Subuh
5:50
Syuruk
7:07
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:23

Belum ramai pelanggan jamu selera di restoran

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Belum ramai pelanggan jamu selera di restoran

Niaga F&B masih belum rancak walau makan di luar, bersama hingga lima orang dibenarkan sejak sekatan Covid-19 dilonggar
F&B
Aug 15, 2021 | 05:30 AM

PERNIAGAAN di beberapa restoran masih tidak rancak walaupun orang ramai dibenarkan menjamu selera di luar sejak sekatan Covid-19 dilonggarkan Selasa lalu.

Pelanggan disangka akan 'balas dendam' dan keluar berpusu-pusu untuk makan di luar, termasuk alam kumpulan hingga lima orang, tetapi mereka tidak kunjung tiba.

Pemilik Restoran Abu Mubarak Mandi Rice di Tampines, Cik Nora Rustham, ketika dihubungi semalam berkata beliau terkejut perniagaannya lembap dan tidak serancak yang beliau bayangkan.

"Saya ingatkan orang ramai akan berasa ghairah untuk makan luar apabila dibenarkan semula, tapi sebaliknya yang berlaku. Boleh dikatakan restoran saya hampir kosong sepanjang hari sejak Selasa," katanya.

Menurut Cik Nora, perniagaan semasa waktu makan petang dan malam kelmarin - yang biasanya rancak - amat lesu hingga beliau memutuskan tutup kedai lebih awal dari biasa.

Perniagaan semasa waktu makan tengah hari semalam, hujung minggu pertama setelah sekatan dilonggarkan, juga perlahan. Ini berbeza daripada keadaan penuh pelanggan sebelum sekatan dikuatkuasa, katanya.

"Mungkin orang ramai perlukan masa atau mungkin mereka mendapati sukar makan di luar jika ada dalam kalangan mereka belum mendapat vaksin," kata Cik Nora.

Sekatan Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) lebih dua minggu sejak 22 Julai lalu tidak membenarkan orang ramai menjamu selera di luar.

Ia dilonggarkan mulai Selasa lalu bagi membolehkan kumpulan hingga lima orang yang sudah mendapat vaksin Covid-19 sepenuhnya duduk makan semeja di premis makanan dan minuman (F&B).

Di pusat penjaja dan kedai kopi, hanya dua orang dibenarkan duduk semeja tanpa mengambil kira status vaksinasi mereka.

Jurucakap kafe Tash Tish Tosh, Encik Azri Ariffin, juga mendapati bilangan pelanggan yang menjamu selera di restorannya di Kandahar Street dan Marine Cove tidak serancak seperti biasa.

"Dalam beberapa hari lalu ada juga orang datang makan di sini, tapi golongan yang nak balas dendam tak ada pula.

"Tapi ada juga yang tanya apakah kami boleh menerima keluarga mereka yang, contohnya, tiga anggota sudah menerima vaksin sepenuhnya tapi satu baru menerima satu dos.

"Kami terpaksa menolak mereka kerana ini adalah peraturan," ujarnya.

Encik Azri berkata sejak sekatan dilonggarkan, pihaknya telah terpaksa menolak sekitar lapan kumpulan kerana ada dalam kalangan mereka belum menerima vaksin penuh.

Beliau menjangka keadaan lembap ini berterusan hingga sekurang-kurangnya 90 peratus penduduk Singapura sudah menerima vaksin, dan tiada varian baru Covid-19 dikesan di sini.

"Saya rasa warga Singapura takut untuk terus keluar. Perlu masa untuk keyakinan kita dibangunkan semula dan ini cuma dapat dilakukan menerusi vaksinasi dan pengurangan penularan varian Delta," katanya.

Di pusat penjaja, keadaan lebih baik, dengan penjaja melihat lebih ramai orang menjamu selera pada waktu makan pagi, tengah hari dan malam.

"Tapi kami berharap had dua orang semeja dapat ditambah ke lima orang dalam masa terdekat ini memandangkan keadaan sudah agak selamat sekarang," kata pemilik Nur Indah Kitchen di Bedok Corner, Cik Roziah Adon.

Pemilik Aroma Kampung, Cik Siti Khadijah Mukhit, juga berkata bilangan pelanggan di kedai kopi tempat gerainya beroperasi semakin bertambah tetapi belum pulih sepenuhnya.

"Mungkin orang ramai masih berjaga-jaga, atau mendapati sukar makan luar dengan had dua orang semeja yang diletakkan sekarang," katanya.


"Saya rasa warga Singapura takut untuk terus keluar. Perlu masa untuk keyakinan kita dibangunkan semula dan ini cuma dapat dilakukan menerusi vaksinasi dan pengurangan penularan varian Delta."
- Encik Azri Ariffin, Jurucakap kafe Tash Tish Tosh.

"Tapi kami berharap had dua orang semeja dapat ditambah ke lima orang dalam masa terdekat ini memandangkan keadaan sudah agak selamat sekarang."
- Cik Roziah Adon, pemilik Nur Indah Kitchen di Bedok Corner.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3