Bengkel pupuk kesedaran, galak teknologi bantu kurang upaya

ENCIK Christopher Hills boleh menyunting video menggunakan iPhone dan iPad beliau - tanpa menyentuh alat itu, tetikus atau papan kekunci.

Warga Australia berusia 21 tahun itu, yang dilahirkan dengan palsi serebral jenis atetoid dan lumpuh kedua-dua tangan dan kaki (quadriplegic), mempunyai kawalan terhad ke atas otot dan ucapannya.

Namun, beliau boleh menggunakan otot lehernya dan suis alat dengar yang dipasangkan di kerusi roda untuk menggunakan Switch Control, sebuah alat yang membantu beliau menggunakan alat rekaan Apple.

Beliau dan bapanya, Encik Garry Hills, menunjukkan cara menggunakan Switch Control dan alat lain seperti AssistiveTouch di sebuah bengkel yang dihadiri orang kurang upaya semalam.

Bengkel itu diadakan di Enabling Village di Lengkok Bahru.

Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, turut menghadiri sesi tersebut.

Bengkel tersebut merupakan yang kedua daripada empat bengkel anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA) dan Apple untuk meningkatkan kesedaran dan menggalak penggunaan teknologi bantuan kepada orang kurang upaya.

Ia juga sebahagian daripada usaha pemerintah membina masyarakat inklusif dari segi digital.

Bengkel pertama telah diadakan pada April lalu untuk orang buta.

Sesi seterusnya akan diadakan bagi orang kurang upaya pendengaran dan daya intelek.

Pendaftaran bagi bengkel sedemikian adalah menerusi undangan SG Enable, sebuah agensi yang membantu orang kurang upaya, dan pertubuhan sukarela kebajikan.

Mereka yang berminat mahu menyertai bengkel tersebut boleh menghubungi IMDA bagi menerima maklumat tentang bengkel tersebut.

April lalu, Dr Yaacob mengumumkan pertubuhan kebajikan sukarela (VWO) boleh memanfaatkan lebih banyak geran untuk memperoleh alat teknologi bantuan bagi membantu lebih ramai benefisiari mereka.

Usaha juga sedang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran mengenai teknologi bantuan yang sedia ada dalam alat popular seperti iPad.

Di bawah Skim Enable IT, geran yang diberikan kepada VWO dinaikkan seganda kepada $100,000 bagi setiap projek, dan ini dijangka membantu tambahan 3,000 benefisiari dalam tempoh empat tahun akan datang, meningkat daripada 1,500 sekarang.

IMDA juga bekerjasama dengan syarikat teknologi melatih sekumpulan orang kurang upaya untuk menjadi "duta teknologi bantuan" yang menyebar kesedaran tentang ciri-ciri sedia ada dalam alat popular yang boleh membantu golongan kurang upaya.