Pemerintah akan terus memperluas sokongan bagi membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) mendakap digital, untuk menyahut cabaran pasaran perniagaan yang dijejas teknologi baru.
Lebih khusus lagi, pemerintah akan terus memberi subsidi sehingga 70 peratus bagi menampung kos mendakap digital, termasuk dalam keselamatan siber dan kebijaksanaan tiruan, kata Menteri Kewangan Encik Heng Swee Keat pada Isnin (18 Feb).
Bantuan ini akan diberikan menerusi program SMEs Go Digital, yang diumumkan pada 2017.
“Kami akan memperluas jumlah dan jenis huraian digital yang dimampui dan yang telah diluluskan… bagi menggalak pendakapan teknologi dalam kalangan SME,” kata Encik Heng.
Buat masa ini, skim itu telah membantu sekitar 4,000 daripada 200,000 SME di Singapura dalam usaha menggunakan automasi. Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah memperuntuk sekitar $80 juta bagi tempoh empat tahun bermula April 2017.