PERKHIDMATAN ulang-alik berautonomi yang diuji ComfortDelGro di Universiti Nasional Singapura (NUS) sejak Mei lalu akan mula mengambil penumpang mulai hari ini.
Bas ulang-alik NUSmart itu merupakan bas mini EZ10 yang serupa dengan pengangkutan yang digunakan di Taman Di Persisiran sejak 2015, dan dibekalkan oleh EasyMile Perancis.
Ia akan melalui laluan sepanjang 1.6 kilometer antara Heng Mui Keng Terrace dengan Business Link selama setahun untuk menentukan sama ada khidmat tersebut mempunyai nilai komersial dan berdaya maju.
Khidmat ulang-alik menggunakan kuasa elektrik itu akan beroperasi setiap 20 minit dari Isnin hingga Jumaat antara 10.20 pagi dengan 11.20 pagi; dan 2.20 petang dengan 3.20 petang.
Khidmat percuma itu tidak akan beroperasi apabila cuaca hujan.
Akhbar The Straits Times difahamkan bahawa kebanyakan sensor kenderaan berautonomi kini terjejas dengan keadaan cuaca yang buruk.
ComfortDelGro berkata waktu perkhidmatan akan dipanjangkan secara bertahap.
Bas ulang-alik itu boleh memuatkan sehingga 12 orang, dan seperti semua bas berautonomi di Singapura, ia akan mempunyai seorang pengendali demi memastikan keselamatan.
Ketua eksekutif ComfortDelGro, Yang Ban Seng, berkata ujian itu memberi peluang untuk memerhati bagaimana penumpang memberi respons kepada kenderaan berautonomi.
"Pengalaman operasi yang ditimba ini juga akan memberi manfaat sebagai persediaan masa depan apabila kecerdasan buatan (AI) dan autonomi menjadi bahagian penting dalam laluan perjalanan kita sehari-hari," katanya.