Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BELANJAWAN 2021

Belanjawan terus tangani cabaran ketidaksamarataan

Ekonomi dapat tumpuan selain golongan keluarga dan pekerja berpendapatan rendah agar mereka kekal utuh harungi krisis serta bangkit lebih kukuh di masa hadapan
Feb 16, 2021 | 05:30 AM



BELANJAWAN negara yang bakal dibentangkan hari ini dijangka memberikan bantuan lebih khusus bagi menangani beberapa cabaran termasuk ketidaksamarataan yang berlaku dalam masyarakat akibat pandemik Covid-19, serta pasaran buruh yang masih lemah ekoran pekerja yang masih belum mendapat pekerjaan.



Golongan keluarga dan pekerja berpendapatan rendah akan terus mendapat tumpuan pemerintah dalam memastikan mereka kekal utuh dalam mengharungi krisis ini serta bangkit lebih kukuh di masa hadapan.



Beberapa skim bantuan mungkin diperhalusi bagi memastikan golongan ini terus mendapat bantuan bagi meningkatkan kemahiran dan memanfaatkan pertumbuhan dalam sektor-sektor baru, menurut beberapa pengamat.



Di samping itu, sektor-sektor yang masih terjejas teruk seperti pelancongan dan penerbangan dijangka terus mendapat bantuan.



Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat, akan membentangkan Belanjawan Negara tahun ini dalam sekitaran ekonomi yang lebih baik dari tahun sudah.



Ekonomi negara yang dijangka tumbuh 4-6 peratus tahun ini setelah ekonomi mengecapi perangkaan yang amat lemah - iaitu penguncupan 5.4 peratus tahun lalu.



Kesan pandemik itu masih terus dirasai oleh beberapa golongan masyarakat dan pekerja kerana pemulihan sektor tidak setara.



Walaupun pendapatan isi rumah median susut sebanyak 2.4 peratus, golongan berpendapatan rendah di bawah 20 peratus paling teruk terjejas. Golongan 10 peratus paling bawah mendapati pendapatan mereka susut 6.1 peratus.



Belanjawan dibentangkan tahun lalu cuba menangani ketidaksamarataan ini tetapi ia belum mencukupi disebabkan terdapat golongan berpendapatan rendah yang kehilangan pekerjaan, dan pekerja yang bertukar kepada pekerjaan yang memberikan gaji lebih rendah atau pekerjaan dalam ekonomi gig.



"Pandemik ini telah meningkatkan jurang antara golongan rentan dengan golongan yang berada. Kita lihat di sebalik kemelesetan terburuk tahun lalu, harga hartanah terus meningkat. Mereka yang memiliki hartanah dan ekuiti sejagat akan terus menambah kekayaan mereka tetapi terdapat golongan yang kurang berada akan terus terjejas. Jika pemerintah tidak berhati-hati dalam menangani fabrik sosial ini, ia akan menjadi satu masalah di masa hadapan,'' kata mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan Pengerusi ITL Corporation, Encik Zulkifli Baharudin, ketika dihubungi semalam.



Bersetuju, Anggota Parlimen (AP) GRC Choa Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berpendapat bahawa Belanjawan Negara ini akan menangani dua jurang utama yang timbul akibat krisis iaitu jurang sosial dan jurang digital.



"Keluarga berpendapatan rendah akan terus diberi sokongan agar mereka tidak ketinggalan dan kekal utuh, dan dapat menyesuaikan dengan perubahan yang berlaku,'' ujarnya.



Tahun lalu, pemerintah mengumumkan Pakej Penjagaan dan Sokongan (CSP) yang menyediakan bantuan kepada keluarga untuk menampung sebahagian kos perbelanjaan dan Dana Bantuan Kewangan Sementara (TRF) yang menyediakan bantuan kewangan sekali sebanyak $500 kepada mereka yang memerlukan bantuan segera.



CSP membentuk 70 peratus daripada bantuan yang diterima isi rumah, dengan golongan berpendapatan rendah menerima tahap sokongan lebih tinggi menerusi Bayaran Khas Daya Kerja dan Baucar Runcit yang membantu menampung perbelanjaan harian mereka.



Skim-skim yang mengurangkan kesan Covid-19, seperti TRF, Geran Bantuan Covid-19 (CSG) dan Skim Bantuan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS).



Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), yang memberi sokongan bagi mengekalkan pekerja setempat, mungkin diperhalusi.



Pandemik Covid-19 telah mempercepatkan gangguan terhadap ekonomi dan sektor misalnya dalam bidang teknologi yang menyebabkan beberapa pekerjaan mungkin terhapus.



Pekerja berpendapatan rendah yang tidak ditingkatkan kemahiran mungkin akan terus kehilangan pekerjaan dan mendapati sukar mendapat pekerjaan baru kerana tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan.



"Peluang yang mencukupi harus disediakan bagi golongan berpendapatan rendah, menyediakan mereka sokongan latihan dan pengambilan pekerja,'' kata pakar ekonomi DBS, Encik Irvin Seah.



Sokongan bagi menggalak golongan masyarakat dan firma memanfaatkan pendigitalan akan terus diberi tumpuan kerana pandemik Covid-19 telah mempercepatkan pendigitalan.



"Masyarakat kita telah menunjukkan penyesuaian dalam bidang pendigitalan. Kita telah menyesuaikan diri dalam usaha pendigitalan dari segi tempahan solat Jumaat dan wakaf.



"M Kuasa Tiga (M3) akan terus mendekati keluarga dan pekerja dalam usaha mencari pekerjaan, peluang meningkatkan kemahiran dan pembangunan kerjaya,'' kata Encik Zhulkarnain.




BAGAIMANA MENONTON BELANJAWAN?



  • Ucapan Belanjawan akan disiarkan secara langsung di laman web Belanjawan Singapura di www.singaporebudget.gov.sg dan laman Facebook Kementerian Kewangan (MOF)

  • Maklumat terkini akan dimuat naik oleh MOF, Reach dan PA di laman web atau saluran media sosial mereka

  • Orang ramai boleh beri pandangan menerusi pelbagai wadah di dalam talian, termasuk mikrosit Reach Budget 2021 dan laman Facebook Reach Singapore

  • Reach juga akan adakan dua sesi perbincangan Belanjawan di dalam talian dalam bahasa Inggeris pada 19 Februari dan dalam bahasa Mandarin pada 20 Februari

  • Reach juga akan sediakan ruang mendengar fizikal di serata Singapura untuk mendapatkan pandangan orang ramai tentang Belanjawan 2021


BELANJAWAN BAGI 'BANGKIT LEBIH KUKUH BERSAMA'



"Oleh kerana Covid-19 telah mempercepat perubahan dan mewujudkan perubahan baru, kita juga harus mengharungi perubahan ini untuk berkembang dalam dunia pasca-Covid. Keupayaan kita untuk merancang ke depan, walaupun di tengah-tengah krisis, telah menjadi ciri utama Kisah Singapura. Oleh itu, saya memutuskan bahawa 'Bangkit Lebih Kukuh Bersama' menjadi nama Belanjawan - kita mesti terus fokus untuk keluar dari krisis ini dengan lebih kuat, dan menjalin kerjasama untuk menghadapi cabaran yang akan datang, sebagai satu masyarakat. Untuk muncul lebih kuat, kita mesti mencari cara baru untuk bekerjasama, berinovasi dan mengubah ekonomi kita. Kita mesti memperkuat kompak sosial kita dan saling menyokong terutama mereka yang mempunyai keperluan yang lebih besar. Dalam titik merah kecil ini, kita mesti memperkuat usaha menangani perubahan iklim, dan membina rumah yang mampan untuk generasi akan datang. Yang penting, kita harus terus berhati-hati dalam perbelanjaan kita, dan meninggalkan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita. Bersama-sama, mari kita berkomitmen untuk membangun Singapura yang bertenaga dari segi ekonomi, bersatu secara sosial, sekitaran yang mampan dan berdisiplin secara fiskal."
- DPM Heng Swee Keat dalam catatannya di Facebook semalam.



HARAPAN BELANJAWAN...



"Pandemik ini telah meningkatkan jurang antara golongan rentan dengan golongan yang berada. Kita lihat di sebalik kemelesetan terburuk tahun lalu, harga hartanah terus meningkat... Mereka yang memiliki hartanah dan ekuiti sejagat akan terus menambah kekayaan mereka tetapi terdapat golongan yang kurang berada akan terus terjejas.''
- Mantan NMP dan Pengerusi ITL Corporation, Encik Zulkifli Baharudin



"Masyarakat kita telah menunjukkan penyesuaian dalam bidang pendigitalan. Kita telah menyesuaikan diri dalam usaha pendigitalan dari segi tempahan solat Jumaat dan wakaf. M Kuasa Tiga (M3) akan terus mendekati keluarga dan pekerja dalam usaha mencari pekerjaan, peluang meningkatkan kemahiran dan pembangunan kerjaya.''
- Anggota Parlimen (AP) GRC Choa Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.



"Peluang yang mencukupi harus disediakan bagi golongan berpendapatan rendah, menyediakan mereka sokongan latihan dan pengambilan pekerja.''
- Pakar ekonomi DBS, Encik Irvin Seah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >