Belia ditahan bawah ISA selepas dikesan rancang serang sinagog, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Belia ditahan bawah ISA selepas dikesan rancang serang sinagog

Individu pertama ditahan di bawah ISA kerana rancang serangan yang didorong konflik Israel-Palestin: Shanmugam
Mar 11, 2021 | 05:30 AM

SEORANG belia Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan ini selepas dikesan merancang melakukan serangan ke atas masyarakat Yahudi di sinagog atau rumah ibadah mereka di sini.

Amirull Ali, 20 tahun, merancang untuk membuat serangan menggunakan pisau di Sinagog Maghain Aboth di Waterloo Street. Dia merancang melakukannya selepas tamat sesi ibadah beramai-ramai sepertimana yang dilakukan masyarakat itu setiap Sabtu.

Amirull merupakan individu pertama yang ditahan di bawah ISA kerana merancang serangan yang didorong terutamanya oleh konflik Israel-Palestin, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam.

Bercakap kepada media semalam, Encik Shanmugam berkata Amirull ditahan bukan kerana menunjukkan sokongannya terhadap warga Palestin tetapi kerana rancangannya mahu membunuh individu yang tidak bersalah.

"(Anda) dibolehkan bersimpati dengan warga Palestin, tapi jangan sampai berlakunya pembunuhan.

Discover Malay Home Based Businesses

" Jika rancangannya (Amirull) berjaya, akibatnya tidak terhad kepada nyawa yang terkorban dalam kejadian itu tetapi akan mencetuskan bibit permusuhan antara bangsa dan agama berbeza di Singapura," katanya.

Encik Shanmugam ditemui media selepas menghadiri pertemuan antara pemimpin masyarakat Yahudi dan Islam di Sinagog Maghain Aboth semalam.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam kenyataannya berkata siasatannya menunjukkan belia itu, yang sebelum ini menjalani Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) di bawah SAF, menjadi radikal dan bertindak sendiri.

Menurut ISD, Amirull juga telah membuat persiapan dan rancangan terperinci untuk serangan itu, termasuk mengunjungi tapak sinagog itu sekurang-kurangnya dua kali antara Ogos dan Oktober 2019 untuk mengenal pasti kawasan yang boleh digunakan dalam serangannya.

Dia juga telah memuat turun gambar sistem vaskular manusia yang digunakan untuk mengenal pasti bahagian yang boleh ditikam supaya mangsa mati secepat mungkin akibat pendarahan yang banyak.

Malah, dia juga berlatih sendiri di rumah untuk menikam menggunakan replika pisau buatan sendiri.

Amirull juga telah menyuarakan sokongan serta keinginannya untuk ke Palestin bagi menyertai sayap tentera Hamas, Izz ad-Din al-Qassam Brigades (AQB), yang dipercayai memperjuangkan hak warga Palestin.

Dalam kenyataannya, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, Ketua Eksekutif Muis, Encik Esa Masood dan Ketua Pusat Harmoni, Cik Liyana Rosli Asmara, telah bertemu pemimpin Yahudi setempat di sinagog itu untuk mengesahkan hubungan persaudaraan serta komitmen bersama dalam menolak sebarang bentuk ekstremisme dan radikalisme.

Dr Nazirudin berkata pemimpin agama kededua masyarakat akur bahawa keamanan serta keharmonian yang dinikmati di Singapura adalah 'hadiah' yang tidak sepatutnya diambil remeh.

"Sebagai orang Yahudi dan Muslim, kita menerima warisan Nabi Ibrahim yang kita kongsi bersama dan sebagai warga Singapura, kita berpegang pada ikrar kita bersama untuk melindungi satu sama lain dan membina tempat tinggal yang aman buat semua orang.

"Inilah komitmen kita dan kita akan melakukan segala yang kita mampu untuk melindunginya," kata Mufti.

Semasa bertemu pihak media di sinagog itu, Encik Esa pula berkata dengan pelbagai krisis di serata dunia, individu perlu menyumbang kepada penyelesaian jangka panjang.

"Kita perlu salurkan usaha terhadap penyelesaian yang lebih konstruktif, bekerjasama dengan agensi kemanusiaan yang boleh memberikan bantuan sebenar kepada mereka yang terjejas oleh krisis seperti itu," katanya menukil contoh seperti Yayasan Rahmatan Lil Alamin.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pula berkata meskipun penahanan terkini membuktikan pengganasan dan risiko radikalisasi secara sendiri terus wujud di Singapura, lebih penting adalah untuk terus bertenang dan komited membanteras ancaman ini sebagai satu negara.

"Kita telah bekerja keras untuk memperkukuhkan perpaduan sosial dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama kita. Dari itu, dan kita tidak boleh membiarkan ancaman radikalisasi memecah-belahkan kita," katanya.

Ketua Rabai Singapura, Rabai Mordechai Abergel, berkata masyarakat Yahudi di Singapura menghargai keharmonian serta toleransi yang dipaparkan antara masyarakat berbeza di sini serta menekankan pentingnya usaha untuk terus mengeratkan persaudaraan itu.

"Kami (masyarakat Yahudi) dan rakan-rakan beragama Islam menikmati hubungan persaudaraan yang kukuh di mana kita akan bertemu kerap untuk acara sosial, berbual bersama dan kejadian seperti ini tidak akan menjejas hubungan yang dijalin.

"Apa yang penting adalah untuk memastikan hubungan persaudaraan yang sama dipupuk di peringkat akar umbi juga," ujarnya.


APA KATA MUFTI

"Sebagai orang Yahudi dan Muslim, kita menerima warisan Nabi Ibrahim yang kita kongsi bersama dan sebagai warga Singapura, kita berpegang pada ikrar kita bersama untuk melindungi satu sama lain dan membina tempat tinggal yang aman buat semua orang. Inilah komitmen kita dan kita akan melakukan segala yang kita mampu untuk melindunginya."
- Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

APA KATA RABAI

"Kami (masyarakat Yahudi) dan rakan-rakan beragama Islam menikmati hubungan persaudaraan yang kukuh di mana kita akan bertemu kerap untuk acara sosial, berbual bersama dan kejadian seperti ini tidak akan menjejas hubungan yang dijalin. Apa yang penting adalah untuk memastikan hubungan persaudaraan yang sama dipupuk di peringkat akar umbi juga."
- Ketua Rabai Singapura, Rabai Mordechai Abergel.


Laporan-laporan lain:

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map