Bencana alam: S'pura utus kawat takziah kepada Indonesia, Timor-Leste, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Bencana alam: S'pura utus kawat takziah kepada Indonesia, Timor-Leste

Apr 09, 2021 | 05:30 AM

MENTERI Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, telah mengutus surat kepada rakan sejawatnya di Indonesia dan Timor-Leste kelmarin untuk melahirkan ucapan takziahnya selepas kejadian banjir dan tanah runtuh memusnahkan dan meragut nyawa di dua negara itu.

Indonesia dan Timor-Leste dilanda taufan tropika Seroja baru-baru ini, selepas hujan lebat yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh mengorbankan sekurang-kurangnya 113 orang dan menyebabkan puluhan lagi hilang.

Dalam suratnya kepada Menteri Ehwal Luar Indonesia Retno Marsudi, Dr Balakrishnan melahirkan kesedihannya mendengar tentang nyawa yang hilang dan kemusnahan yang berlaku disebabkan banjir dan tanah runtuh di Nusa Tenggara Timur dan Nusa Tenggara Barat minggu lalu.

"Mohon terima ucapan takziah mendalam saya kepada keluarga mangsa dan semua rakyat Indonesia yang kehidupannya terjejas oleh bencana yang mengakibatkan kemusnahan ini.

"Ingatan kami bersama rakyat Indonesia semasa waktu sukar ini. Pemerintah anda sedang menjalankan usaha bantuan dan penyelamatan dengan pantas, dan saya yakin rakyat Indonesia akan mengatasi krisis ini dengan kekuatan dan ketabahan," kata beliau.

Discover Malay Home Based Businesses

Dr Balakrishnan turut melahirkan kesedihannya atas mereka yang terkorban dan kemusnahan yang berlaku akibat banjir di Timor Leste dalam suratnya kepada kepada Menteri Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste Adaljiza Albertina Xavier Reis Magno.

Beliau menambah bahawa pemerintah Singapura akan menyumbang AS$50,000 ($67,028) menerusi Palang Merah Singapura untuk menyokong negara itu dalam usaha bantuan dan menyelamat.

"Saya yakin Timor-Leste akan mengatasi bencana ini dengan kekuatan," kata beliau.

Dalam pada itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya menasihatkan agar rakyat Singapura yang berada dalam kawasan terjejas memantau berita setempat, dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Mereka juga dinasihatkan agar terus berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan mereka.

Rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsul boleh menghubungi talian Pejabat Tugas MFA (24 jam) di talian +65 6379 8800/8855 atau menghantarkan e-mel kepada mfa_duty_officer@mfa.gov.sg.

Mereka yang berada di Indonesia boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Jakarta di talian +62-(21) 2995-0400/+62-811 863-348 atau menghantarkan emel ke singemb_jkt@mfa.sg.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map