SEORANG bekas pengarah teknologi di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) didapati bersalah pada Khamis (22 Okt) menggelapkan dua iPad.
Jeganathan Ramasamy, 63 tahun, dikenakan dua pertuduhan pecah amanah dua tablet iPad 2 bernilai $1,877 pada September 2011.
Dia mendapatkan dua iPad itu daripada NCS untuk menguji aplikasi bergerak yang NCS sedang bangunkan bagi SCDF.
Pihak pendakwaan berhujah tablet itu diamanahkan kepadanya oleh NCS untuk SCDF bagi tujuan ujian tetapi Jeganathan secara tidak jujur menggelapkannya dengan memberi satu kepada anaknya dan menjual satu lagi kepada rakan sekerjanya, Encik Eric Yap, yang ketika itu pengarah perkhidmatan kecemasan SCDF, pada harga $200.
Pesuruhjaya Yap, 46 tahun, menjadi ketua SCDF pada 2012.
Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan menangguhkan kes itu ke 16 November bagi Timbalan Pendakwa Raya (DPP) membuat penghujahan mengenai hukuman dan peguambela mengemuka mitigasi.
Hukuman maksimum bagi kesalahan itu ialah penjara 20 tahun dan denda.