Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belajar dari rumah bagi semua sekolah rendah, pendidikan khas dari 27 Sep - 6 Okt

Sep 19, 2021 | 05:30 AM



SEMUA sekolah rendah dan sekolah pendidikan khas akan menjalani pembelajaran dari rumah dengan sepenuhnya mulai 27 September ini hingga selesai Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 6 Oktober kelak.



Langkah ini diambil di tengah-tengah lonjakan kes Covid-19 di negara ini.



Dalam kenyataannya semalam, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata, langkah itu juga dilaksanakan ke atas sekolah Pendidikan Khas (SPED) yang menawarkan kurikulum kebangsaan.



"Ini akan melindungi murid lebih muda kita dengan lebih baik, yang secara perubatan belum lagi layak untuk menerima vaksinasi," kata MOE.



"Ini untuk mengurangkan risiko penularan yang berlaku di sekolah dan mengurangkan bilangan murid yang dikenakan Arahan Kuarantin (QO) atau Cuti Ketidakhadiran (LOA) sebelum menduduki peperiksaan," kata kementerian itu semalam.



Peperiksaan PSLE tahun ini akan bermula pada 30 September dan tamat pada 6 Oktober.



Aturan serupa dilakukan tahun lalu menjelang permulaan peperiksaan kertas bertulis untuk PSLE.



Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing dalam satu catatannya di Facebook semalam berkata:



"Murid-murid kita sedang menduduki peperiksaan nasional mereka di tengah-tengah keadaan yang mencabar - mari kita semua mainkan peranan kita untuk menyokong mereka dan melindungi masyarakat sekolah kita."



Sekolah akan kekal dibuka untuk pelajar yang memerlukan sokongan tambahan semasa tempoh HBL.



Ibu bapa yang tidak dapat bekerja dari rumah atau mencari aturan jagaan alternatif boleh mendekati sekolah anak-anak mereka untuk mendapatkan bantuan.



Tadika, khidmat jagaan tadika dan pusat jagaan pelajar MOE akan beroperasi seperti biasa.



Murid-murid digalak melakukan ujian swab Ujian Pantas Antigen (ART) di rumah sebelum kembali ke sekolah mengikut tarikh ditetapkan.



Ini untuk memberi masa bagi mengambil ujian swab ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) yang mengesahkan jangkitan sekiranya perlu.



PCR adalah wajib sekiranya murid diuji positif bagi swab ART atau ketika mereka menerima dua keputusan ART berturut-turut yang tidak sah.



Murid darjah enam digalak melakukan ujian swab ART mereka sama ada pada 27 atau 28 September, manakala murid darjah satu hingga lima digalak diuji sama ada pada 4 atau 5 Oktober.



MOE menggesa semua murid dan kakitangan untuk terus mengamalkan kebersihan peribadi yang baik, mematuhi langkah pengurusan selamat dan mengamalkan tanggungjawab sosial.



Kementerian itu berkata ia akan menetapkan langkah tambahan untuk memastikan sekolah selamat, di mana yang perlu.



Peralihan ke HBL muncul di tengah-tengah satu lagi gelombang jangkitan Covid-19 di Singapura, yang dijangka tidak lama lagi mencapai 1,000 kes baru dalam sehari.



Menteri Kanan Negara (Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, berkata di Parlimen pada Selasa lalu, 367 kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah usia 12 tahun merangkumi 0.06 peratus semua jangkitan setempat.




SEKILAS ATURAN



Semua murid sekolah rendah dan sekolah Pendidikan Khas (SPED) harus menjalani pembelajaran dari rumah mulai 27 September hingga 6 Oktober.



Berikut adalah aturan bagi murid sekolah rendah menjelang PSLE:



  • Darjah enam:

- 25-29 September: Cuti belajar PSLE

- 30 September-6 Oktober - Duduk peperiksaan PSLE



  • Darjah satu hingga lima:

- 27 September - 6 Oktober - HBL



Murid digalak menjalani ujian swab ART di rumah sebelum kembali ke sekolah. Berikut adalah tarikh ujian:



  • Darjah enam:

Sama ada 27 atau 28 September 2021



  • Darjah satu hingga lima:

Sama ada 4 atau 5 Oktober 2021




"Murid-murid kita sedang menduduki peperiksaan nasional mereka di tengah-tengah keadaan yang mencabar - mari kita semua mainkan peranan kita untuk menyokong mereka dan melindungi masyarakat sekolah kita."
- Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >