Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bekalan pertama vaksin Moderna tiba lebih awal

Feb 18, 2021 | 05:30 AM



PENGHANTARAN pertama vaksin Moderna Covid-19 telah tiba di Singapura tengah hari semalam.



Ia merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha negara mengawal penularan Covid-19.



Menurut Singapore Airlines (SIA) vaksin itu telah dihantar oleh pesawat kargo Boeing 747-700 yang berlepas dari Brussels, Belgium dan singgah di Sharjah, Amiriah Arab Bersatu.



Pesawat itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Changi sekitar 2.15 petang tetapi tiba lebih awal daripada yang dijadualkan.



Kementerian Kesihatan (MOH) pada awalnya berkata pada 3 Februari bahawa penghantaran pertama vaksin Moderna Covid-19 akan tiba sekitar bulan Mac, melainkan tiada gangguan kepada jadual penghantaran.



SIA dalam satu kenyataan semalam berkata bahawa vaksin itu telah diberi keutamaan untuk diletajkkan ke dalam pesawat di Brussels.



Pesawat itu juga diberi keutamaan bagi pemunggahan di Singapura, dengan vaksin itu dipindahkan kepada kemudahan rantaian sejuk yang diuruskan Sats bagi simpanan susulan dan pengangkutan.



Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu catatan di Facebook berkata beliau gembira vaksin Moderna telah tiba lebih awal daripada yang dijangka.



"Penguasa Sains Kesihatan telah memberi kebenaran sementara untuk menggunakan vaksin ini di Singapura. Program vaksinasi kita berjalan lancar. Perkembangan terkini akan membenarkan kita untuk meneruskan seperti yang dirancangkan. Lebih banyak pusat vaksinasi akan dibuka serata Singapura. Saya harap warga tua akan mendapatkan temujanji apabila tiba giliran mereka agar kita sama-sama dapat melindungi diri."



Naib presiden kanan SIA bagi kargo, Encik Chin Yau Seng berkata syarikat penerbangan itu gembira untuk menyokong program vaksin negara dengan menghantar vaksin Covid-19 itu dengan berjaya.



Beliau berkata syarikat penerbangan itu juga telah memindahkan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 ke Singapura, Australia dan New Zealand serta vaksin Sinovac Covid-19 ke Indonesia, sepanjang dua bulan lalu.



Misalnya, awal bulan ini, SIA mengirimkan vaksin Sinovac Covid-19 ke Indonesia.



Vaksin tersebut dibawa oleh sebuah pesawat penumpang dari Singapura, di mana vaksin itu disimpan selama 2.5 jam setelah ia tiba dari Beijing. Bekalan vaksin itu kemudiannya bertolak ke Jakarta pada hari yang sama.



Pada Isnin lalu, SIA mengirimkan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 ke Australia dan New Zealand melalui kaedah hab Singapura.



Bersama DHL Global Forwarding, SIA memastikan kargo diberi keutamaan semasa dipunggah naik.



Vaksin juga dipantau sepanjang perjalanan, semasa transit di Singapura, untuk memastikan tidak ada gangguan terhadap tahap kesejukan yang diperlukan vaksin berkenaan.



Sebelum ini, SIA secara aktif telah melibatkan pelbagai pihak berkepentingan di seluruh rantaian bekalan dan pasaran eksport farmasi bagi memastikan ia berada dalam kedudukan yang baik untuk mengangkut vaksin dengan pantas dan cara yang diyakini.



Pasukan petugas dalaman Covid-19 juga telah ditubuhkan pada Mei 2020 untuk memastikan kesediaan semua aspek operasi kargo, dan menguruskan tugas penting dengan selamat menjalankan penghantaran barangan farmaseutikal yang sensitif terhadap masa dan suhu.



"Kami bersama dengan rakan kongsi di hab udara Singapura dan merentasi rantaian bekalan, akan terus menyokong usaha global penting ini yang bertujuan untuk mengekang penularan pandemik," tambah Encik Chin.



Moderna Inc. yang mempunyai lebih 1,000 pekerja merupakan sebuah syarikat ubat-ubatan yang beribu pejabat di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat.



Vaksin Moderna merupakan vaksin Covid-19 kedua yang diluluskan untuk digunakan di Singapura selepas vaksin Pfizer-BioNTech, yang diluluskan pada pertengahan bulan Disember.



Kedua-duanya menggunakan teknologi baru mRNA, yang menyuntik bahan genetik virus itu ke dalam tubuh manusia untuk merangsang respons imun.



Kesan sampingan yang dilaporkan bagi kedua-dua vaksin agak sama dan ini termasuk sakit, bengkak di bahagian suntikan, keletihan, pening, sakit otot, demam, rasa sejuk, muntah dan sakit sendi selepas divaksin.



Vaksin Moderna memerlukan dua dos untuk diberikan dalam jarak 28 hari manakala dua dos vaksin Pfizer-BioNTech diberikan dalam jarak masa 21 hari.



Penguasa Sains Kesihatan berkata pada 3 Februari bahawa semakan terhadap data perubatan yang ada mendapati bahawa vaksin Moderna menunjukkan keberkesanan yang tinggi iaitu sekitar 94 peratus, dengan manfaatnya melebihi risiko.



Ini bermakna terdapat pengurangan 94 peratus bagi penyakit simptomatik Covid-19 dalam sekumpulan orang yang divaksin, berbanding dengan kumpulan serupa dalam kalangan orang yang tidak divaksin, katanya.



Program vaksinasi Covid-19 Singapura akan memasuki fasa seterusnya pada 22 Februari apabila warga emas di merata negara mula mendapatkan vaksinasi mereka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >