Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

SIRI LAPORAN ANTIDADAH: KERJASAMA ANTARA BERITA HARIAN/BERITA MINGGU DENGAN BIRO NARKOTIK PUSAT (CNB)

Bantu pesalah jauhi dadah

Jan 12, 2020 | 05:30 AM



Dalam membantu penagih kembali ke pangkal jalan, banyak usaha dilakukan badan-badan yang ditubuhkan masyarakat. Ada merupakan pelajar, ada juga bekas penagih sendiri yang melakukan usaha tersebut dengan tujuan membimbing pesalah atau membantu keluarga mereka. Ikuti laporan NUR HUMAIRA SAJAT , HAZIRAH NURFITRAH HANIFAR dan NUR FATHIN AWALLUDIN.



USAHA BEKAS PESALAH I



'Bapak havoc' kini bersihkan masjid, bantu belia berisiko



PAKARA Happening Team.



Seperti namanya yang 'happening', kumpulan ini dibentuk berdekad lalu dengan tujuan yang tidak sihat: bergaduh dengan kumpulan lain, menimbulkan havoc ke mana mereka pergi, dan melakukan kegiatan gelap termasuk terlibat dalam dadah.



Namun semua itu menjadi sejarah setelah ketujuh-tujuh ahli kumpulan itu yang sudah bergelar "bapak orang", sedar mereka perlu insaf dan berubah sikap ke arah kebaikan.



Justeru terlahirlah Pakara Happening Team yang meskipun mengekalkan nama yang sama, mempunyai nafas baru, lebih sedekad lalu.



Daripada membuat kacau bilau, Pakara Happening Team kini menggantikan kegiatan lama mereka sewaktu zaman silam dengan kerja amal, tidak kira membersihkan masjid, membantu belia berisiko ataupun mendekati pesalah serta bekas pesalah dadah.



Ketika dihubungi Berita Minggu, pengasas bersama Pakara Happening Team, Encik Abdul Malik Marwi berkata: "Kami memutuskan untuk ubah haluan kerana masing-masing sudah matang... kami pun tanya diri kami sampai bila kita nak macam gini?



"Lagipun lebih ramai anak muda yang sertai kami, jadi kami tak nak jadi contoh yang buruk."



Meskipun Encik Malik tidak pernah ditangkap atas kesalahan dadah, beliau membesar dalam persekitaran yang dibelenggu dadah, dan pernah "cuba" dadah.



Namun beliau berhenti setelah melihat kesan buruk bahan itu.



Rakannya terjun daripada tingkap gara-gara di bawah pengaruh dadah, dan abangnya pula ditangkap atas kesalahan dadah.



Pakara Happening Team, yang mula dengan tujuh orang, terdiri daripada mereka daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas pesalah dadah.



Kini, ia sudah berkembang kepada lebih 20 orang.



Fokus kumpulan ini jelas, iaitu untuk membuat kerja kemasyarakatan bagi semua lapisan masyarakat.



"Bila seseorang itu buat kerja amal, akan timbul kesedaran dalam dirinya, kerana kita bukan sekadar menolong, tetapi dapat juga lihat keadaan kehidupan orang lain," ujar bapa lima anak itu.



Baru-baru ini, mereka telah mengumpulkan duit daripada orang ramai, termasuk anggota Pakara Happpening Team untuk didermakan kepada Tadika Muhammadiyah.



Dalam pada itu, mereka juga rajin mendekati penghuni rumah peralihan Jamiyah Darul Islah dalam tiga bulan sekali atau sebulan sekali, dan sekaligus menganjurkan acara perayaan seperti menganyam ketupat.



"Kami ke Darul Islah dengan tujuan untuk rapatkan silatulrahim... jika masyarakat tak pandang mereka, mereka akan rasa terbuang.



"Sekurang-kurangnya mereka tahu ada orang di luar sana yang ambil berat tentang mereka. Itu yang kami nak sampaikan," ujar pemandu bas itu.



Encik Malik berkata mereka merancang untuk bekerjasama dengan kumpulan sokongan bekas pesalah dadah Reforming Support Group (RSG), untuk mendekati lebih ramai bekas pesalah dadah, terutama mereka yang merupakan pesalah bentan.



Antara inisiatif yang akan dijalankan adalah lawatan rumah setiap minggu.



"Ada yang dah keluar penjara tapi cari kawan lama. Jadi kami nak jadi kawan mereka. Kalau boleh kami nak bimbing mereka untuk sama-sama ke jalan yang benar," ujarnya.



Menurut Encik Malik, lebih sokongan yang diperlukan daripada masyarakat kerana sokongan tidak mencukupi yang kadangkala menyebabkan bekas pesalah untuk "masuk balik" dalam penjara.



"Saya juga kerap nasihat anak-anak muda yang ikut kami untuk lakukan benda yang baik supaya masyarakat tak pandang serong. Tunjuk kepada masyarakat bahawa kita pun ada arah tujuan," katanya.



" Kami memutuskan untuk ubah haluan kerana masing-masing sudah matang... kami pun tanya diri kami sampai bila kita nak macam gini? Lagipun lebih ramai anak muda yang sertai kami, jadi kami tak nak jadi contoh yang buruk....Bila seseorang itu buat kerja amal, akan timbul kesedaran dalam dirinya, kerana kita bukan sekadar menolong, tetapi dapat juga lihat keadaan kehidupan orang lain. 
- Encik Abdul Malik Marwi, pengasas bersama Pakara Happening Team.




USAHA BEKAS PESALAH II



Dekati belia untuk jauhi dadah



DULU mereka menjual dadah, kini mereka pula memainkan peranan menghentikan orang lain daripada melakukan kesalahan serupa.



Revive SG adalah kumpulan yang ditubuhkan Encik Mohammed Iqbal Ayob Bharoocha dengan tujuan mendekati belia dan menghindari mereka daripada penyalah penggunaan dan pengedaran dadah.



Terdiri daripada bekas penagih dan pesalah dadah, kumpulan itu dimulakan pada 2016 sebagai kumpulan No More Locked Up (Tidak Lagi Dikurung) yang menyediakan sokongan rakan sebaya bagi membantu bekas pesalah peluang mempertingkatkan diri mereka.



Mereka memperhatikan bahawa trend belia yang menjadi pengedar dadah kian berani.



"Senang kata, belia sebegini semakin berani. Bukan sekadar mengambil dadah sahaja, sekarang mereka tidak takut mengedar dan menjual dadah.



"Kesalahan inilah yang boleh menyebabkan mereka dihukum mati," kata Encik Iqbal.



Beliau menubuhkan Revive SG pada 2017, dengan tujuan mendekati belia dan mendidik mereka tentang risiko mengambil dan mengedar dadah.



Satu program yang dianjurkan dan dianggap antara yang paling berjaya, adalah sesi perbincangan antara belia yang berisiko dan ibu bapa mereka.



Menerusi program ini, ibu bapa atau keluarga belia berisiko akan menghubungi Revive SG terlebih dahulu untuk membincangkan situasi dan masalah yang mereka hadapi.



Jika mereka mendapati bahawa keluarga itu sudi bekerjasama demi membantu belia terlibat, mereka akan bertemu dan mengadakan perbincangan terbuka.



Menurut Encik Iqbal, pendekatan mereka berkesan kerana sebagai bekas pesalah, mereka dapat mengaitkan diri mereka dengan situasi belia itu dan ini menjadikan seni pertemuan berlangsung secara selesa, terus terang dan jujur.



"Sudah tentu, ibu bapa biasanya akan terkejut mendengar pengakuan anak mereka yang terlibat kerana ada yang tidak boleh bayangkan anak mereka telah melakukan kesalahan berkaitan dadah.



"Tetapi dengan perbualan yang jujur itu, hubungan dan komunikasi antara ibu bapa dan anak akan diperkukuh dan mereka dapat membantu dan menghentikan anak mereka daripada melakukan kesalahan itu lagi," kata Encik Iqbal.



Revive SG juga bekerjasama dengan kumpulan dan pertubuhan lain yang mempunyai misi sama.



Pada 28 Disember tahun lalu, mereka bekerjasama dengan Perkhidmatan Masyarakat Pekak untuk menganjur acara Kembali ke Sekolah.



Dalam program itu, belia di kawasan Jalan Kukuh boleh bergunting rambut dengan percuma dan diberi barang sekolah seperti beg sekolah dan alat tulis baru dalam persiapan untuk tahun sekolah baru.



Revive SG juga terlibat dalam satu program yang dikendalikan rumah peralihan Darul Islah yang dipanggil Caravan of Hope, bertujuan untuk membantu belia berisiko kembali ke pangkal jalan.



Namun membantu belia sebegini bukan tanpa cabaran.



"Satu cabaran yang ketara bagi kami adalah menghadapi kumpulan musuh seperti pengedar dadah dan samseng.



"Keadaannya adalah seperti kami berpindah pasukan. Dulu, kami menyebelahi mereka tetapi sekarang, kami menarik orang daripada mereka dan menghalang belia daripada menyertai mereka," kata Encik Iqbal.



Revive SG juga mendapat sokongan daripada pesalah yang sedang di penjara.



"Mereka akan menulis surat kepada kami, memberi kami motivasi dan memberitahu bahawa mereka ingin menyertai kami selepas mereka dibebaskan daripada penjara," kata Encik Iqbal.



Sokongan daripada seluruh masyarakat amat penting bagi Revive SG untuk terus memperjuangkan misi.



Encik Iqbal menggesa ibu bapa terutamanya untuk memainkan peranan dalam menghentikan belia dalam masyarakat kita daripada melibatkan diri dalam alam dadah dan jenayah.



"Satu cara bagaimana masyarakat boleh menyokong kami adalah dengan menyebarkan tentang usaha kami, supaya ibu bapa belia berisiko dapat menghubungi kami dan kami dapat membantu mereka," kata beliau.



Sudah tentu, ibu bapa biasanya akan terkejut mendengar pengakuan anak mereka yang terlibat kerana ada yang tidak boleh bayangkan anak mereka telah melakukan kesalahan berkaitan dadah. Tetapi dengan perbualan yang jujur itu, hubungan dan komunikasi antara ibu bapa dan anak akan diperkukuh dan mereka dapat membantu dan menghentikan anak mereka daripada melakukan kesalahan itu lagi.
- Encik Mohammed Iqbal Ayob Bharoocha yang menubuhkan Revive SG.




USAHA PELAJAR



Usaha pelajar NUS memperkasa belia bermasalah



MEMPERKASA belia berisiko sekali gus mengubah salah tanggap terhadap mereka.



Itulah antara matlamat salah satu inisiatif jangkauan masyarakat badan pelajar Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS) yang dikenali sebagai NUS #PARADIGMA.



Inisiatif itu yang diketuai mahasiswa NUS bertujuan memberi inspirasi kepada belia berisiko agar mencapai potensi mereka sepenuhnya.



Seramai 40 sukarelawan mahasiswa terlibat sama dalam #PARADIGMA tahun ini.



Dalam wawancara e-mel dengan Berita Minggu, pengarah projek, Encik Mohd Saifudin Mohd Ali, 22 tahun, berkata aktiviti yang dirancangkan dipandu oleh tiga objektif utama.



Pertama, mereka mahu memberi peluang kepada semua peserta untuk berinteraksi, belajar daripada satu sama lain dan menyumbang semula kepada masyarakat.



Kedua, mereka mahu mencabar stereotaip sedia ada berkaitan belia berisiko dan bekas pesalah.



Ketiga, mereka mahu menggalak bekas pesalah terus memainkan peranan aktif dan positif dalam masyarakat.



Dalam dua edisi #PARADIGMA yang diadakan sebelum ini, aktiviti-aktiviti yang membantu para belia dan bekas pesalah mengenali diri serta memahami kepentingan bekerjasama telah diterapkan.



Ini dilakukan melalui aktiviti sukan bot naga yang dilakukan bersama oleh para belia, sukarelawan dan pendamping.



Mereka juga telah mengemas rumah golongan kurang bernasib baik.



Selain itu, untuk memastikan belia berisiko itu membina rangkaian sokongan kukuh dengan merapatkan hubungan kekeluargaan mereka.



Ini dilakukan menerusi aktiviti membuat kuih.



"Tahun ini, kami mengekalkan aspek penting dari tahun-tahun lepas, misalnya menjalin hubungan keluarga yang utuh dan mengenali diri sendiri.



"Tapi fokus kami kali ini lebih kepada kemahiran bermanfaat yang boleh digarap dan dikembangkan para belia ini," ulas Encik Saifudin, yang juga merupakan mahasiswa tahun kedua jurusan Fizik.



Jelasnya, ini akan dilakukan dalam tiga fasa termasuk mengadakan sesi perkongsian oleh anggota Reforming Support Group (RSG), kumpulan sokongan bagi bekas penagih dadah dan anggota kumpulan samseng; bengkel kerajinan kulit dengan perusahaan sosial tempatan, The Project Nomad; dan interaksi dengan orang awam untuk meningkatkan kesedaran serta mengumpul dana bagi Hab Pendidikan Khas My Inspiring Journey (MIJ).



Ditanya apakah yang mendorong anak muda sepertinya dan anggota #PARADIGMA lain mahu memperjuangkan isu penyalahgunaan dadah, Encik Saifudin berkata:



"Ia (dadah) merupakan isu yang semakin ketara di Singapura terutama di kalangan belia.



"Kami percaya adalah penting untuk memperkasa belia yang sudah pun terjebak dalam situasi itu dan memberi sokongan kepada mereka agar mereka dapat kembali ke jalan yang betul.



"Melalui inisiatif kami...kami lebih fokus terhadap bagaimana kami boleh membimbing belia-belia ini untuk berubah dan membangunkan diri bagi masa depan mereka."



Dalam peperangan menentang dadah yang lebih luas, #PARADIGMA mahu menyediakan peralatan dan inspirasi bagi perjalanan pemulihan para belia serta memperkasa mereka agar dapat melakukan perubahan dalam kehidupan peribadi dan orang lain.



Mereka juga mahu membentuk masyarakat yang lebih inklusif agar dapat meningkatkan reintegrasi, sekali gus mengurangkan kadar kebentanan.



" Ia (dadah) merupakan isu yang semakin ketara di Singapura terutama di kalangan belia. Kami percaya adalah penting untuk memperkasa belia yang sudah pun terjebak dalam situasi itu dan memberi sokongan kepada mereka agar mereka dapat kembali ke jalan yang betul. Melalui inisiatif kami...kami lebih fokus terhadap bagaimana kami boleh membimbing belia-belia ini untuk berubah dan membangunkan diri bagi masa depan mereka.
- Pengarah projek #PARADIGMA, Encik Mohd Saifudin Mohd Ali.




MAHU KEMBALI KE PANGKAL JALAN? MASYARAKAT SEDIA MEMBANTU SIRI LAPORAN ANTIDADAH



Persatuan Jagaan Lanjut Singapura (Saca)

Talian: 6294-2350 / 6294-2763

Alamat: 81 Dunlop Street, Singapore 209408

E-mel: help@saca.org.sg



Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana)

Talian: 6732-1122

Alamat: 2 Sengkang Square Sengkang Community Hub #05-01 Singapore 545025

E-mel: sana@sana.org.sg



Persatuan Syarikat Kerjasama Perusahaan dan Perkhidmatan (Iscos)

Talian: 6743-7885

Alamat: 237 Alexandra Road, #04-19 The Alexcier, Singapore 159929

E-mel:

– Anak-anak dan keluarga: fgp@iscos.org.sg

– Perkhidmatan Ahli/Sokongan & Bimbingan/Latihan & Pekerjaan): ms@iscos.org.sg




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >