Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Barang kemas pereka S'pura kembara ke Hollywood

Lady Gaga, Nicole Kidman, Kate Hudson dan Rita Ora antara selebriti yang gayakan aksesori mewah State Property
Oct 28, 2022 | 07:41 AM



DARIPADA seorang lulusan ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Reka Bentuk Perindustrian di Universiti Nasional Singapura (NUS) yang pernah impikan tugas mereka cipta kereta, Encik Afzal Imram beralih pula sebagai usahawan dan pereka bentuk barang kemas.



Bersama isterinya, Cik Lin Ruiyin, 32 tahun, yang merupakan lulusan reka bentuk barang kemas dari institusi seni, Central Saint Martins - Universiti Seni London, mereka membangunkan jenama State Property yang berpangkalan di Singapura namun berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah.



Koleksi barang kemas kontemporari yang menggabungkan rekaan moden yang memanfaatkan teknik inovatif dengan seni ketukangan tradisional ini juga menjadi pilihan beberapa selebriti Hollywood.



Ini termasuk penyanyi dan pelakon, Lady Gaga; pelakon, Nicole Kidman dan Kate Hudson; serta penyanyi dan penulis lagu, Rita Ora.



Ada yang menggayakan anting-anting manakala ada pula yang menyarung cincin State Property.



Turut bergaya dengan barang kemas jenama ini adalah mantan Wanita Pertama Amerika Syarikat, Cik Michelle Obama, yang juga seorang peguam dan penulis buku.



Sempena penglibatannya dalam pesta barang kemas dan jam tangan berprestij Asia, UltraLuxe, Encik Afzal, 33 tahun, berkongsi tentang perjalanannya dan isteri membangun jenama yang kini turut bertakhta di Hollywood.



UltraLuxe berlangsung di TENT@Ngee Ann City Civic Plaza (kawasan luar pusat beli-belah) hingga lusa, antara 12 tengah hari dengan 7 malam.



Ia adalah pesta yang dianjurkan buat kali pertama untuk memaparkan barang kemas, jam tangan, fesyen dan gaya hidup eksklusif dan ikonik hasil kreativiti jenama bebas.



Di bawah naungan pesta ini adalah pesta barang kemas mewah JeweLuxe yang masuk edisi keenamnya, pesta jam tangan sulung yang diadakan di Singapura serta pameran kolaboratif terpilih barang kemas mewah yang memperjuang isu masyarakat, alam semesta, budaya, bakat dan nyala rasa, Advocacy Show.



Ikuti wawancara Berita Harian bersama Encik Afzal tentang perjalanannya membangun jenama barang kemas mewah State Property yang merupakan label barang kemas pertama di Singapura yang dijual dalam talian e-dagang barangan mewah global Net-a-Porter.



Soalan (S): Bagaimana anda berkecimpung dalam bidang niaga dan rekaan barang kemas?



Encik Afzal (A): Saya dan isteri merupakan sahabat yang berkongsi minat serupa terhadap bidang reka bentuk sebelum kami berumah tangga.



Walaupun Ruiyin lebih khusus pada rekaan barang kemas dan saya pula rekaan perindustrian, kami berkongsi matlamat ingin membangun sesuatu yang dapat tahan lama dan menjadi ruang untuk kami luahkan idea.



Awalnya pada 2014, kami memulakan khidmat runding cara reka bentuk bagi membantu syarikat lain memikirkan perihal reka bentuk barangan yang diusahakan.



Setahun selepas itu, State Property diperkenalkan disusuli dengan koleksi baru untuk kami pasarkan.



Kini, setiap suku tahun kami adakan pelancaran koleksi dan sudah masuk yang keempat kami lancarkan.



Sudah agak lama, sekitar empat tahun, kami tidak terlibat dalam pameran seperti UltraLuxe. Masanya untuk kami kembali menyumbang pada industri barang kemas.



Dari segi penjenamaan, kami sejak dahulu lagi ingin mewujudkan jenama yang berpangkalan di Singapura dan tidak terbatas pada pasaran di sini sahaja.



Kami menjadikan jenama seperti Tiffany & Co. sebagai rujukan bagi melihat bagaimana mereka mengatur struktur mereka.



Kami ingin membangun platform yang tidak terbatas hanya untuk pengguna di Singapura tetapi di Timur Tengah, Amerika dan Eropah.



S: Apakah antara cabaran yang dihadapi?



A: Kami tiada latar belakang dalam dagangan barang kemas. Kebanyakan jenama besar barang kemas ini diusahakan keluarga yang bergenerasi lamanya membangun produk mereka.



Banyak yang perlu kami gali dan cari daripada kenalan. Kadangkala terasa macam kami terlalu naif.



Kami perlu banyak belajar tentang pengeluaran barang kemas, bagaimana menetapkan harganya dan bagaimana ingin menembusi pasaran di luar negara.



Apabila kami menghadiri Anugerah Fesyen Singapura pada 2017, kami temui seorang pengadil acara itu dan beliau menawarkan untuk jadi mentor kami demi menyejagatkan jenama kami.



Ia menjadi batu loncatan untuk bergerak ke arah pasaran antarabangsa dan kami tidak terbiar tertumpu hanya bagi pasaran Singapura.



S: Apakah yang dititikberatkan apabila menghasilkan koleksi tertentu?



A: Sebagai permulaan, kami mementingkan reka bentuk dahulu sebelum memilih bahan untuk dicorak barang kemas kami.



Ia berbeza daripada sesetengah jenama lain yang sudah memilih batu permatanya dahulu dan kemudian menentukan reka bentuk yang sesuai untuk batu permata itu.



Koleksi Voyager kami misalnya diinspirasikan daripada rakaman emas fonograf ahli kaji bintang Amerika, Carl Sagan.



Rakaman itu ditemui dalam kapsul masa dalam misi angkasa lepas Voyager 1 dan 2 pada 1977.



Kami sedang mendengar siaran podcast tentang kapal angkasa Voyager lantas tertarik dengan idea mempunyai rakaman audio peradaban manusia yang boleh dikirimkan ke angkasa lepas untuk dikongsi dengan makhluk lain.



Kami ingin cari motif yang sesuai dan estetika yang dapat diterapkan pada jenama kami agar produk kami berdaya maju.



Koleksi terkini kami Arcane pula berlegar di sekitar seni bina Empayar Byzantine seperti hasil peninggalan Masjid Hagia Sophia di Istanbul, Turkey.



Kami suka melancong tetapi apakan daya kerana pandemik, kami harus bergantung kepada gambar-gambar sahaja untuk dapatkan inspirasi.



S: Ceritakan perjalanan memasarkan barang kemas anda kepada selebriti.



A: Ia adalah pengalaman yang membuatkan kami teruja. Kami mendapatkan bantuan agensi perhubungan awam yang membantu memperkenalkan produk kami kepada penata rias yang bekerjasama dengan selebriti Hollywood.



Kami telah bertemu dengan orang tengah yang tepat meskipun kami kadangkala rasa barang kemas kami belum cukup bagus untuk diperagakan di pentas peragaan.



Kami serius dalam misi kami menempatkan jenama State Property di peringkat antarabangsa. Kami perlu melabur dalam usaha global ini.



Tentunya kami gembira melihat barang kemas kami digayakan selebriti di permaidani merah dan acara khusus lagi gilang-gemilang.



S: Apakah antara trend membeli yang anda lihat dalam dunia barang kemas?



A: Saya sangka sebab terbiasa membeli barangan dalam talian sewaktu pandemik, pengguna akan terus-terusan buat begitu.



Nampaknya orang ramai kini lebih teruja membeli barang kemas di kedai sebab mereka boleh melihat dan menyentuh barang kemas itu.



Sejak September lalu, kami mempunyai kedai sendiri di Takashimaya.




"Kami tiada latar belakang dalam dagangan barang kemas...

Banyak yang perlu kami gali dan cari daripada kenalan. Kadangkala terasa macam kami terlalu naif. Kami perlu banyak belajar tentang pengeluaran barang kemas, bagaimana menetapkan harganya dan bagaimana ingin menembusi pasaran di luar negara.

Apabila kami menghadiri Anugerah Fesyen Singapura pada 2017, kami temui seorang pengadil acara itu dan beliau menawarkan untuk jadi mentor kami demi menyejagatkan jenama kami.

Ia menjadi batu loncatan untuk bergerak ke arah pasaran antarabangsa dan kami tidak terbiar tertumpu hanya bagi pasaran Singapura."

- Encik Afzal Imram, usahawan dan pereka bentuk barang kemas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >