Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belanjawan mesra keluarga sebagai tunggak utuhkan negara

Feb 16, 2023 | 05:30 AM



BELANJAWAN 2023 boleh disifatkan sebagai Belanjawan murah hati.



Banyak aspek yang menjadi keprihatinan warga Singapura daripada kos sara hidup yang tinggi, kesukaran membeli rumah, kecukupan dana persaraan hingga cabaran ibu bapa muda disentuh oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Encik Lawrence Wong dalam Belanjawan 2023.



Boleh dikatakan, Belanjawan 2023 cukup padat dan menyeluruh dalam menyediakan sokongan dan bantuan tambahan bagi menangani keprihatinan keluarga selama ini.



Setelah tumpuan diberikan sejak dua tahun lalu dalam memerangi Covid-19, Belanjawan kali ini kembali memberi fokus dalam isu-isu yang dekat di hati warga tempatan.



Isu kos sara hidup lebih tinggi menjadi tumpuan ramai warga yang merasakan kesan inflasi dan kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) apabila membeli barangan terutama bahan makanan atau menjamu selera di luar.



Akur bahawa inflasi akan kekal tinggi sekurang-kurangnya sehingga separuh kedua tahun ini, Encik Wong membentangkan bantuan tambahan bagi membantu keluarga di sini.



Bayaran Khas Kos Sara Hidup (COL) antara $200 dengan $400 bagi semua warga Singapura berusia 21 tahun dan ke atas yang layak, dan sokongan tambahan Bonus Warga Emas COL antara $200 dengan $300 bagi warga emas berusia 55 tahun dan ke atas yang layak di bawah Pakej Jaminan, cukup membantu.



Ini di samping banyak bantuan lain seperti peningkatan skim Baucar GST (GSTV) tetap dan Baucar CDC.



Tetapi, warga tempatan tidak boleh mengharapkan bantuan menangani inflasi yang berterusan seperti dinyatakan oleh Encik Wong.



"Saya berharap warga Singapura faham ia tidak dapat dikekalkan secara fiskal untuk bergantung kepada sokongan pemerintah tahun demi bagi menangani inflasi,'' katanya.



Beliau menambah Singapura harus menekankan penyusunan semula ekonomi dan transformasi, membantu perniagaan meningkatkan daya penghasilan dan membantu pekerja meningkatkan kemahiran mereka dalam setiap peluang.



Kejutan terbesar dalam Belanjawan 2023 adalah inisiatif menggalak kesuburan dan penjagaan anak, yang cukup menyeluruh dan menunjukkan komitmen pemerintah untuk meningkatkan kesuburan penduduk.



Langkah-langkah untuk menyokong keluarga muda dan menggalakkan keibubapaan adalah murah hati merangkumi lebih banyak sokongan tunai dalam bentuk Bonus Bayi yang lebih tinggi, peningkatan caruman pemerintah kepada Akaun Pembangunan Kanak-Kanak(CDA), dan cuti bapa yang dibayar pemerintah yang digandakan.



Ini diharap dapat meningkatkan jumlah kadar kesuburan keseluruhan penduduk di Singapura yang masih di tahap rendah mencapai 1.12 pada 2021, berbanding paras sebelum pandemik sebanyak 1.14 pada 2019.



Membangunkan keluarga akan menjadi sukar jika tempat tinggal masih menjadi tanda tanya.



Justeru, belanjawan kali ini juga menyediakan bantuan tambahan bagi membantu pasangan yang mempunyai anak untuk membeli flat buat kali pertama dan pasangan berusia 40 tahun dan ke bawah membeli flat pertama mereka.



Ini memandangkan terdapat keluhan disuarakan oleh warga yang ingin membeli flat jualan semula tetapi harganya terlalu tinggi.



Harga flat jualan semula HDB meningkat lagi pada Januari sebanyak purata 1.4 peratus berbanding Disember 2022, menurut perangkaan terbaru gerbang hartanah SRX dan 99.co pada 9 Februari lalu.



Encik Wong mengumumkan bahawa lebih banyak sokongan akan diberikan kepada keluarga yang ingin membeli flat jualan semula buat kali pertama.



Bagi keluarga yang layak dan ingin membeli flat jualan semula 4 bilik atau yang lebih kecil, Geran Perumahan CPF akan dipertingkatkan kepada $30,000. Bagi keluarga yang layak dan ingin membeli flat jualan semula 5 bilik atau lebih besar, Geran Perumahan CPF akan dipertingkatkan kepada $10,000.



Bersama dengan Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) dan Geran Perumahan Berhampiran, keluarga-keluarga yang layak boleh menerima geran sehingga $190,000 apabila membeli flat jualan semula.



Sedang kadar kesuburan kekal rendah, penduduk yang semakin tua pula meningkat.



Ini meningkatkan keprihatinan mengenai kecukupan dana persaraan individu.



Oleh itu, Encik Wong mengumumkan kenaikan siling gaji bulanan CPF kepada $8,000 menjelang 2026, dari $6,000. Ia akan dilaksanakan secara bertahap mulai September 2023.



Meskipun langkah ini dijangka meningkatkan kos perniagaan, ia merupakan langkah penting agar warga tempatan lebih mandiri dalam menampung hari persaraan mereka.



Kesemua daya usaha yang diumumkan ini mengambil kira perubahan trend demografik penduduk di Singapura dan dilaksanakan bagi mengutuhkan lagi institusi keluarga di Singapura.



Dengan keluarga yang kukuh, dapatlah warga menjadi lebih teguh untuk menjalani tugas dan terus membantu mengembangkan ekonomi negara.



Mereka juga lebih bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.



Seperti kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad:



"Kalau keluarga kuat, tekal dalam menghadapi pelbagai cabaran keluarga dan pekerjaan dan sebagainya, negara juga akan kuat,'' kata Encik Masagos, ketika mengulas mengenai Belanjawan itu.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >