SEORANG bekas pengurus perhubungan cawangan DBS yang menipu 11 mangsa hampir $700,000 sepanjang dua tahun dijatuhi hukuman penjara 56 bulan pada Khamis (12 Mei).
Eng Sze Keat, 32 tahun, mengaku bersalah bagi 27 pertuduhan menipu, pecah amanah, pemalsuan, memindahkan hartanah ganjaran daripada perbuatan jenayah, dan curi.
Sebanyak 73 lagi tuduhan diambil kira apabila hukuman dijatuhkan.
Semasa menjadi sebahagian daripada pasukan jualan DBS di cawangan Bangunan Royal Brothers, tugasnya termasuk menjual unit amanah, polisi insurans dan produk kadar tukaran asing kepada pelanggan bank itu.
Dia juga membantu pelanggan memasukkan atau mengeluarkan wang tunai, dan mengendalikan kerja pentadbiran pejabat.
Hasil siasatan mendapati kebanyakan pelanggan Eng yang akhirnya menjadi mangsanya sama ada penduduk tua atau bukan warga Singapura.
Selepas pelanggannya bersetuju membeli produk dan mengisi butir-butir peribadi mereka pada borang permohonan, Eng memberi jaminan dia akan mengisi bakii butiran mereka kemudiannya.
Dia akan menyelitkan borang permohonan pemindahan wang, borang transaksi simpanan tetap atau borang permohonan Sistem Pembayaran Elektronik MAS untuk ditandatangani pelanggan itu, atau memalsukan tandatangan mereka.
Dia kemudiannya akan mengisi borang-borang itu dengan arahan supaya memindahkan wang kepada akaun bank kawan-kawan atau keluarganya, termasuk bekas temanitanya dan ibunya.
Setelah wang itu dipindahkan, Eng sama ada meminta mereka memindahkan wang tersebut ke dalam akaun banknya atau mengeluarkan wang itu secara tunai dan menyerahkan ia kepadanya.
Kesalahan itu melibatkan sejumlah $717,226, termasuk menipu pelanggan DBS sebanyak $689,173.
Bekas temanitanya melaporkan kepada polis pada 2011 bahawa Eng menggunakan butiran beliau untuk memohon kad kredit tanpa kebenaran beliau. Eng telah memulangkan kepada beliau kesemua $28,000 wang bagi kesalahan penipuan kad kredit.
Empat bulan kemudian, Jabatan Hal Ehwal Komersial menerima laporan daripada DBS yang mendakwa Eng membuat pengeluaran tanpa kebenaran daripada akaun pelanggannya.
Pada 12 Ogos tahun itu, Eng pergi ke China mengikuti seorang artis persembahan dari negara itu. Dia menyerah diri empat tahun kemudian apabila pulang ke Singapura pada Jun lalu.