

SEORANG bayi berusia enam bulan yang menangis di riba ibunya mengalami keretakan di tempurung kepala akibat dipukul bapanya.

Kelakuan ganas pada 2016 itu menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecacatan tetap dan memerlukan bantuan bagi fungsi harian seumur hidupnya.

Budak lelaki itu kini berusia dua tahun dan lapan bulan tetapi usia perkembangannya sekitar empat bulan. Dia tidak boleh duduk, bergerak, pusing atau tiarap sendiri.

Dia juga perlu diberi makan melalui tiub, mahkamah diberitahu.

Bapanya yang berusia 30 tahun dan bekerja sebagai pemandu mengaku bersalah di mahkamah hari ini (8 November) kerana menyebabkan kecederaan teruk ke atas anak kandungnya.

Dia tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti kanak-kanak itu.

Kejadian tersebut berlaku pada awal pagi 26 Ogos 2016.

Bapa tiga anak itu sedang tidur di flatnya di Bedok North apabila tangisan bayi itu mengejutnya.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Grace Chua memberitahu Hakim Daerah Eddy Tham: "Tertuduh memekik 'diamlah, diamlah. Nanti aku ada kerja, kau buat bising, aku tak boleh tidur', dan memukul mangsa sekali di kepala dengan tangan kanannya."

Isteri lelaki itu yang berusia 26 tahun memeluk erat anaknya, yang menangis dengan lebih kuat.

Tidak lama kemudian, bayi itu muntah sebelum tertidur.

Dia kelihatan normal apabila terjaga keesokan hari sekitar 8 pagi namun apabila ibunya memeriksanya sekitar lima jam kemudian, dia kelihatan lemah dan separuh sedar.

Kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) menaiki ambulans.

Skan CT kepalanya menunjukkan dia mempunyai beberapa keretakan tempurung.

Dia juga mempunyai cecair lebihan di dalam otaknya dan segera dirujuk ke jabatan bedah saraf.

Bayi itu dibenarkan pulang pada 2 Mac tahun lalu, sekitar tujuh bulan selepas kejadian tersebut.

Dia kini tinggal bersama ibu-bapa titipan yang menerima bantuan kewangan daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta Dana Teknologi Bantuan, sebuah skim yang dibiayai pemerintah dan ditadbir SG Enable.

DPP Kumaresan Gohulabalan menggesa hakim agar memberi lelaki itu hukuman penjara sekurang-kurangnya lima setengah tahun dan enam sebatan.

Peguam bela Shehzhadee Abdul Rahman, yang ditugaskan ke kes itu di bawah Skim Bantuan Guaman Jenayah, meminta hukuman penjara empat tahun dengan enam sebatan.

Hukuman dijangka dijatuhkan esok.

Mereka yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan teruk boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda atau disebat.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:49
Zuhur
12:52
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:06
3 HR PSI: 65
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.