Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belajar sepanjang hayat kian penting dalam ekon tidak menentu: DPM Heng

Turut iktiraf usaha Mendaki perkasa belia bentuk masa depan lebih baik, sumbang kepada masyarakat
Jul 01, 2021 | 05:30 AM



ASAS pendidikan yang kukuh penting untuk mempersiap belia mengharungi cabaran masa depan, namun ia perlu dilengkapkan dengan sikap terbuka terhadap pembelajaran sepanjang hayat, terutama sekali dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.



Peri penting keupayaan menyesuaikan diri dengan pantas jelas dilihat melalui kesan krisis pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan beberapa perubahan struktur yang menjejas pekerjaan dan kehidupan ramai, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.



Namun, Encik Heng berkata pandemik Covid-19 juga membuka peluang-peluang baru, terutama sekali dalam sektor membangun seperti teknologi info-komunikasi (ICT) dan sains komputer.



Justeru, dalam ucapannya di Simposium Pendidikan 2021 anjuran Yayasan Mendaki semalam, Encik Heng berkata usaha seluruh masyarakat diperlukan untuk membantu belia memanfaatkan peluang yang ada serta mengejar aspirasi mereka demi menambah nilai kepada kehidupan masyarakat dan persekitaran.



Menambah, beliau berkata badan bantu diri seperti Yayasan Mendaki terus berperanan penting dalam usaha memperkasa belia demi membentuk masa depan yang lebih baik untuk Singapura.



"Dengan kemajuan pengetahuan dan teknologi yang bertambah pesat, apa yang dipelajari di sekolah tidak akan mencukupi. Kita perlu pelajari kemahiran baru untuk mendapat akses kepada pekerjaan baru," katanya.



Encik Heng menambah pekerja tidak lagi boleh menjangka bekerja dengan kemahiran yang tidak dipertingkat sepanjang hayat mereka, dan perlu memastikan mereka terus mempunyai kemahiran yang sesuai mengikut perubahan ekonomi.



"Kita perlu berfikir jangka panjang dan biasakan diri dengan pembelajaran sepanjang hayat. Saya galakkan semua, terutama sekali mereka yang baru masuk alam pekerjaan untuk bersabar dan berdaya tahan dalam membina kemahiran jangka panjang," kata Encik Heng.



Beliau menggesa individu supaya meneroka potensi penuh sesebuah pekerjaan dan bukan hanya gaji permulaan yang ditawarkan kerana meskipun ada sektor tidak menawarkan gaji tinggi, ia mungkin menyediakan pelbagai peluang meningkatkan kemahiran yang boleh dimanfaatkan.



Sementara itu, Encik Heng turut menekankan pentingnya sokongan masyarakat untuk membolehkan golongan belia mengejar aspirasi mereka.



Beliau memuji usaha Mendaki yang telah mewujudkan inisiatif serta wadah untuk belia menyumbang kepada masyarakat, antaranya dengan membuka peluang menjadi mentor dalam masyarakat.



Menurut Encik Heng, masyarakat Melayu/Islam telah menunjukkan kemajuan yang baik dan ini diharap dapat terus mendorong ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.



Simposium Pendidikan tahun ini, yang dihadiri pemimpin masyarakat, ibu bapa dan pendidik, antara lain membincangkan definisi kejayaan dan tenaga kerja masa depan.



Ia turut disertai Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, dan pengarah Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Christine Goh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >