Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Barisan pemimpin wanita perlu dipupuk: Presiden Halimah

Oct 05, 2022 | 05:30 AM



USAHA perlu terus dilakukan untuk mengembangkan lebih ramai pemimpin wanita di setiap peringkat dan memperkukuh peranan mereka sebagai suara yang memperjuangkan isu-isu yang dihadapi wanita di tempat kerja, kata Presiden Halimah Yacob.



Di samping itu, sokongan juga harus dihulurkan untuk membantu golongan wanita meraih kemahiran digital dalam zaman automasi dan teknologi ini supaya mereka dapat merebut peluang baru, tambah beliau.



Puan Halimah turut berkata majikan memainkan peranan sokongan yang penting, dengan mereka boleh menawarkan fleksibiliti di tempat kerja supaya wanita dapat terus kekal bekerja.



Beliau berkata demikian dalam satu sesi dialog bersama 29 pemimpin Jawatankuasa Wanita Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang diadakan di Istana semalam.



Sesi dialog itu merupakan yang kelima dalam siri pendekatan Puan Halimah bersama kesatuan untuk mendengar maklum balas dan sentimen mengenai kesejahteraan pekerja dan cabaran yang dihadapi.



Puan Halimah berkata gerakan pekerja mempunyai pertubuhan wanita terbesar di Singapura, dengan hampir separuh daripada anggota kesatuan, atau sekitar 298,000, merupakan wanita.



Ini, kata beliau, adalah satu petanda baik kerana ia menunjukkan pekerja wanita ingin menyertai kesatuan dan mendapati perlindungan dan perkhidmatan yang disediakan adalah relevan.



"Dengan kekuatan dalam jumlah sedemikian, anggota kesatuan wanita mempunyai suara yang kuat di tempat kerja dan dalam masyarakat untuk mempengaruhi dasar dan keputusan yang menjejas wanita dan Singapura secara keseluruhan.



"Anggota kesatuan sekerja dan aktivis wanita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk memperkukuh peranan advokasi mereka kerana mereka dekat dengan pekerja dan masyarakat dan memahami isu dan cabaran yang menjejas pekerja dengan baik.



"Untuk ini, anda memerlukan bukan sahaja asas keanggotaan yang kukuh tetapi juga kepimpinan wanita yang kuat," kata beliau.



Pelbagai soalan diutarakan oleh peserta sesi dialog itu semalam, termasuk dalam aturan kerja fleksibel, tanggungjawab penjagaan yang digalas wanita, dan peluang saksama di tempat kerja.



Pada April lalu, Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura telah dibentangkan di Parlimen dalam usaha membina masyarakat lebih adil dan inklusif.



Namun, Puan Halimah berkata usaha tidak harus setakat berhenti di situ, dan pemimpin wanita memainkan peranan penting untuk terus memperjuangkan isu dihadapi pekerja wanita sama ada di tempat kerja ataupun dalam masyarakat.



Malah, terdapat keperluan bagi masyarakat untuk mengubah cara pemikiran mereka, terutamanya berhubung tanggungjawab penjagaan anak-anak dan orang tua yang secara tradisionalnya dipikul wanita.



"Di sini, pemikiran semula mesti dilakukan. Jika anda mahu wanita mempunyai penyertaan lebih besar dalam tenaga kerja dan kesaksamaan lebih luas, beberapa tanggungjawab ini harus dikongsi di rumah. Ini juga termasuk kesanggupan untuk menerima wanita sebagai rakan yang setaraf," kata beliau.



Dengan penduduk yang semakin menua, Puan Halimah berkata tanggunjgawab penjagaan itu akan menjadi lebih berat kerana keluarga bukan hanya perlu menjaga anak-anak, malah ibu bapa yang usia senja.



Meskipun banyak inisiatif telah disediakan, termasuk penjagaan warga emas agar penjaga mereka boleh berehat, lebih banyak boleh dilakukan, seperti memperkenalkan cuti penjagaan keluarga - sesuatu yang diperjuangkan Puan Halimah sejak beliau Anggota Parlimen (AP) dahulu.



Puan Halimah turut menekankan keperluan untuk menggalak wanita terus bekerja, kerana jika mereka memutuskan untuk berhenti, akan lebih sukar bagi mereka memasuki semula alam pekerjaan kemudian kerana kemahiran yang dimiliki mungkin sudah lapuk.



Justeru, majikan juga memainkan peranan penting dengan menyediakan aturan kerja yang fleksibel, seperti kerja hibrid.



Di sini, beliau berkata pemimpin kesatuan boleh menggalak majikan untuk melabur sedikit agar pekerja dapat menyediakan ruang pejabat kecil di rumah supaya dapat bekerja dengan selesa.



"Anda boleh memainkan peranan sokongan yang amat penting, dan memastikan suara anda didengar kerana anda perlu didengar," kata Puan Halimah.



"Ini kerana anda mempunyai banyak kredibiliti, anda mewakili pekerja dan memahami masalah dan isu yang mereka hadapi setiap hari. Saya berharap peranan sokongan anda akan terus menjadi lebih kukuh," tambah beliau.




"Anggota kesatuan sekerja dan aktivis wanita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk memperkukuh peranan advokasi mereka kerana mereka dekat dengan pekerja dan masyarakat dan memahami isu dan cabaran yang menjejas pekerja dengan baik.
Untuk ini, anda memerlukan bukan sahaja asas keanggotaan yang kukuh tetapi juga kepimpinan wanita yang kuat."
- Presiden Halimah Yacob. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >