Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

AKTIF

'Berdiri' di tengah laut guna papan luncur air

Mar 29, 2018 | 05:30 AM



BAYANGKAN gabungan ini - pemandangan laut biru sejauh mata memandang, dihembus angin kencang dan dipancar cahaya mentari sekali gus bersenam demi mengekalkan kecergasan.



Kalau kombinasi itu terasa menarik, besar kemungkinan kegiatan stand up paddle, atau berdiri sambil mendayung papan luncur air, menjadi kesukaan anda.



Jurulatih Rachel Charis Ng, 42 tahun, jatuh cinta dengan aktiviti itu hampir sedekad lalu semasa meluncur ombak bersama teman di Bali, Indonesia.



Cik Ng, yang juga antara perintis stand up paddling di Singapura, berkata banyak cabaran yang dilalui ketika memperkenal kegiatan itu di sini.



"Permulaannya begitu sukar kerana ramai orang, terutama kenalan saya yang sudah lama meluncur angin atau windsurfing, tidak dapat melihat keunikan stand up paddle berbanding sukan air lain.



"Namun, sejak lima tahun lalu, stand up paddle 'meletup' menjadi trend kerana ramai kian sedar manfaatnya, terutama bagi mereka yang tidak pernah mencuba sukan laut dan ingin melatih kemahiran asas seperti keseimbangan," ujarnya.



Pengarah syarikat Windsurfing, Kitesurfing & Stand Up Paddling Singapore itu ditemui di Taman East Coast baru-baru ini.



Ini juga kali pertama penulis mencuba kegiatan tersebut.



Cik Ng memulakan sesi dengan latihan menunjukkan cara betul mendayung dan menaiki papan luncur air. Selepas 15 minit, masuklah kami ke dalam air.



Penulis diberitahu supaya menolak papan luncur di permukaan air hingga air laut mencecah paras pinggang.



Setelah air laut sampai ke paras pinggang, barulah penulis menaiki papan itu.



Semasa mendayung, penulis diberitahu agar sentiasa meluruskan lengan dan tangan yang memegang bahagian atas pendayung manakala tangan yang memegang bahagian tengah dibengkokkan.



Detik paling sukar ialah permulaan kerana kita harus mendayung sekuat tenaga demi melawan arus kuat berhampiran pinggir laut.



Memburukkan keadaan pada masa itu, angin kencang sedang bertiup sampai laut bergelora.



Namun, selepas mendayung seminit, penulis berjaya melepasi arus deras dan berdiri perlahan menuju ke arah Cik Ng. Beliau berada sekitar 20 meter dari pinggir laut.



Menariknya, semakin jauh mengayuh dari pantai, semakin kurang deras arus laut.



PENGALAMAN INDAH



Sewaktu berdiri di tengah laut biru, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata perasaan yang menyelubung jiwa.



"Seronok, bukan? Rasa bebas!" kata Cik Ng.



Walaupun menggemari kegiatan dalam air seperti berenang, penulis fobia sedikit berada di tengah laut.



Keluasannya dan tidak mengetahui apa yang sedang berenang di bawah permukaan air 'menyemarakkan' lagi fobia.



Namun, sesi tersebut merubah fikiran penulis.



Dengan dorongan Cik Ng, keraguan dan rasa takut digantikan dengan kepuasan.



Penulis rasa seolah-olah berjalan di permukaan air.



Kegiatan stand up paddle bukan sekadar mengenai kepuasan menikmati keindahan alam, malah menjadi senaman menyeronokkan.



Daya tumpuan tinggi diperlukan demi memastikan badan sentiasa diimbang agar tidak terjatuh.



Oleh sebab itu, otot seluruh badan, terutama paha, dimanfaatkan. Otot lengan juga kian sakit semakin lama kita mendayung - bermakna otot 'bekerja keras'.



Ada juga detik laut tidak begitu berombak. Cik Ng memesan supaya berdiri tegak, berehat dan biarkan laut membawa penulis ke depan. Itulah saat paling menyeronokkan.



"Jika ingin berseronok semasa melakukan aktiviti stand up paddle, selalu ingat kata-kata Bruce Lee 'Kosongkan fikiran, jadi tidak berbentuk seperti air... Jadilah seperti air, kawanku'.



"Kriteria mencuba stand up paddling mudah - keghairahan mahu mencuba, tidak berputus asa, mendengar dan mengikuti arahan.



"Anda tidak semestinya perlu ada latar belakang sukan atau tahap kecergasan tinggi.



"Yang penting, anda perlu ada keinginan belajar dan perasaan tidak malu walaupun jatuh beribu kali," ujarnya.



Mereka yang berminat mencuba kegiatan stand up paddle boleh mendapatkan keterangan lanjut di laman www.rachelcharis.com.




Panduan kegiatan 'stand up paddle'



1. Naik papan luncur air hanya apabila air laut sampai ke paras pinggang.



2. Jangan terus berdiri.



3. Dayung ikut cara betul - tangan memegang bahagian atas pendayung sentiasa lurus manakala tangan memegang bahagian tengah pendayung boleh dibengkokkan - hingga jauh dari pinggir pantai.



4. Apabila sudah selesa, letak pendayung di papan, berdiri perlahan lalu capai semula pendayung. Pastikan anda berdiri tegak sebelum terus mendayung.



5. Sentiasa perhatikan perubahan arus supaya dapat menukar arah mendayung dengan cekap. Elakkan terjatuh atau terlalu jauhan dari pinggir pantai.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >