Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belanjawan 2020: 10 perkara yang anda harus tahu

Feb 18, 2020 | 08:56 PM



PELBAGAI langkah untuk menangani cabaran jangka pendek seperti wabak koronavirus dan perkembangan ekonomi jangka panjang diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat hari ini (18 Feb).



Antaranya, satu pakej $4 bilion untuk membantu syarikat menangani aliran tunai dan mengekalkan pekerja, serta pakej $1.6 bilion untuk membantu warga dengan perbelanjaan harian di tengah-tengah wabak koronavirus sekarang.



Lebih banyak bantuan jangka panjang turut diumumkan termasuk satu pakej $6 bilion untuk membantu warga menangani kesan kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada masa akan datang dan sejumlah $8.3 bilion yang akan dibelanjakan untuk memajukan dan merubah ekonomi bagi tempoh tiga tahun mendatang.



Berikut sekilas pengumuman Belanjawan 2020:

1. GST TIDAK DINAIKKAN PADA 2021





Kenaikan kadar GST daripada 7 kepada 9 peratus tidak akan dilaksanakan tahun depan.



Encik Heng pertama kali mengumumkan rancangan untuk menaikkan GST daripada 7 peratus kepada 9 peratus, dalam Belanjawan 2018. Langkah itu akan dilaksanakan antara 2021 dengan 2025.



Semasa membentangkan Belanjawan tahun ini, Encik Heng mengumumkan Pakej Jaminan GST bernilai $6 bilion yang akan diperkenal apabila GST dinaikkan kelak dengan kebanyakan isi rumah di sini akan menerima bayaran mencukupi untuk mengimbangi sekurang-kurangnya lima tahun perbelanjaan GST tambahan.



Semua dewasa warga Singapura akan mendapat bayaran antara $700 dengan $1,600 sepanjang tempoh lima tahun.



 



2. BANTUAN BAGI SEMUA ISI RUMAH SEMASA WABAK KORONAVIRUS





Encik Heng mengumumkan Pakej Bantuan Keluarga bernilai $1.6 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua warga Singapura berusia 21 tahun ke atas.



Mereka akan menerima bayaran tunai sekali sahaja sebanyak $300, $200 atau $100, bergantung pada gaji masing-masing, tahun ini.



Semua ibu bapa warga Singapura yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia 20 tahun ke bawah tahun ini juga akan mendapat bayaran tambahan $100 tunai.



Semua warga Singapura berusia 21 tahun ke atas yang tinggal di flat HDB satu atau dua bilik, serta tidak memiliki lebih daripada satu hartanah, juga akan menerima baucar barangan dapur berjumlah $100 setahun bagi tahun ini dan tahun depan.



Bantuan lain yang akan disediakan termasuk rebat Baucar GST – U-Save seganda lebih banyak berbanding biasa menerusi satu bayaran khas. Isi rumah lebih besar dengan lebih lima orang juga akan menerima rebat tambahan.



 



3. MEMBANTU SYARIKAT KURANGKAN KOS GAJI





Syarikat akan mendapat sokongan untuk membiayai kos gaji mereka ketika ini.



Satu skim baru, Skim Bantuan Pekerjaan, dan Skim Kredit Gaji yang dipertingkat akan membantu pekerja terus kekal dalam pekerjaan mereka dan membantu syarikat menangani aliran tunai mereka, sebagai sebahagian Pakej Penstabilan dan Bantuan bernilai $4 bilion.



Skim Kredit Gaji, yang bertujuan membantu syarikat dengan usaha transformasi mereka dan menggalak majikan berkongsi hasil daya penghasilan dengan pekerja, akan turut dipertingkat, dengan siling pendapatan dinaikkan daripada $4,000 kepada $5,000 bagi kenaikan gaji pada 2019 dan 2020.



 



4. MEMBANTU SYARIKAT DENGAN ALIRAN TUNAI





Pakej Penstabilan dan Bantuan turut merangkumi langkah membantu syarikat menangani aliran tunai semasa keadaan ekonomi yang sukar dan situasi wabak koronavirus sekarang.



Oleh itu, semua syarikat yang membayar cukai akan mendapat rebat cukai pendapatan korporat, sebanyak 25 peratus daripada jumlah cukai yang perlu dibayar, sehingga $15,000 bagi setiap syarikat, tahun ini.



Penyewa dan pemajak hartanah yang diuruskan pemerintah juga boleh berbincang dengan agensi berkenaan tentang bayaran sewa yang fleksibel seperti bayaran ansuran.



 



5. BANTUAN TAMBAHAN BAGI SEKTOR PALING TERJEJAS DEK KORONAVIRUS





Lima sektor yang paling terjejas dek wabak koronavirus – pelancongan, penerbangan, runcit, khidmat makanan serta khidmat teksi dan kereta sewa privet – akan mendapat bantuan tambahan bagi kos operasi dan aliran tunai mereka, selain untuk mengekalkan dan melatih semula pekerja.



Rebat cukai hartanah juga akan diberi bagi beberapa komponen hotel dan apartmen khidmat yang berlesen serta lokasi Mesyuarat, Insentif, Persidangan, dan Pameran (Mice).



Selain itu, pegerai di pusat penjaja makanan dan pasar yang diuruskan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan diberi pengecualian sewa bagi sebulan, dengan agensi pemerintah lain pula akan memberi pengecualian sewa setengah bulan bagi penyewa komersial mereka.



 



6. SOKONGAN TAMBAHAN BAGI PERUBAHAN DAN PERTUMBUHAN EKONOMI





Sejumlah $8.3 bilion akan diperuntuk bagi tempoh tiga tahun untuk memperkukuh usaha Singapura mengubah dan memperluas ekonomi.



Sokongan bagi syarikat di setiap peringkat pertumbuhan akan diperkukuh demi memperdalam keupayaan mereka.



Ini termasuk tambahan kepada Ekuiti SG Syarikat Pemula Niaga, yang memperuntuk lagi $300 juta sebagai pemangkin pelaburan privet bagi start-up teknologi mendalam (deep-tech) dalam sektor baru seperti perkilangan lanjut dan teknologi agri-makanan.



Skim GoDigital SME yang bertujuan membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) membina keupayaan digital juga akan diperluas, merangkumi keperluan 23 sektor di bawah Pelan Perubahan Industri (ITM), berbanding 10 sebelum ini. Antara sektor baru yang akan memanfaatkan perubahan ini ialah jagaan kesihatan dan perkilangan makanan.



Geran Huraian Produktiviti juga akan memperuntuk sokongan lebih luas termasuk khidmat perundingan, dan bilangan huraian khusus bagi sektor juga akan ditambah.



Pakej Transformasi Perusahaan juga akan dilancarkan, termasuk program perubahan untuk menyokong pemimpin perniagaan di SME berpotensi yang dianggap boleh mencapai pertumbuhan.



 



7. SOKONGAN LEBIH LUAS BAGI PENDIDIKAN, DARI PERINGKAT PRASEKOLAH





Pelajar prauniversiti daripada keluarga berpendapatan rendah akan mendapat lagi $100 menerusi Skim Bantuan Kewangan Kementerian Pendidikan, dengan jumlahnya dinaikkan daripada $900 kepada $1,000.



Semua pelajar akan menerima subsidi pengangkutan lebih tinggi dan bagi pelajar sekolah menengah, subsidi makanan di sekolah lebih tinggi.



Pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sepenuh masa dari keluarga pendapatan paling rendah pula akan menerima subsidi 100 peratus bermula 2020.



Ini tidak termasuk dermasiswa bagi pelajar dari keluarga pendapatan pertengahan dan pendapatan rendah, yang akan bertambah $200 setahun.



Kos membiayai dermasiswa bagi pendidikan lanjutan ini akan bertambah daripada $148 juta kepada $198 juta setahun.



Bagi peringkat prasekolah, pemerintah akan membelanjakan lebih $2 bilion setahun bagi beberapa tahun akan datang, peningkatan seganda berbanding 2018.



 



8. LANGKAH BANTU PEKERJA PERTENGAHAN USIA KEKAL BERDAYA KERJA





Setiap warga Singapura berusia 25 tahun ke atas akan mendapat tokokan Kredit SkillsFuture sebanyak $500 yang boleh digunakan dari 1 Oktober ini sehingga 31 Disember 2025.



Mereka yang berusia 40 hingga 60 tahun pula akan mendapat tokokan tambahan sebanyak $500.



Satu pakej baru yang dinamakan Pakej Bantuan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture juga akan diperkenal untuk menggandakan jumlah penempatan pekerjaan bagi warga dalam lingkungan usia itu sehingga sekitar 5,500 orang setahun, menjelang 2025.



 



9. SKIM BANTU WARGA EMAS





Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan memperkenal Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan dari 2021 hingga 2025 bagi warga Singapura berpendapatan rendah hingga pertengahan, berusia di antara 55 dengan 70 tahun yang belum berjaya mencapai Jumlah Asas Persaraan.



Di bawah skim ini, pemerintah akan memadankan setiap dolar tokokan tunai yang dibuat kepada Akaun Persaraan CPF mereka, sehingga $600 setahun.



Sekitar 250,000 warga Singapura berusia 65 tahun ke atas juga akan mendapat lebih bantuan dengan peningkatan kepada Skim Ihsan Senja mulai 1 Januari 2021.



Selain itu, satu geran baru yang dinamakan Geran Pengamal Awal bagi Pengambilan Pekerja Lanjut Usia akan membantu syarikat yang menaikkan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja sebelum undang-undang berkuat kuasa.



 



10. USAHA TANGANI PERUBAHAN IKLIM





Satu dana baru yang dinamakan Dana Perlindungan Kawasan Pantai dan Banjir akan ditubuhkan dengan suntikan awal berjumlah $5 bilion, yang boleh ditokok kemudian.



Flat HDB juga akan melaksana Program Bandar Hijau HDB untuk mengurangkan penggunaan tenaga, mengitar semula air hujan dan pendinginan.



Sementara itu, Encik Heng juga menggariskan rancangan untuk menjadikan sektor pengangkutan Singapura lebih mesra alam.



 



* Artikel ini telah disemak bagi menambah ketepatannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >