Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bekalan ubat demam, batuk dan selesema sudah ditambah: MOH

Jan 10, 2023 | 03:04 PM



BEKALAN ubat untuk merawat demam, batuk dan selesema, yang kekurangan tahun lalu sudah ditambah jumlah stoknya apabila permintaan semakin sederhana, kata Menteri Negara Kanan (Kesihatan), Dr Janil Puthucheary.



Disebabkan kes jangkitan virus yang lebih tinggi, terdapat kekurangan sementara bagi ubat jenama tertentu yang digunakan untuk merawat demam, batuk dan selesema menjelang akhir 2022, katanya kepada Parlimen pada Selasa (10 Januari).



Tetapi secara keseluruhan, bekalan perubatan Singapura, termasuk oksimeter dan oksigenator, telah mencukupi untuk memenuhi permintaan tahun lalu.



Memandangkan Covid-19 menjadi endemik dan orang ramai memperlakukannya seperti penyakit lain, pembelian panik dalam kalangan pengguna juga akan berkurangan, katanya menjawab soalan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh).



Dr Puthucheary menambah bahawa penggunaan rutin mukolitik dan ekspektoran tidak diperlukan bagi kebanyakan orang, yang mempunyai paru-paru yang sihat dan tahap kesihatan yang baik, apabila berhadapan dengan penyakit seperti Covid-19.



“Tidak perlu membeli ubat berjenama. Pelbagai persediaan umum dapat melaksanakan tugas sama baiknya dengan ubat berjenama," katanya.



Permintaan untuk ubat-ubatan biasa bagi demam, batuk dan selesema telah meningkat dengan ketara pada akhir tahun 2022 kerana ramai orang memilih untuk mengubati diri sendiri, dengan beberapa ubat di kaunter untuk keadaan sebegini dilaporkan kekurangan bekalan.



Gelombang Covid-19 di China juga menyebabkan orang ramai berebut-rebut membeli ubat demam, batuk dan selsema, menyebabkan kekurangan ubatan.



Kementerian Kesihatan (MOH) berkata pada Disember 2022 bahawa ia sedang memantau keadaan dengan teliti, dengan pesanan tambahan telah dibuat untuk ubat-ubatan tanpa preskripsi untuk merawat demam, batuk dan selesema di tengah-tengah peningkatan permintaan untuk ubat-ubatan ini.



MOH memantau tahap stok ubat-ubatan dan bekalan perubatan yang biasa digunakan, terutamanya apabila terdapat lonjakan luar biasa dalam permintaan atau gangguan bekalan.



Jika perlu, ia akan bekerjasama dengan peruncit untuk mendapatkan stok tambahan bagi memenuhi permintaan, atau mengeluarkan nasihat berkaitan, katanya.



Di samping itu, pihak kementerian menyelenggara stok ubat-ubatan utama dan bekalan perubatan untuk diutamakan bagi pesakit dengan tahap penyakit lebih genting di institusi penjagaan kesihatan awam.



Dalam situasi ekstrem di mana mungkin terdapat kekurangan global, MOH akan mengambil langkah tambahan seperti mengenakan had jualan untuk mengelakkan timbunan ubatan, dan memastikan ubat-ubatan dan bekalan perubatan diagihkan secara adil, tambahnya.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >