Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

HIKMAH RAMADAN

Belajar dari guru yang diiktiraf agar faham Quran, sunah sebenar

ars
Apr 20, 2022 | 05:30 AM



DALAM usaha memahami Al-Quran dan sunah Nabi Muhammad saw, masyarakat harus mempunyai guru yang dapat memberikan panduan serta kepastian daripada kalangan asatizah tempatan yang berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



Ketua Jabatan Pendidikan dan Al-Quran, Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Ustazah Nurul 'Izzah Khamsani, berkata dalam tazkirah Hikmah Ramadan yang disiarkan radio Warna:



"Ada bahayanya jika kita cuba memahami sendiri agama tanpa berpandukan guru yang betul, kerana boleh jadi fahaman kita kurang tepat atau salah dan tidak ada guru yang dapat menegur dan memperbetulkan kita.



"Kita mendengar bagaimana sebahagian individu tersasar perjalanannya kerana salah faham akan maksud Al-Quran dan sunah hingga menjadi radikal dan sebagainya."



Dalam tazkirah sepanjang Ramadan atas inisiatif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) itu, Ustazah Nurul 'Izzah turut menekankan pentingnya mempunyai guru betul yang dapat memberi panduan sebenarnya.



"Di negara kita, guru-guru yang ingin kita jadikan panduan hendaklah yang berdaftar di bawah ARS. Ini penting kerana guru-guru atau asatizah ini insya-Allah dapat membimbing kita dalam memahami ajaran Islam dengan benar.



"Antara kepentingan mendapat panduan daripada guru yang benar ialah supaya kita tidak tersasar daripada memahami maksud Al-Quran dan sunah yang sebenar hingga menjadi radikal atau mempunyai pemahaman agama kurang tepat.



"Sebagai contoh, mengenai salah faham tentang maksud tawakal. Ada orang tidak ingin mengambil langkah-langkah keselamatan sebagai usaha mengelakkan diri daripada terkena wabak atau penyakit, misalnya tidak mahu berubat, atau mengambil vaksin dan tidak mematuhi arahan keselamatan hingga boleh memudaratkan diri sendiri dan juga orang lain.



"Oleh itu, perlulah kita kembali kepada ajaran agama kita di mana Al-Quran mengajar kita tidak mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan," kata beliau.



Ustazah Nurul 'Izzah turut mengajak masyarakat memahami Islam melalui cara betul, dengan mempunyai guru yang betul supaya apa yang kita pelajari dan amalkan diterima dan diredai oleh Allah swt.



Menurutnya lagi, Al-Quran menjadi panduan bagi segenap aspek kehidupan Mukmin kerana Al-Quran ibarat kompas bagi pengembara.



"Andai hilang kompas itu, maka akan terkapai-kapailah si pengembara mencari arah tuju untuk sampai ke destinasinya.



"Dia mungkin nampak di mana terletaknya jalan, namun dia tidak akan tahu apakah jalan itu benar-benar bakal membawa dirinya ke destinasi sebenar.



"Begitu jugalah halnya dengan Al-Quran. Ia adalah kompas bagi kehidupan kita di dunia ini. Andai kompas ini gagal difahami dengan baik dan sempurna, maka besar kemungkinan manusia itu akan terus meraba-raba dalam mencari jalan kebenaran buat kehidupannya.



"Allah swt memerintahkan dan mendidik orang-orang beriman agar menjadi insan berakhlak mulia. Nilai-nilai murni yang juga universal, seperti sikap berkata benar, amanah, jujur berakhlak mulia, semuanya terdapat dalam Al-Quran,'' ujar Ustazah Nurul 'Izzah.



Nabi Muhammad saw, yang merupakan contoh ikutan sepanjang masa, digambarkan oleh isteri baginda Saidatina Aisyah ra dalam katanya bahawa 'akhlak baginda saw adalah Al-Quran', iaitu apa yang diajar oleh Al-Quran merupakan akhlak baginda Nabi saw yang baginda terapkan dalam kehidupan hariannya.



"Sebab itulah panduan asas dalam kehidupan kita ialah Al-Quran dan As-Sunah, iaitu kitab Allah dan sunah Nabi kita'' ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >