Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bekas guru agama dipenjara cabul wanita di masjid

Apr 11, 2019 | 07:22 PM



SEORANG guru agama dipenjara setahun empat bulan hari ini atas kesalahan mencabul kehormatan seorang wanita dalam bilik darjah sebuah masjid di mana dia berkhidmat.



Lelaki berusia 73 tahun itu, yang tidak boleh dinamakan bagi melindungi identiti mangsa berusia 36 tahun itu merupakan seorang guru agama yang menerima pentauliahan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). 



Pengiktirafannya itu telah dilucutkan.



Dia dikatakan menganjurkan kelas di beberapa masjid serata Singapura. Dia juga dikatakan rakan kepada keluarga mangsa – yang mengenalinya sejak lebih sedekad lalu. Malah mangsa sendiri menggelarkannya ustaz.



Difahamkan lelaki itu telah memimpin kelas yang dihadiri mangsa dan seorang wanita lain di tingkat tiga sebuah masjid tengah Singapura, bagi kelas mengaji setiap Sabtu 



Pada 19 Ogos 2017, dia memberitahu mangsa bahawa seseorang mungkin telah menggunakan ilmu sihir ke atasnya kerana berdendam.



Dia kemudian menyatakan bahawa ini mungkin sebab mengapa wanita itu tidak boleh hamil, meskipun selepas berkahwin selama sembilan tahun, kata Timbalan Pendakwaraya, Muhamad Imaduddien.



Dia kemudian meminta wanita itu menunjukkan telapak tangan, dan mangsa mematuhi permintaan itu.



Lelaki itu kemudian berkata darah mangsa tidak mengalir dengan sempurna dalam uratnya dan berkata ia dihalang sesuatu, meskipun mangsa dan rakan sekelasnya itu tidak melihat apa-apa aneh.



Dia kemudian memberitahu mangsa agar membawa sebilah pisau dan limau nipis semasa ke kelas minggu selanjutnya, dengan menyatakan dia menganggap wanita itu seperti anaknya dan ingin menyembuhkannya dengan menghalau perkara yang tidak elok.



Pada 26 Ogos, 2017, mangsa telah ke masjid dengan barangan yang diminta.



Lelaki itu membelah limau dan menggosoknya pada telapak tangan mangsa.



Dia berkata terdapat sesuatu pada mangsa yang menghalangnya daripada hamil dan dia akan cuba menghapuskan benda tersebut.



Dia menambah yang dirinya mampu merawat keadaan itu dan menyuruh rakan mangsa meninggalkan bilik darjah itu.



Lelaki itu kemudian membawa mangsa ke satu sudut, di mana wanita itu menarik pakaiannya dan colinya ke atas seperti yang diarah guru agama itu.



Dia kemudian mencabul kehormatan mangsa sedang dia menyatakan sesuatu. Dia juga menyuruh mangsa melakukan aksi yang sama kepadanya, dan dipatuhi wanita itu.



Tiba-tiba wanita itu mula sedar, dan kemudian menolak lelaki itu serta menurunkan pakaiannya.



Dia memberitahu gurunya itu, yang kekal tenang, bahawa apa yang dilakukan mereka seperti tidak betul dan rakannya sepatutnya berada dalam kelas tersebut.



Lelaki itu kemudian membelah limau itu lagi dan memberitahunya bahawa tiada biji dalam limau itu yang menandakan mangsa telah hampir pulih, sebelum menunjuk kepada urat pada tangannya dan mendakwa bahawa darahnya kini sudah mengalir dengan sempurna.



Dia kemudian memanggil rakan mangsa masuk ke kelas dan ketiga-tiga mereka kemudian menyambung sesi kelas mereka.



Selepas kelas berakhir, guru agama itu memberitahu mangsa agar tidak memberitahu keluarganya tentang apa yang telah berlaku.



Mangsa kemudian ke sebuah klinik homeopati di mana seorang pakar memberitahunya bahawa beliau tidak menghadapi sebarang masalah, dan tiada ilmu hitam yang digunakan ke atasnya untuk menghalangnya daripada hamil.



Menyedari hal ini, mangsa membuat laporan polis.



Lelaki itu tiba di mahkamah hari ini dengan kerusi roda serta tongkat. Sebelum ini dia minta dibicarakan.



Tapi dia mengaku bersalah di atas satu dakwaan menggunakan kekerasan bagi mencabul kehormatan wanita itu, dua hari sebelum perbicaraan bermula. Hakim meluluskan permintaan lelaki itu untuk menangguhkan hukuman kepada 15 Mei ini.



Dalam satu kenyataan, Muis berkata pihaknya tidak dapat menerima tindakan “tercela” lelaki itu yang tidak sejajar dengan ajaran Islam.



Ia menambah:

“Tindakannya melanggar kod etika ARS dan dia telah dilucutkan daripada senarai itu dan tidak lagi dibenar mengajurkan kelas Islam di Singapura.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >