BAU terbakar yang dilaporkan sepanjang dua hari lalu bukan disebabkan tompok panas di rantau ini atau kejadian di industri setempat, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Dalam satu kenyataannya kelmarin, NEA berkata ia memberikan maklum balas menyusuli laporan bau terbakar daripada penduduk yang tinggal di bahagian timur Singapura pada hari Selasa dan Rabu.
Pemeriksaan pihak agensi tidak mendapati sebarang kejadian industri setempat yang mungkin telah menyumbang kepada bau tersebut.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia tidak mengerahkan respons kepada sebarang kejadian yang melibatkan kebakaran terbuka di bahagian timur Singapura.
NEA pula menambah berkata tiada tompok panas dikesan di rantau sekitar Singapura.
Ia melaporkan bahawa bacaan PM2.5 sepanjang sejam, yang memantau tahap mutu utara, kekal pada paras biasa (Band I)
Paras Indeks Pencemaran Udara 24 jam, yang menunjukkan paras pencemaran udara, berada dalam lingkungan paras yang baik sehingga sederhana.
Agensi itu menambah bahawa ia tidak menerima sebarang aduan mengenai isu ini sejak tengah hari kelmarin tetapi akan terus memantau keadaan.