Bekas pengadil bola sepak Maidin Singah meninggal dunia

BELIAU merupakan salah seorang tokoh utama yang telah membantu membentuk dan melakarkan nama Singapura di persada dunia bola sepak antarabangsa.

Pagi semalam, bekas pengadil Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Setiausaha Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) itu, Maidin Singah, menghembuskan nafas terakhirnya.

Difahamkan Allahyarham Maidin, 75 tahun, meninggal dunia atas sebab sakit tua.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman rasminya semalam, FAS melahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"FAS amat bersedih atas pemergian Encik Maidin Singah. Beliau merupakan pengadil Fifa yang aktif dari 1983 hingga 1989.

"Menyusuli persaraannya, beliau menjadi jurulatih dan penilai pengadil dan telah membantu memupuk bakat pengadil muda.

"Beliau, yang menjadi mentor kepada ramai pengadil, sedia menawarkan bantuan dan bimbingan kepada mereka dan disukai ramai.

"Kami menghulurkan rasa simpati kepada keluarga beliau dalam masa yang sukar ini," ujar FAS.

Allahyarham Maidin pernah mengadili pertandingan Piala Dunia Bawah 20 tahun di Arab Saudi pada 1989.

Beliau juga merupakan bapa pengadil tempatan Encik Shamsul Maidin, yang menjadi pengadil Melayu pertama mengadili pertandingan Piala Dunia Jerman pada 2006.

Encik Shamsul menjadi pengadil kedua Singapura yang pernah mengadili pertandingan Piala Dunia.

Pengadil pertama ialah mendiang George Suppiah dalam Piala Dunia Jerman pada 1974.

Keluarga Allahyarham tidak dapat dihubungi namun Berita Harian juga difahamkan Encik Shamsul telah membuat penerbangan pulang dari satu tugasan di Portugal.

Jenazah Allahyarham Maidin dikatakan telah selamat dikebumikan di Pusara Aman pada sebelah petang.

Waktu Solat

Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:35
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
3 HR PSI: 17
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.