Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Bekas pesalah pererat hubungan keluarga dengan bantuan Fitrah

Program kendalian Muis bersama agensi lain bantu pesalah, bekas pesalah pulang ke pangkuan masyarakat
Nov 30, 2022 | 05:30 AM



APABILA pesalah, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik N, dihukum penjara kerana menyeleweng duit daripada majikannya, perasaan kecewa yang dirasai keluarganya tidak dapat dibayangkan.



Namun, ia tidak bermakna mereka membiarkan beliau keseorangan menjalani hukuman penjara selama 39 bulan.



Malah, tanpa gagal, keluarga Cik N tetap menjenguknya di penjara sekurang-kurangnya sekali setiap dua minggu - satu tempoh yang dianggap sebagai tempoh sengsara buatnya - dan juga membantu membawa pelbagai bahan membaca dan buku untuknya.



Sepanjang perjalanan pemulihannya itu, keluarganya juga memberinya motivasi agar beliau dapat mempelajari daripada kesalahan dahulu.



Cik N, 49 tahun, yang kini sedang menjalani fasa Program Berasaskan Masyarakat (CBP) di bawah Skim Penahanan di Rumah, ditemui Sabtu lalu dalam satu acara cuti keluarga anjuran Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) kendalian Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Snow City Singapura.



Acara itu, yang dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut menekankan kepentingan sokongan keluarga menyeluruh terhadap proses pemulihan pesalah kembali ke pangkuan masyarakat.



Turut hadir bersama Cik N ialah suaminya, kedua-dua anak perempuannya berusia 19 dan 27 tahun serta anak menantu lelakinya.



"Mereka semua ada di sini bersama saya," katanya tersenyum, merujuk kepada kemesraan keluarganya dalam usaha mereka membantu beliau menyesuaikan diri sesudah keluar dari penjara.



Sekitar sedekad lalu, Cik N, yang sebelum ini menyandang jawatan pengurus kanan sebuah firma binaan, memberitahu Berita Harian bahawa beliau tiba-tiba ditahan pegawai berkuasa di imigresen selepas pulang daripada bercuti ke luar negara bersama keluarganya.



Beliau diberitahu pegawai itu bahawa beliau tidak dapat dilepaskan kerana ada waran tangkap yang dikeluarkan atas namanya untuk disiasat atas tuduhan pecah amanah jenayah (CBT).



Cik N mendedahkan beliau telah menyeleweng duit daripada syarikatnya sejak beberapa tahun sebelum siasatan itu dilancar.



Ia bermula dengan jumlah yang kecil, namun secara keseluruhan beliau didapati menyeleweng sekitar $400,000, yang menurutnya digunakan bagi perbelanjaan peribadi serta membiayai kos sara hidup untuk keluarganya serta ibu bapanya.



"Selalu saya dapat lepas daripada audit, tetapi kali terakhir itu, mungkin sebab saya sudah dinaikkan pangkat sebagai pengurus kanan, jadi saya tidak jangka ada pihak yang memutuskan untuk melaporkan saya kepada polis," katanya.



Beliau pada mulanya dihukum penjara empat tahun, namun hukumannya itu diringankan kepada tiga tahun tiga bulan setelah melalui pengadilan.



Beliau dihukum penjara pada 2020, namun dibenarkan menangguh fasa hukuman penjaranya pada Januari 2021.



Menurutnya, pengalaman di penjara merupakan perjalanan yang sukar buatnya, sehingga berat badannya turun lebih 15 kilogram.



Lebih-lebih lagi ketika pandemik, terdapat beberapa tempoh tertentu di mana banduan perlu berkurung dalam sel.



"Kalau saya lihat kembali, 13 bulan lebih dari cukup untuk saya rasa kesal terhadap perbuatan saya ini dan saya tidak ingin melihat penjara lagi.



"Bukan sahaja itu, waktu yang kehilangan bersama keluarga saya... saya tak sanggup melaluinya lagi," bisiknya sambil air mata mula muncul di hujung kelopak matanya.



Sewaktu di penjara beliau ditugaskan sebagai 'cookie,' atau penghantar makanan kepada banduan dan juga mengumpul semula dulang terpakai.



Pernah satu ketika, beliau ditugaskan menghantar lebih 100 bungkusan makanan di seluruh blok sel enam tingkat sebanyak tiga kali sehari sambil memakai alat perlindungan peribadi.



Beliau menceritakan tugasnya yang payah, mengangkat bungkusan yang berat ke setiap sel, di mana beliau harus membongkok untuk membuka pintu kecil di bawah pintu sel dan kemudian menolak dulang makanan ke dalamnya.



"Saya tak tahu kerja itu begitu sukar, namun saya lebih rela melakukan itu daripada berkurung dalam sel sewaktu pandemik," katanya.



Keadaan di dalam sel ketika itu boleh membuatnya hilang kestabilan mental, tambahnya.



Cik N kini sedang melalui CPB dan merupakan penerima bantuan khidmat Pengurusan Kes Fitrah (FCM) sejak tamat tempoh hukuman dalam penjaranya itu Februari lalu.



Menerusi bantuan FCM, beliau berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dalam sebuah syarikat logistik setelah menerima rujukan oleh pertubuhan Reben Kuning Singapura.



Beliau juga dibantu Fitrah untuk memohon pinjaman daripada Mendaki untuk membiayai yuran tuisyen anak bongsunya melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan dan kewangan di sebuah universiti tempatan.



Namun, apa yang sangat dihargainya ialah bantuan Fitrah dalam mempererat dan menyokong pembinaan semula hubungan beliau bersama keluarganya sesudah keluar dari penjara, terutama anak-anaknya yang terjejas oleh kesalahan ibu mereka dan ketidakhadirannya.



Salah satunya ialah menyertai program 'Equine Experience' di Turf Club Singapura, satu kerjasama antara Fitrah dengan Corporate Alliance for Good Ltd (CAforGood) Mac lalu yang membolehkan menjalin hubungan semula.



"Saya kira hidup saya sangat untung kerana mempunyai suami yang rela menunggu saya keluar dan sangat bersabar menjaga keluarga ketika saya berada dalam (penjara)," kata Cik N.



"Pada mulanya, anak bongsu saya sangat terjejas akibat kesalahan saya, namun kini kami baik-baik sahaja. Saya bersyukur mempunyai keluarga yang selalu memberi sokongan kepada saya," tambahnya.



Suaminya, seorang pemandu kereta privet 56 tahun, yang tidak ingin namanya disiarkan, berkata dengan jujur yang beliau kecewa dengan perbuatan isterinya itu.



"Namun, awak harus lihat ke hadapan dan tidak berpaling ke belakang lagi," katanya kepada Cik N.



"Inilah yang perlu awak jalani atas kesilapan awak dulu. Kami perlukan awak di rumah, dan akhirnya sekarang awak sudah dibenarkan pulang. Kami sangat berbesar hati dan sangat bersyukur awak berada di rumah lagi," tambahnya.




"Tiada keluarga di luar sana yang sempurna... Namun, kita harus melakukan yang terbaik untuk keluarga kita dan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.



Anda mungkin telah mendengar tentang satu kes baru-baru ini membabitkan belia semuda 14 tahun, ditangkap kerana menyeludup dadah. Ramai orang, termasuk saya terkejut dengan laporan ini dan ia satu trend yang membimbangkan.



Ini menegaskan lagi kepentingan sebuah institusi keluarga yang teguh dan mempunyai hubungan rapat."



- Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >