Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Berani teroka bidang lain permudahkan usaha cari kerja baru

Jan 25, 2021 | 05:30 AM



KESEDIAAN membuat penyesuaian serta keberanian untuk meneroka bidang baru penting ditonjolkan individu dalam usaha mencari pekerjaan, terutama sekali dalam ekonomi yang terkesan oleh pandemik Covid-19.



Sikap ini serta ciri positif lain seperti tidak terlalu memilih dan bersedia menerima hakikat bahawa keadaan sudah berubah, dititikberatkan majikan dalam proses memilih calon sesuai bagi jawatan yang ditawarkan.



Pegangan seperti ini mampu menarik perhatian walaupun jika individu tersebut kurang pengalaman dalam bidang yang ingin diceburi.



Sementara itu, majikan juga perlu terbuka untuk menerima pekerja yang lebih matang serta mereka yang terpaksa berpindah dari sektor lain.



Demikian menurut beberapa pegawai pengambilan kerja dan penasihat kerjaya yang ditemu ramah Berita Harian semasa pameran pekerjaan dan kemahiran di Wisma Geylang Serai (WGS) semalam.



Pameran tersebut dianjurkan bersama rakan kongsi lain seperti Mendaki Sense dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i).



Menyentuh tentang tawaran pekerjaan dalam keadaan ekonomi pascapandemik ini, Eksekutif Kanan Sumber Manusia di Pertapis, Cik Sahnim Sokaimi, berkata ramai yang tidak sedar bahawa masih banyak syarikat yang sedang mencari pekerja.



Pertapis sendiri menawarkan 10 jawatan kosong, termasuk sebagai pekerja sosial dan pegawai sumber manusia, semasa pameran pekerjaan tersebut.



"Saya rasa tawaran pekerjaan masih banyak tetapi ia masih terpulang kepada individu itu sendiri sama ada mereka rasa ia sesuai dengan jangkaan mereka dan terbuka untuk mencuba.



"Kebanyakan mereka yang saya temui (melalui pameran pekerjaan ini) telah diberhentikan kerja dan mereka bersedia untuk rebut apa jua peluang yang ditawarkan, janji mereka ada pekerjaan," kata Cik Sahnim.



Tambahnya, walaupun tidak mudah mencari calon yang memenuhi semua kriteria yang ditetapkan, contohnya yang mempunyai pengalaman dalam bidang sektor sosial, sikap terbuka dan kesediaan belajar akan dipertimbangkan.



Selain Pertapis, syarikat logistik Bigfoot juga merupakan antara sekitar 20 syarikat serta pertubuhan yang menawarkan peluang pekerjaan atau latihan semasa pameran tersebut.



Menurut pegawai sumber manusia syarikat itu, Encik Derrick Choy, sebanyak 20 jawatan kosong ditawarkan melalui pameran tersebut.



Kebanyakan calon yang ditemuinya biasanya terdiri daripada pekerja berusia lanjut yang diberhentikan kerja, ujarnya.



"Dari segi majikan, mereka perlu lebih terbuka untuk memberi peluang kepada pekerja yang lebih matang. Dari segi pekerja pula, mereka perlu bersedia menerima perubahan dan menyesuaikan diri jika perlu menceburi industri lain," katanya.



Pentingnya sikap terbuka serta keupayaan menyesuaikan diri ini juga ditekankan penasihat kerjaya Mendaki Sense, Cik Mia Maghfirah Nabilah.



Beliau berada di pameran pekerjaan tersebut baru-baru ini untuk berkongsi nasihat serta menjawab pertanyaan mereka yang ingin meneroka peluang pekerjaan atau latihan baru.



"Kita perlu faham pasaran pekerjaan sekarang, perlu terbuka untuk cuba industri lain, walaupun ia di luar zon keselesaan kita.



"Jika individu itu perlu pekerjaan untuk menyara hidup keluarga, mungkin boleh mempertimbangkan menceburi pekerjaan lain sementara menantikan pekerjaan yang diinginkan, sekurang-kurangnya dapat melakukan sesuatu tentang keadaan mereka," kata Cik Mia.



Laporan lanjut: Dulu hobi, kini niaga di rumah sumber pendapatan utama selepas diberhenti kerja




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >