Belajar di rumah, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:08
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Suatu Ketika di Singapura
Berita Harian SoSedap: Sokong kedai makan halal tempatan kita dan menangi baucar $100 Takashimaya!
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat3

'PEMUTUS LITAR'

Belajar di rumah

Ibu dapat habiskan masa kualiti bersama anak-anak, selia pelajaran mereka
Apr 09, 2020 | 05:30 AM

Semalam merupakan hari pertama murid sekolah rendah dan menengah serta pelajar institut pendidikan tinggi (IHL) memulakan pembelajaran dari rumah ekoran langkah pemutus litar yang memerintahkan semua sekolah untuk ditutup bagi menyekat penularan virus Covid-19. Di bawah langkah itu juga, pekerja yang bertugas dalam khidmat tidak penting perlu bekerja dari rumah lantas menyebabkan ramai keluarga di Singapura membuat penyesuaian bagi melaksanakan kerja dan pembelajaran di rumah. Wartawan HARITH MUSTAFFA dan NATASHA MUSTAFA meninjau beberapa keluarga setempat tentang persiapan mereka dan cabaran yang dihadapi sepanjang sebulan ini.

SEBAGAI seorang ibu yang bekerja sepenuh masa, pelaksanaan 'pemutus litar' merupakan peluang emas bagi Cik Nadira Mohd Ardi meluangkan lebih masa bersama anak-anaknya.

Menurut ibu enam anak itu, sebelum ini, bapa mentua dan pembantu rumah telah menjaga anak-anaknya di rumah semasa beliau bekerja.

Dengan adanya aturan bekerja dari rumah baru-baru ini, ibu berusia 34 tahun itu dapat menyesuaikan diri dengan tugas dan tanggungjawabnya sebagai ibu di rumah.

"Sebenarnya saya baru sahaja bekerja semula pada Februari lalu setelah tidak bekerja sepenuh masa selama lima tahun... bagi membantu suami saya menyara keluarga kami.

"Jadi kebelakangan ini saya tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak saya kerana saya sering bekerja lewat," jelas pekerja eksekutif itu.

Sebagai persiapan untuk anak-anaknya menjalani pembelajaran di rumah (HBL), beliau telah menyediakan jadual untuk mereka ikuti sepanjang hari.

Bermula dari 8.30 pagi, anak sulung dan anak keduanya yang masing-masing di peringkat darjah tiga dan dua, akan bersiap sedia bersama peralatan teknologi maklumat seperti komputer riba atau telefon pintar untuk menjalani HBL hingga 12 tengah hari sebelum makan tengah hari.

Mengongsi lebih lanjut, bekas guru peingkat menengah itu berkata, ini juga memberi peluang baginya untuk melihat kemajuan anak-anaknya di sekolah.

"Selain pelajaran dalam talian, guru-guru mereka telah memberi mereka kertas kerja yang perlu dilakukan pada waktu lain untuk melengkapkan pembelajaran seharian.

"Tetapi saya juga sudah menyediakan buku penilaian tambahan untuk anak-anak saya.

"Apabila kami semua di rumah, saya dapat memantau pelajaran mereka dan juga menilai tahap pemahaman mereka bagi subjek-subjek yang dipelajari," katanya.

Rutin ini juga disediakan untuk anak ketiganya, berusia tujuh tahun, yang juga seorang anak autistik serta anak keempatnya yang berusia empat tahun.

Kata Cik Nadira, oleh kerana mereka memerlukan pengawasan tambahan semasa pembelajaran di rumah, jadual rutin itu membantunya untuk menguruskan masa bagi pembelajaran semua anaknya yang bersekolah.

Walaupun beliau dapat meluangkan lebih masa bersama anak-anaknya, beliau juga menghadapi beberapa cabaran.

"Jika saya di tempat kerja saya hanya perlu melakukan tugas seharian saya seperti biasa tanpa tugas tambahan.

"Manakala, di rumah pula saya adalah seorang cef yang memasak makanan anak-anak, seorang guru yang mengajar mereka dan juga perlu teruskan pembersihan rumah.

"Kadangkala, saya terpaksa bekerja di luar waktu kerja saya untuk menghabiskan tugas seharian," katanya.

Namun, Cik Nadira tetap bersyukur atas aturan semasa ini.

Sebagai seorang ibu kepada enam anak lelaki yang masih kecil, ia adalah penting baginya untuk menjaga dan mendidik anak-anaknya.

"Kebelakangan ini, anak saya lebih banyak berkongsi dan bercakap bersama saya kerana kami bersama di rumah dan saya menghargai detik keemasan ini.

"Benar bahawa kerjaya saya amat penting tetapi jika boleh, saya juga ingin melakukannya sambil anak-anak saya membesar.

"Jika ada peluang untuk meneruskan kerja saya dengan aturan seperti ini, setelah keadaan sudah pulih, saya akan teruskannya," ujar Cik Nadira.


#keranakorona

Dalam tempoh 'circuit-breaker' dan bekerja di rumah #wfh ini, ramai yang perlu mengikuti rutin dan cara baru untuk melakukan kerja harian… atau demi menghilangkan rasa bosan!

Apakah yang anda lakukan?

Kongsi gambar atau video anda di rumah dengan #keranakorona dan tag kami di @beritahariansg untuk berpeluang menangi hadiah menarik.

Nota: Keputusan penganjur adalah muktamad

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map