SEORANG bekas pengawal kewangan syarikat Singapore Technologies Marine (ST Marine) dihadapkan ke mahkamah hari ini dengan 38 tuduhan bersubahat membuat catatan palsu bagi perbelanjaan hiburan berjumlah $126,156.
Patrick Lee Swee Ching, 57 tahun, adalah yang terakhir daripada lima bekas eksekutif syarikat tersebut yang diheret ke mahkamah.
Dia didakwa bersubahat membuat catatan palsu dalam dokumen milik ST Marine dengan berkomplot dengan dua lagi bekas pegawai kanan syarikat itu - See Leong Teck dan Mok Kim Whang - untuk menuntut perbelanjaan hiburan meskipun tiada perbelanjaan sedemikian antara tahun 2004 dan 2007.
Peguam Lee, Encik Hamidul Haq, memberitahu mahkamah anak guamnya bercadang "mengambil tindakan tertentu secepat mungkin".
Kes itu ditetapkan untuk didengar lagi pada 1 Julai.
Ikat jamin $150,000 telah dilanjutkan sehingga itu, dan pasportnya dirampas.
Bekas presiden ST Marine, See, 65 tahun, dan bekas naib presiden kanan, Mok, 64 tahun, adalah antara empat bekas eksekutif ST Marine yang telah didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah.
Dua yang lain ialah bekas presiden ST Marine Chang Cheow Teck, 55 tahun, yang mengambil alih See, dan bekas pengawal kewangan kumpulan Ong Teck Liam, 59 tahun.
Persidangan sebelum perbicaraan mereka akan diadakan esok.
Jika disabit kesalahan, Lee boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan.
Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) berkata Singapura mengambil pendekatan tegas terhadap rasuah.
Ia memandang serius mana-mana amalan rasuah dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan tersebut.