Subuh
5:56
Syuruk
7:17
Zuhur
1:20
Asar
4:41
Maghrib
7:21
Isyak
8:33

Berdikari cari rezeki walau tidak boleh berjalan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Berdikari cari rezeki walau tidak boleh berjalan

Dilahirkan dengan spina bifida, sedia khidmat penghantaran setakat gunakan kerusi roda bermotor, pengangkutan awam
May 01, 2021 | 05:30 AM

MEREKA yang menawarkan khidmat penghantaran selalunya menggunakan motosikal, kereta atau van untuk menghantar barang pelanggan ke seluruh pulau.

Namun, Encik Mohamed Zahid Mohd Yassin hanya bergantung pada kerusi roda bermotornya dan pengangkutan awam.

Dilahirkan dengan spina bifida - sejenis penyakit yang menyebabkan pesakit tidak boleh berjalan - Encik Zahid berkata beliau pernah menggunakan topang serta pendakap kaki untuk berjalan.

Apabila keadaannya bertambah teruk semasa beliau remaja, Encik Zahid mula menggunakan kerusi roda.

Namun, masalah pergerakan tidak pernah menghalang Encik Zahid, 39 tahun, berdikari mencari rezeki dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran atau kurier.

Menceritakan kepada Berita Harian, Encik Zahid berkata idea menawarkan khidmat itu tercetus lima tahun lalu setelah beliau mengalami cabaran mencari pekerjaan sepenuh masa.

Beliau pernah bekerja sebagai pembantu pentadbir dan wakil perkhidmatan pelanggan. Tetapi dengan keadaannya itu, agak sukar bagi beliau mendapat pekerjaan sepenuh masa.

"Laluan tunaupaya (memudahkan pergerakan orang kurang upaya) ke tempat kerja saya amat penting kerana saya menggunakan kerusi roda. Disebabkan itu, pekerjaan yang saya boleh lakukan agak terhad.

"Selain itu, keadaan saya yang sering keluar masuk hospital menjejas pekerjaan saya. Akhirnya, doktor memberi saya memo yang mengatakan saya tidak sesuai bekerja disebabkan keadaan saya," kata Encik Zahid.

Bertekad menjalani kehidupan seperti orang biasa, beliau kemudian mendapat inspirasi ketika melihat ramai orang melakukan pekerjaan penghantaran makanan.

Encik Zahid lalu memulakan Ayeed the Courier - khidmat penghantaran barangan dan pakej kecil ke seluruh Singapura dengan hanya menggunakan kerusi rodanya serta pengangkutan awam.

Beliau menawarkan khidmat penghantaran pada sama hari atau dalam tiga hari.

Bagi penghantaran hari sama, beliau mengenakan bayaran berdasarkan jarak dari tempat barang itu - $6 bagi jarak kurang lapan kilometer, $8 bagi jarak antara lapan kilometer hingga 10 kilometer, dan $10 bagi jarak lebih 18 kilometer.

Bagi penghantaran dalam tiga hari, beliau mengenakan bayaran tetap $5 setiap perjalanan.

Menurut Encik Zahid, kebanyakan pelanggannya ialah perniagaan dari rumah (HBB) kecil kerana kadar bayarannya lebih rendah, dan "niat saya nak bantu mereka".

"Kebanyakan mereka HBB kecil dan tidak mempunyai pendapatan besar daripada jualan mereka. Jika mereka mengambil khidmat penghantaran lain, mungkin tidak berbaloi.

"Oleh kerana saya menggunakan pengangkutan awam, kadar bayaran saya lebih rendah daripada khidmat penghantaran lain," jelasnya.

Meluangkan tiga hingga lima hari seminggu membuat penghantaran amat memenatkan bagi Encik Zahid, namun beliau berasa gembira dapat mencari pendapatan sendiri tanpa bantuan orang lain untuk menyara diri dan sekali gus memperkasa diri.

Beliau meraih pendapatan $30 hingga $50 seminggu.

"Saya jenis tidak tahu duduk diam. Apabila orang ramai tengok keadaan saya, mereka selalu bertanya, 'kenapa awak nak susah-susah kerja, kalau minta bantuan daripada agensi perkhidmatan sosial lebih senang.'.

"Memang saya tahu ada banyak bantuan untuk saya, tetapi saya tahu kebolehan saya dan tahu saya boleh melakukannya sendiri.

"Apabila ada kemahuan, ada jalannya. Bagi saya tidak ada sebarang yang saya tidak boleh lakukan.

"Saya tidak ingin orang bersimpati terhadap saya kerana keadaan saya. Saya ingin mereka melihat saya sebagai insan biasa yang mencari pencarian halal sendiri," ujarnya.


"Memang saya tahu ada banyak bantuan untuk saya, tetapi saya tahu kebolehan saya dan tahu saya boleh melakukannya sendiri. Apabila ada kemahuan, ada jalannya... Saya tidak ingin orang bersimpati terhadap saya kerana keadaan saya. Saya ingin mereka melihat saya sebagai insan biasa yang mencari pencarian halal sendiri."
- Encik Mohamed Zahid Mohd Yassin.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3