SEORANG bekas penuntut Universiti Nasional Singapura (NUS) dijatuhkan hukuman penjara 12 minggu pada Khamis (11 Nov) kerana mengintai seorang wanita dan menggodam akaun Telegramnya.
Ong Jing Xiang, 26 tahun, mengaku bersalah ke atas satu tuduhan mengintai secara haram dan satu lagi tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.
Satu tuduhan pencerobohan jenayah kerana memasuki bilik wanita di kampus untuk mendapatkan kod pengesahan daripada telefon bimbit wanita itu untuk mengakses perbualan Telegramnya diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberi tahu Ong berjumpa wanita itu pada 2017 dan kemudian mula jatuh hati padanya, namun cintanya ditolak wanita tersebut.
Ong kemudian mengganggunya pada Ogos 2019 dan menghantarnya beberapa mesej memberitahunya agar usah melayan teman lelakinya.
Pada Disember 2019, Ong meninggalkan lebih 60 panggilan telefon dan 100 mesej kepada wanita itu.
Dia kemudian mengetuk pintu bilik wanita tersebut dan mengancam melakukan demikian setiap kali mesejnya tidak dibalas.
Wanita itu yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah, membuat laporan polis pada 25 Julai tahun lalu.
Ong mula menjalani hukuman penjaranya hari ini. - The Straits Times