MASYARAKAT Melayu/Islam boleh menjangkakan kemungkinan beberapa perubahan kepada norma-norma amalan agama yang dilakukan di masjid, dan ini mungkin akan berlanjutan sehingga bulan Ramadan, jika situasi Covid-19 di Singapura bertambah buruk.
Langkah-langkah praktikal yang dijangka diperkenalkan termasuk langkah menjarakkan diri di dalam ruang masjid serta perubahan dalam cara pengagihan bubur, solat tarawih dan berbuka puasa selain waktu khutbah yang dipendekkan.
Ini merupakan antara langkah menjauhkan diri yang telah dibincangkan Kumpulan Kerja Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) seramai 18 anggota, yang ditubuhkan untuk menangani penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di sini.
Pembentukan kumpulan kerja itu, yang bertemu buat kali pertama pada Jumaat (13 Mac), telah diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad semasa sidang media Muis pada Khamis (12 Mac).
Ia dipengerusikan bersama antara Encik Masagos dan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary.
Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan) Encik Amrin Amin juga merupakan anggota kumpulan itu.
Terdiri daripada golongan asatizah dan doktor, kumpulan kerja itu bertujuan menawarkan masyarakat dengan bimbingan praktikal dan wajar daripada golongan profesional sektor keagamaan dan kesihatan.
Antara lain, kumpulan kerja itu juga akan mengenal pasti sebarang jurang dan melaksanakan langkah operasi yang lebih khusus untuk membendung penularan koronavirus (Covid-19) dalam kalangan masyarakat.