SEBANYAK 50,000 kilogram ayam beku tiba di sini dari Jakarta semalam, menandakan penghantaran bekalan ayam tetap pertama dari Indonesia sedang Singapura berusaha untuk mempelbagaikan sumber makanannya menyusuli larangan eksport ayam yang dikuatkuasa Malaysia bulan lalu.
Ketika ditemui wartawan di Leong Hup Distribution yang terletak di 31 Fishery Port Road, syarikat yang menerima ayam beku itu, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, berkata pempelbagaian merupakan strategi penting bagi Singapura di tengah-tengah gangguan bekalan makanan.
Ini memandangkan Singapura mengimport lebih 90 peratus makanannya dari luar negara.
Dr Koh akur bahawa Singapura mempunyai wawasan "30 menjelang 30", iaitu memenuhi 30 peratus keperluan makanan secara tempatan menjelang 2030, namun sebahagian besar bekalan makanan tetap datang dari luar negara.
"Jadi saya rasa adalah penting bahawa memandang ke hadapan, kita terus melihat kepada sumber yang pelbagai.
"Tetapi yang penting, pelanggan mesti menyokong langkah ini. Jika pelanggan menunjukkan terdapat permintaan yang cukup, maka akan ada alasan kuat dari segi perniagaan bagi pengimport kami untuk melihat kepada sumber yang pelbagai.
"Walaupun ini mungkin kumpulan ayam beku pertama yang tiba dari Indonesia, sekiranya permintaan pelanggan positif, saya rasa perniagaan akan mahu melihat bagaimana mereka boleh memperluas proses ini dan membawa masuk lebih banyak ayam dari Indonesia."
Dr Koh berterima kasih kepada warga Singapura serta industri kerana bersikap fleksibel dan membuat penyesuaian sepanjang tempoh ini yang memerlukan mereka menukar daripada ayam hidup ke ayam beku.
"Justeru walau dengan gangguan bekalan ini, kita sebenarnya dapat mengutamakan daya tahan dan keselamatan makanan, dan juga terus membina hubungan antara perniagaan dengan pembekal mereka dari luar negara serta mempelbagaikan sumber mereka untuk melaksanakan rancangan kesinambungan perniagaan," katanya lagi.
Duta Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo, berkata beliau menjangka sebanyak 1,000 tan ayam beku akan tiba di Singapura menjelang akhir tahun.
Beliau menambah bahawa langkah Singapura mengimport ayam beku dari Indonesia menunjukkan bahawa produk Indonesia telah menepati piawaian keselamatan dan kesihatan Singapura.
Memberikan perincian lanjut, Encik Suryo menambah bahawa mereka akan menilai permintaan pelanggan Singapura sebelum Indonesia meneruskan rancangan membangunkan ladang di Batam.
"Jadi kalau kami boleh membangunkan ladang di Batam... ia tidak akan memakan masa yang lama untuk membawa masuk ayam ke Singapura," kata beliau, yang merujuk kepada ayam hidup.
Laporan lanjut: Indonesia sedia bekal ayam ke SG dari Batam