Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Beli pokok eksotik di acara lelongan maya kian popular

Gaya Hidup
31
0

GAYA HIDUP: HOBI

Beli pokok eksotik di acara lelongan maya kian popular

Feb 08, 2021 | 05:30 AM

BOSAN dengan pokok yang dijual di tapak semaian tanaman di sini?

Kini anda boleh mendapatkan pokok-pokok lebih unik di jualan lelong yang diadakan di dalam talian, namun dengan harga yang lebih mahal.

Jualan lelong seperti itu telah menjadi semakin popular di rantau ini sejak tahun lepas, lapor The Straits Times.

Chatuchak Market Plant di Bangkok biasa mengadakan jualan lelong pokok-pokok eksotik di laman Facebooknya, yang disasarkan kepada pembeli dari luar negara, termasuk Singapura, yang mencari jenis tumbuh-tumbuhan yang tidak terdapat di tapak semaian tanaman tempatan.

Di Singapura pula, Gardens by the Bay dan Sindo Plant, sebuah tapak semaian tanaman yang beroperasi dalam talian, telah memulakan jualan lelong secara maya untuk memenuhi permintaan penggemar pokok hiasan yang semakin meningkat.

Cik Lee Xiaoyi, seorang pengurus kanan operasi konservatori di Gardens by the Bay, berkata respons terhadap jualan lelong yang diadakan untuk pokok spesimen sangat menggalakkan.

Tempat tarikan itu telah mengadakan jualan lelong pertamanya yang disiarkan secara penstriman langsung di Facebook pada Oktober dan menampilkan 39 pokok hiasan daripada 11 jenis.

Jualan lelong itu telah menarik 1,100 penonton dan kesemua pokok itu habis dijual.

Sejak itu, mereka mengadakan empat jualan lelong lain.

Jualan lelong itu kini diadakan setiap dua minggu pada Jumaat di Instagram Gardens by the Bay dan hanya sejenis pokok ditawarkan pada setiap satu masa.

Setakat ini, harga tertinggi yang pernah dicapai ialah $600 - dua kali ganda daripada harga asal - untuk pokok jenis philodendron verrucosum berukuran 1.5 meter. Harga bidaan akan naik $10 dan jumlah bidaan dihadkan kepada $100 seorang.

Walaupun ini biasa berlaku di tapak semaian tanaman, jenis pokok yang ditawarkan pihak Gardens by the Bay adalah unik dari segi ketinggian dan mempunyai 15 helai dedaun bersaiz tapak tangan.

Cik Lee berkata pokok-pokok yang ditawarkan dalam jualan lelong itu adalah spesimen yang sangat unik dan digemari pengumpul pokok.

Jenis pokok ini juga berbeza daripada apa yang ditawarkan di kedai dalam talian taman tarikan itu.

Cik Lee menjelaskan bahawa mereka yang membuat bidaan bukanlah pemilik tumbuhan biasa, tetapi penggemar berpengalaman yang mengumpulkan pokok.

Di Sindo Plant Singapore, yang mempunyai tapak semaian tanaman di Indonesia, jualan lelong secara penstriman langsung bermula sejak Disember lalu di laman Facebook mereka dan menawarkan tanaman hiasan dari ladang pembekalnya di Jawa Timur.

Jualan lelong diadakan dua kali sehari - tengah hari dan sekitar 8 malam - dari hari Ahad hingga Jumaat.

Dek respons positif yang mereka terima, Encik Niko Soe, pengarah syarikat itu, berkata mereka merancang mengadakan lebih banyak sesi pada tengah hari, jadi mereka yang bekerja boleh mengikut sama pada waktu makan tengah hari mereka.

"Untuk jualan lelong ini, kami memilih jenis pokok yang popular di kalangan penggemar pokok di Singapura dan kami mulakan dengan harga yang bagus," kata Encik Soe, 28 tahun, yang menjalankan syarikat itu dengan rakan kongsi dan juga pengarahnya, Encik Steve Stanley, 41 tahun.

"Pembida boleh memilih dan mebuat perbandingan pokok semasa jualan lelong itu dan membuat rundingan harga dengan hos kami, yang juga peladang di sini, secara langsung."

Pembida boleh membeli pokok dengan segera pada harga yang disenaraikan atau membuat bidaan dari $1 sehingga harga yang disepakati telah dicapai.

Tetapi mereka yang mahu membawa masuk pokok-pokok dari negara lain harus mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Taman Negara (NParks).

Mereka perlu mempunyai sijil kesihatan tanaman atau sijil 'phytosanitary' dari negara yang dieksport dan permit import dari Nparks, antara lain.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3