Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUNTIKAN NAFAS BARU KAMPONG GLAM

Bawa cita rasa Bangkok ke S'pura

Aug 13, 2022 | 05:30 AM



MEMBAWA Bangkok ke Singapura.



Itulah konsep yang ingin dicapai Encik Ahmad Syafarudin Mohamed Fauzie dan rakan kongsinya dari Malaysia, Encik Aznan Sharib dan Encik Mohd Perwira Sadli apabila mereka membuka Banngkok Street Food SG di 43 Sultan Gate pada Mei tahun lalu.



Menjelaskan keputusan membuka restoran di tengah-tengah pelbagai sekatan dek pandemik Covid-19, Encik Ahmad, Pengarah Urusan Banngkok Street Food SG, berkata semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, ramai warga Singapura yang merindui suasana dan makanan yang terdapat di Thailand.



Oleh itu, beliau dan rakan kongsinya mahu membawa 'rasa' serupa ke sini.



"Orang tak boleh ke luar negara ketika itu, dan kita tahu orang Singapura suka makan, suka keluar tetapi mereka sudah 'terperap' di sini hampir dua tahun, jadi kita mahu bawa konsep itu ke sini.



"Kita mahu buat pelanggan rasa seperti mereka di Bangkok," jelas Encik Ahmad.



Menurutnya, pada awal pembukaan restoran tersebut, sekitar 40 peratus pelanggannya merupakan warga Malaysia yang berada di sini dan tidak dapat pulang ke tanah air sendiri.



Ini kerana mereka sudah lebih mengenali jenama Banngkok Street Food yang juga terdapat di Kuala Lumpur (KL) dan diketahui ramai di sana.



Encik Aznan dan Encik Perwira merupakan pengarah Banngkok Street Food Malaysia yang terdapat di Setapak, KL.



Berkongsi lanjut, Encik Ahmad berkata meskipun terdapat cabaran memulakan perniagaan makanan dan minuman (F&B) semasa pemutus rantaian jangkitan termasuk sekatan bilangan pelanggan yang boleh duduk bersama ketika itu, ia memberi mereka peluang berinteraksi dengan lebih baik dengan pelanggan yang datang.



Ini termasuk mendapatkan maklum balas daripada mereka tentang makanan yang disediakan.



"Malaysia, Thailand, Singapura - walaupun kita sama-sama orang Asia, tapi lidah kita lain-lain.



"Sebagai contoh, kali pertama kita perkenalkan minuman yang tersedia dalam menu, ramai pelanggan kata ia terlalu manis, sebab kita ikut cita rasa asli Thailand yang memang suka manis, jadi kita telah kurangkan kemanisannya," kata beliau.



Kini, setelah sekatan dilonggarkan, lebih-lebih lagi setelah jalan raya di beberapa kawasan Kampong Glam ditutup pada waktu tertentu, Encik Ahmad berkata perniagaan di restorannya semakin menggalakkan.



"Alhamdulillah dengan penutupan jalan raya itu, ia merupakan kebaikan bagi kita sebab orang terpaksa letak kereta mereka di depan restoran kita, dan dari situ mereka tahu akan tempat ini," katanya, yang menambah bahawa perniagaan meningkat sebanyak 20 peratus.



Beliau juga berkata bahawa sekitar 60 peratus pelanggannya kini terbentuk daripada keluarga dan majoriti merupakan masyarakat Melayu/ Islam Singapura.



Sementara itu, Encik Perwira yang berada di Malaysia tetapi sempat menyertai temu ramah dengan Berita Harian melalui Zoom berkata mereka mahu menstabilkan Banngkok Street Food SG dahulu sebelum melebarkan sayap.



"Buat masa ini kita fokus untuk menjayakan Banngkok Street Food SG sehingga mencapai apa yang sudah dicapai di KL.



"Tapi pada masa yang sama, kita juga mempunyai harapan yang besar.



"Mungkin selepas ini, kita akan wujudkan restoran Banngkok yang menawarkan lain daripada 'street food' (makanan jalanan) atau berkonsep ekspres atau mini," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >