Bekas penyelia Yeo Jiawei terima 'keuntungan rahsia' AS$5m daripada urusan 1MDB

PADA hari kedua perbicaraan pertama berkaitan 1MDB, terdedah betapa bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei, dan bekas penyelianya, Encik Kevin Swampillai, menyembunyikan "keuntungan rahsia" mereka sedang siasatan oleh pihak berkuasa Singapura dipergiat.

Encik Swampillai antara sembilan saksi yang dipanggil pihak pendakwaan apabila mereka meneruskan empat daripada 11 tuduhan terhadap Yeo, orang pertama yang dibicarakan kerana disyaki terlibat dalam perbuatan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pendakwa raya di Singapura memula prosiding pada Isnin atas empat tuduhan berkaitan percubaan Yeo, bekas pegawai perancang kekayaan BSI, memesong proses keadilan dengan meminta saksi berbohong.

Baki tuduhan berkaitan pengubahan wang haram, penipuan dan pemalsuan akan diteruskan kemudian.

Dalam keterangannya pada Selasa (1 Nov), Encik Swampillai, yang kini menganggur, mendedahkan beliau menerima kira-kira AS$5 juta dalam bentuk bayaran rujukan atau keuntungan rahsia kerana "melaksanakan pelbagai struktur" dan "melakukan pengaturan kewangan" bagi sekumpulan pelanggan BSI.

Yeo sendiri mendapat AS$26 juta daripada urusan melibatkan 1MDB, kata pihak pendakwaan pada Isnin.

Idea mendapatkan komisen itu bermula semasa mereka ke Labuan pada 2012.

Encik Swampillai memberitahu mahkamah: "Kami akan mencari orang tengah yang akan digunakan untuk mengenal pasti dana tertentu, dan berbual dengan dana itu mengenai sifat transaksi asas yang akan dilaksana, dan jenis yuran yang dana itu akan peroleh.

"Kami cuba mencari margin (perbezaan) antara apa yang bank perolehi, apa yang pengurus dana perolehi, dan mewujudkan margin yang akan dibayar kepada Yeo dan saya sendiri."

Antara entiti yang membayar Yeo dan Encik Swampillai komisen ialah Bridge Partners Management International (BPIM), sebuah dana berdaftar di Cayman yang diurus oleh Bridge Partners, sebuah pengurus dana berpangkalan di Hong Kong.

Pada September 2012, 1MDB menjual sahamnya dalam sebuah projek usahasama sebanyak AS$2.32 bilion dan menerima unit dalam BPIM.

Yeo dan Encik Swampillai juga mendapat komisen melalui Bridgerock Investment dan GTB Investment, yang masing-masing dimiliki mereka, daripada sebuah lagi dana, Devonshire, kata Encik Swampillai.

Sedang Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD) mempergiatkan siasatannya ke atas urusan kewangan Yeo dan Encik Swampillai berhubung kumpulan wang itu, mereka mula kerap bertemu dan bertukar menggunakan media sosial Telegram, yang mempunyai ciri-ciri sembang rahsia.

Mereka juga mengatur sistem 'dencing' atau panggilan terlepas antara mereka bagi menunjukkan apakah mereka telah dipanggil untuk disoal oleh CAD.

"Jika saya 'dencing' dia pada waktu pagi, dan dia tidak respons, ia menandakan dia sudah dibawa oleh CAD," Swampillai memberitahu mahkamah pada Isnin.

Selepas Yeo meninggalkan BSI pada 2014 dan mula bekerja bagi ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho, seorang tokoh utama dalam skandal 1MDB, Yeo dikenali dengan nama kod 'James' dalam kalangan orang-orang terlibat, kata Encik Swampillai.

"Ada banyak rahsia dalam apa yang mereka lakukan dan cara mereka bercakap antara satu sama lain. Nama rekaan digunakan untuk merujuk kepada individu-individu tertentu," katanya.

Perbicaraan Yeo dijangka berlangsung hingga 11 Nov.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:02
Zuhur
1:08
Asar
4:34
Maghrib
7:13
Isyak
8:28
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.