Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Belia kumpul rakan sebaya lakukan kerja amal

Setempat
27
0

Belia kumpul rakan sebaya lakukan kerja amal

Tubuh badan tidak meraih keuntungan, ALittleChange dengan tujuan pupuk belia agar bantu memperkasa golongan kurang bernasib baik
Mar 04, 2018 | 05:30 AM

DUA bulan sebelum menduduki peperiksaan GCE Peringkat 'A', sedang pelajar lain bertungkus-lumus mengulang kaji, lain pula yang dilakukan Encik Nur Hazeem Abdul Nasser.

Beliau sibuk memulakan pertubuhan tidak meraih keuntungan, ALittleChange (ALC), yang bertujuan memupuk belia agar dapat membantu memperkasa golongan kurang bernasib baik.

Ditubuhkan pada 2015, ketika Encik Hazeem berada di tahun kedua di Maktab Rendah Anglo-Chinese (ACJC) dengan hanya 10 orang sebagai ahlinya, ALC kini merupakan pertubuhan berdaftar dan mempunyai sekitar 140 sukarelawan.

"Saya dapati apabila kita lakukan kerja sukarelawan di sekolah, terdapat banyak penekanan terhadap pengumpulan dana atau meningkatkan kesedaran terhadap sesuatu.

"Namun, bagi diri saya, apabila kita lakukan projek sedemikian, kita jarang dapat berjumpa dengan masyarakat dan saya rasa hubungan antara manusia ini penting.

"Kita dapat belajar sesuatu daripada orang lain dan daripada cerita mereka," kata beliau yang kini berusia 20 tahun.

Keinginan mahu meneroka aspek kesukarelawanan itulah yang mendorong anak bongsu daripada empat beradik itu menubuhkan ALC.

Beliau mengumpulkan belia-belia daripada institusi lain seperti Maktab Rendah St Andrew's, Institusi Hwa Chong, Politeknik Ngee Ann dan Politeknik Singapura untuk memulakan projek sukarela pertama mereka.

Baru-baru ini, sekitar 40 sukarelawan dari ALC mengagihkan 450 'pakej penjagaan' kepada penduduk di beberapa kawasan rumah sewa sempena Tahun Baru Cina.

Pakej tersebut mengandungi kuih tart nenas yang ditaja pasar raya Sheng Siong serta nota-nota yang ditulis khas sukarelawan.

Projek yang dipanggil 'ALittleChineseNewYear', ia merupakan kali ketiga projek tersebut diadakan sejak tertubuhnya ALC.

Kali ini projek 'ALittleChineseNewYear' dilakukan di dua lokasi iaitu di Jalan Kukoh dan Mei Ling Street.

Kededua tempat tersebut merupakan kawasan perumahan sewa.

Menurut Encik Hazeem, mereka memilih kawasan tersebut kerana mahu fokus terhadap membantu penduduk di rumah sewa satu bilik, yang kebanyakannya merupakan warga emas dan mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.

Meskipun diadakan untuk memeriahkan lagi sambutan perayaan kaum Cina, golongan sukarelawan tidak hanya memberi 'pakej penjagaan' kepada mereka yang berbangsa Cina sahaja bahkan kepada keluarga Melayu dan India di situ.

"Mereka sangat gembira menerima 'hadiah' yang diberi dan saya rasa ini merupakan paparan keharmonian kaum serta keakraban yang mampu dicipta projek sedemikian," tambah anak muda itu yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

"Walaupun mereka tidak menyambut Tahun Baru Cina, pemberian seperti itu dapat menyebarkan kegembiraan dan kemeriahan," ujarnya.

Namun, bagi Encik Hazeem, yang paling penting dalam projek sukarela 'ALittleChangeChineseNewYear' bukanlah hadiah atau pakej yang diagihkan.

"Secara peribadi, ia bukanlah tentang kuih tart yang kita beri. Bagi kami ia lebih kepada cara untuk memulakan perbualan (dengan anggota masyarakat lain).

"Dari situ kita dapat belajar cerita-cerita mereka," kata beliau.

Peluang bertemu dan berinteraksi dengan mereka yang berbeza latar belakang itulah yang dihargai Encik Hazeem.

Hal tersebut juga menjadi pembakar semangatnya untuk terus melakukan kerja-kerja sukarela dan membantu serta mendekati ahli masyarakat kurang bernasib baik, tambah beliau, yang bakal melanjutkan pembelajarannya di Yale-NUS setelah tamat NS.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3