Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Belanjawan $109b dilulus; pelbagai isu dikemuka termasuk rapat jurang sosial

Mar 12, 2022 | 05:30 AM



PARLIMEN semalam meluluskan belanjawan pemerintah sebanyak $109 bilion bagi tahun kewangan akan datang selepas perbahasan selama 73 jam tentang dasar fiskal pemerintah dan anggaran perbelanjaan kementerian.



Antara isu yang dikemukakan termasuk isu kemampanan, sokongan bagi pekerja khususnya pekerja bergaji rendah, kompak sosial, pendidikan, penjagaan kesihatan serta usaha merapatkan jurang ketidaksamaan dan membina perusahaan Singapura lebih kukuh.



Semasa menyampaikan ucapan penutup perbahasan Belanjawan dan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen semalam, Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, berkata 66 Anggota Parlimen (AP) tampil berucap sepanjang dua setengah hari bagi perbahasan mengenai kenyataan Belanjawan.



Ini diikuti dengan tujuh hari perbahasan COS dengan 639 ucapan dikemukakan oleh AP buat kementerian yang berbeza.



Tambahnya, sekitar 130 soalan Parlimen turut dijawab dalam tempoh dua minggu lalu.



"Ini merupakan jumlah penyertaan tertinggi dalam tempoh lima tahun lalu meskipun jumlah lebih rendah AP yang dapat menghadiri Parlimen (akibat terjejas dengan Covid-19)," ujarnya.



AP dijangkiti Covid-19 semasa bahas Belanjawan antara yang tarik perhatian



Virus Covid-19 yang sedang menular tidak mengenal warna parti, dengan AP daripada parti pemerintah dan parti pembangkang turut dijangkitinya sepanjang dua minggu lalu.



Antara mereka yang dijangkiti dan tidak dapat menghadiri Parlimen termasuk Cik Indranee sendiri serta Cik Carrie Tan (GRC Nee Soon); Cik Cheng Li Hui (GRC Tampines); Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) dan Cik He Ting Ru (GRC Sengkang).



Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Hoon Hian Teck, turut dijangkiti.



Beberapa AP yang merupakan kontak rapat individu yang dijangkiti Covid-19 pula mengambil Cuti Ketidakhadiran (LOA) sebagai langkah berjaga-jaga.



Cik Indranee berkata ini kali pertama virus itu menjejas Parlimen meskipun Singapura sudah menghadapi pandemik ini selama lebih dua tahun. Ini merupakan antara sebab yang menjadikan Belanjawan tahun ini luar biasa dan tidak dapat dilupakan, katanya.



Cik Indranee turut menarik perhatian bahawa Belanjawan tahun ini dibentangkan dengan berlatar belakangkan perubahan iklim dan risiko iklim yang menjadi lebih penting hari demi hari.



Sedang Parlimen mula membahaskan Belanjawan itu, dunia juga berubah dengan krisis di Ukraine.



"Ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa kemerdekaan, hak menentukan nasib sendiri dan kedaulatan wilayah adalah berharga dan tidak boleh diambil mudah... serta mengapa negara kecil seperti Singapura harus terus memperjuang dan mendukung aturan antarabangsa yang berdasarkan peraturan dan berprinsip.



"Berlatar belakangkan landskap ini, kami membahaskan dan meluluskan antara Belanjawan paling bersifat transformatif sejauh ini, menuju ke arah menjadi Singapura yang lebih adil, hijau, inklusif dan progresif secara keseluruhan," ujarnya.



Antara lain, Cik Indranee berkata Belanjawan ini mengesahkan sokongan bagi pekerja, khususnya pekerja berpendapatan rendah, menerusi inisiatif seperti Model Gaji Progresif (PWM), Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS) dan langkah mempertingkat skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS).



Pemerintah juga sedang mempercepat usaha beralih menjadi masyarakat lebih hijau dan mampan, dengan semakan pelan iklim negara ini serta menetapkan matlamat yang lebih tinggi. Selain reformasi dalam dasar pendidikan dan penjagaan kesihatan, pemerintah juga akan menggandakan usaha merapatkan jurang ketidaksamaan bagi memastikan tiada orang ketinggalan serta memberi tumpuan pada pentingnya institusi keluarga dengan menetapkan tahun ini sebagai Tahun Meraikan Keluarga Singapura (YCF).



Dengan lebih ramai pembangkang di Parlimen, Cik Indranee berkata perbahasan yang diadakan juga lebih bersemangat.



Sementara perbahasan yang bersemangat adalah baik, beliau menarik perhatian pentingnya AP tetap tertib baik di dalam mahupun di luar Dewan.



Awal minggu ini, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, memohon maaf selepas diminta melakukan demikian setelah beliau mendakwa Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, menghalangnya daripada menanyakan soalan semasa perbahasan di Parlimen.



Cik Indranee turut mengulangi kedudukan pemerintah terhadap langkah menaikkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), bahawa ia adil dan progresif, serta tidak akan menjejas golongan berpendapatan rendah disebabkan skim Baucar GST (GSTV) tetap sementara warga Singapura yang lain akan meraih manfaat daripada Pakej Jaminan bernilai $6.6 bilion.



"Semua orang menyumbang tetapi mereka yang lebih berkemampuan menyumbang lebih banyak. Mereka yang kurang berkemampuan juga menyumbang tetapi jumlahnya kurang dan mereka akan mendapat lebih banyak, dan ini dapat memastikan beban cukai tetap boleh ditangani semua orang," ujarnya.



Tambahnya, pemerintah kekal dengan langkah melindungi rizab negara, dengan menggunakan pendapatan rizab ini secara adil - 50 peratus bagi generasi ini dan 50 peratus bagi generasi akan datang.



Parti Pekerja (WP) pula mempunyai pendekatan berbeza, dengan semua AP parti itu menolak kenaikan GST dan sebaliknya mengusul langkah mengenakan cukai bagi golongan yang kaya, syarikat besar atau menggunakan lebih banyak dana rizab, kata Cik Indranee.



Namun daripada perspektif pemerintah, adalah terlalu awal untuk mengubah cukai korporat kerana ia bergantung pada peraturan yang berubah-ubah seperti inisiatif Hakisan Dasar dan Peralihan Untung (BEPS 2.0) serta mungkin menyebabkan bakat meninggalkan negara ini.



"Selepas perbahasan ini, adalah baik kita memperjelas dua kedudukan yang berbeza ini supaya orang ramai boleh mendapatkan persepsi yang lebih bermakna tentang erti sebenar usulan yang berbeza ini," ujar Cik Indranee.



Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata Belanjawan 2022 mempersiap Singapura bagi masa akan datang.



Tambahnya, ini bukan Belanjawan yang mudah tetapi ia akan mengukuhkan kompak sosial Singapura.



Merujuk kepada video memerang yang dilihat dekat Istana yang tular di media sosial baru-baru ini, Encik Lee berkata beliau menghargai langkah kakitangan Istana, Lembaga Taman Negara (NParks), polis dan orang awam untuk membantu mereka hidup bersama masyarakat Singapura dengan selamat dalam sekitaran bandar ini.



"Keprihatinan gotong-royong bagi memerang ini merupakan metafora bagi masyarakat yang sedang kita bina. Peluang bagi semua orang, bersiap sedia bagi situasi yang tidak dijangkakan dan sebuah masyarakat yang penyayang," ujar Encik Lee yang turut mengucapkan terima kasih kepada warga Singapura bagi keyakinan dan sokongan mereka menerusi laman Facebook beliau semalam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >