BAZAR Hari Raya Geylang Serai tahun ini, yang akan diadakan secara dalam talian, akan terus membolehkan penduduk setempat menikmati budaya dan warisan masyarakat Melayu/Islam, kata penganjur Wisma Geylang Serai (WGS).
Bazar online itu akan menawarkan pelbagai produk gaya hidup serta aneka jenis hidangan bagi segenap lapisan warga, menurut WGS dalam kenyataannya semalam.
Ia berkata, pengalaman dalam talian itu juga akan membolehkan penduduk mempelajari kemahiran baru, serta meraih peluang baru untuk memperluas atau mengembangkan perniagaan mereka.
Bazar dalam talian itu akan disediakan di bawah kerjasama antara WGS dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
"DPPMS merupakan pihak yang sesuai bagi mendapatkan sokongan pegerai bazar tradisional dan membina sebuah platform untuk menjual produk makanan dan barangan berkaitan Hari Raya dalam tempoh perayaan ini.
"Kami berharap untuk membina sebuah wadah dalam talian yang mesra pelanggan dan menawarkan pelbagai kemudahan pembayaran serta penghantaran produk tepat pada masanya," kata WGS.
Selain wadah beli-belah, penduduk boleh menjangkakan pelbagai program seperti muzik, hiburan lawak, video senaman, masakan atau membuat roti atau kuih yang akan ditayangkan di wadah media sosial WGS di Facebook, Instagram dan YouTube.
Juga terdapat tayangan khas siaran langsung seperti E-Buka Puasa dan Hari Raya Show di wadah maya itu, kata WGS.
Ini merupakan tahun kedua penduduk setempat tidak akan dapat menikmati kemeriahan suasana Bazar Hari Raya Geylang Serai secara fizikal sejak pandemik Covid-19 melanda Singapura awal tahun lalu.
WGS berkata: "Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan, rakan korporat dan masyarakat serta individu untuk menawarkan pelbagai program dalam talian dan kegiatan sampingan melibatkan penduduk sambil mematuhi Langkah Pengurusan Selamat."
Sementara itu, orang ramai boleh menikmati Penyalaan Lampu Hari Raya sepanjang Geylang Road dan Sims Avenue pada Ramadan tahun ini dengan pelancarannya bakal ditayangkan secara langsung di semua wadah media sosial WGS.
Selain itu, beberapa kegiatan bagi melibatkan masyarakat sempena sambutan Hari Raya juga dianjurkan.
Antaranya ialah pertandingan penggubahan lagu Hari Raya yang akan mengundang peserta pada Mac ini.
WGS berkata, lagu yang memenangi peraduan itu akan digunakan sebagai lagu tema buat semua program Hari Raya WGS tahun ini.
Satu lagi peraduan lampu Hari Raya di rumah juga akan diadakan untuk menggalakkan orang ramai menghidupkan semangat perayaan tersebut di rumah.
Selain kededua pertandingan itu, sebuah kempen TikTok untuk meraikan musim perayaan dengan pergerakan tarian yang mudah namun tetap memaparkan budaya juga bakal dilancarkan WGS.