Subuh
5:40
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:35
Maghrib
7:15
Isyak
8:30

Beri menteri pendedahan, pengalaman baru

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

BERITA - ROMBAKAN KABINET

Beri menteri pendedahan, pengalaman baru

PM Lee beri dua sebab rombakan lebih luas dibuat dalam awal penggal pemerintah
Apr 24, 2021 | 05:30 AM

DUA minggu lalu, saya memberitahu anda bahawa kami sedang merancangkan rombakan Kabinet.

Hari ini, saya akan umumkan tentang barisan Kabinet baru. Ia adalah rombakan semula yang lebih meluas daripada biasanya dalam seawal penggal pemerintah ini. Saya ada dua sebab untuk ini.

Pertama, menyusuli Belanjawan 2021, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat akan melepaskan portfolio di Kementerian Kewangan. Kewangan adalah kementerian penting jadi apabila Menteri Kewangan berubah, ia mempunyai banyak kesan.

Kedua, saya juga akan memindahkan Menteri Kesihatan, Tenaga Manusia serta Perdagangan dan Perusahaan. Ini merupakan kementerian barisan depan yang menangani Covid-19 dan kesannya. Saya telah menimbangkan untuk membuat perubahan ini selepas Pilihan Raya Umum tahun lalu. Tetapi kita sedang berada di tengah-tengah Covid-19. Jadi saya memutuskan kita perlu membenarkan menteri-menteri memberi tumpuan untuk memerangi Covid-19 pada masa itu.

Kini keadaan Covid-19 sudah lebih stabil, walaupun ia tidak bermakna sudah berakhir, saya dapat membuat perubahan ini sekarang. Dan dengan perubahan besar ini, terdapat penyesuaian penting lain yang tidak boleh dielakkan terhadap pelantikan.

Maka itu, saya mengambil peluang ini untuk mengerahkan semula beberapa menteri untuk memberi mereka tanggungjawab baru dan mendapatkan pendedahan dan pengalaman baru.

Saya kini akan berkongsi butirannya. Seperti yang saya telah umumkan dua minggu lalu, Heng Swee Keat akan terus menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelarasan bagi Dasar Ekonomi. Beliau juga akan terus memantau Kumpulan Strategi di bawah Pejabat Perdana Menteri yang menyelaraskan dasar kita dan rancangan dalam pemerintah termasuk Yayasan Penyelidikan Nasional.

Sebagai Menteri Kewangan, Swee Keat telah memikul bebanan yang berat, terutama ketika Covid-19 apabila beliau menyampaikan berbilang Belanjawan dalam masa setahun.

Dengan melepaskan (portfolio) Kewangan, ia akan memberinya lebih banyak masa untuk menumpukan kepada agenda ekonomi seluruh pemerintah, termasuk mempengerusikan Majlis Ekonomi Masa Depan dan menerapkan saranan oleh Pasukan Bertindak Bangkit Lebih Kukuh, dalam usaha Majlis ini.

PERUBAHAN

Lawrence Wong akan mengambil alih sebagai Menteri Kewangan. Lawrence telah membantu Swee Keat sebagai Menteri Kedua sejak 2016 jadi beliau mempunyai pengalaman dan adalah padanan semula jadi untuk menjalankan tugasan itu. Selain itu, pasukan MOF tidak berubah. Mengenai Covid-19, Lawrence akan terus mempengerusikan bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian.

Chan Chun Sing akan berpindah ke Kementerian Pendidikan. Chun Sing telah cemerlang dalam memulihkan ekonomi dan mempersiapkan industri dan syarikat kita untuk respons kepada perubahan berstruktur dalam ekonomi global. Ini telah menjadi keutamaan nasional.

Kini saya akan menghantarnya ke pendidikan, di mana beliau akan meneruskan kerja-kerja menteri pendidikan sebelumnya untuk memperbaiki sistem pendidikan kita demi menyerlahkan potensi terbaik dalam diri setiap anak dan pelajar, dan membangunkan warga Singapura muda untuk masa depan.

Gan Kim Yong akan mengambil alih sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan. Kim Yong telah menjadi Menteri Kesihatan untuk hampir sedekad. Beliau telah menjadi orang yang penting dalam memerangi Covid-19, mempengerusikan bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian. Di MOH, beliau melaksanakan banyak pembaharuan jagaan kesihatan penting dan meninggalkan legasi pembaharuan yang signifikan.

MTI adalah kementerian yang penting, terutamanya sekarang. Di MTI, Kim Yong akan memantau pemulihan ekonomi daripada Covid-19 dan meneroka peluang baru untuk mengembangkan ekonomi kita. Beliau sangat sesuai untuk peranan ini kerana beliau sebelum ini merupakan Menteri Tenaga Manusia, dan telah berkhidmat dalam MTI awal dalam kerjayanya sebelum menghabiskan 16 tahun dalam sektor privet.

Ong Ye Kung akan mengambil alih tugas sebagai Menteri Kesihatan.

Beliau telah menangani cabaran-cabaran besar dalam Pengangkutan sejak beliau mengambil alih Pengangkutan daripada Khaw Boon Wan.

Beliau meneruskan peningkatan oleh Boon Wan bagi sistem pengangkutan awam kita.

Sejak Covid-19, Ye Kung telah mengusahakan pembukaan semula sempadan kita dan melindungi status kita sebagai sebuah hab udara dan laut.

Di MOH, beliau akan membangunkan asas kukuh yang Gan Kim Yong telah bentangkan dalam penjagaan kesihatan.

Ye Kung akan mempengerusikan MTF bagi Covid-19, bersama Lawrence Wong.

S. Iswaran akan mengambil alih sebagai Menteri Pengangkutan. Di MCI, beliau telah meningkatkan keupayaan membuat pertimbangan dan kominukasi awam pemerintah dengan ketara, dan membantu kami memahami dan bertindak balas terhadap pandangan dan keprihatinan rakyat.

Di Pengangkutan, beliau akan terus meningkatkan mutu, kemampuan dan kemampanan persekitaran sistem pengangkutan kita.

Satu lagi tugas penting adalah untuk mengekalkan status kita sebagai hab laut dan udara global dalam dunia pasca Covid-19. MOT juga menangani isu kelautan dan ruang udara sensitif yang berterusan melibatkan jiran-jiran kita.

Iswaran juga akan terus memegang jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan di MTI.

Josephine Teo akan menggantikan Iswaran sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan.

Sebagai Menteri Tenaga Manusia, Josephine bertanggungjawab bagi pelbagai dasar, termasuk keselamatan pekerja, hubungan buruh dan kecukupan persaraan.

Di bawah kepimpinannya, kami mencapai konsensus tiga pihak pada pelan tindakan 10 tahun untuk meningkatkan Usia Persaraan dan Usia Pengambilan Kerja Semula

Kami juga membuat pengembangan besar ke atas skim Sokongan Ihsan Senja.

Tahun lalu, dalam kemerosotan Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini, MOM memimpin usaha kami untuk menyokong peluang latihan dan penciptaan pekerjaan setempat.

Pada masa sama, MOM telah berada di barisan hadapan dalam menangani asrama pekerja migran.

Josephine akan meneruskan jawatannya sebagai Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri.

Tan See Leng akan tampil sebagai Menteri Tenaga Manusia.

Sejak beliau dilantik sebagai Menteri Kedua di MOM pada Julai 2020, beliau telah memimpin usaha kami untuk menangani Covid-19 dalam asrama pekerja migran.

Kini beliau akan memikul tanggungjawab penuh di MOM. See Leng juga akan meneruskan tugas sebagai Menteri Kedua di MTI.

Ini akan membantu kami menghubungkan kerja dua kementerian ekonomi penting, terutama dalam menyusun semula ekonomi dan tenaga kerja.

Baki Menteri dan Kementerian tidak berubah.

TANGGUNGJAWAB TAMBAHAN

Josephine Teo akan mengambil alih sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Negara Bijak daripada Vivian Balakrishnan, dan sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber daripada Iswaran.

Edwin Tong akan mengambil alih sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Rakyat daripada Chan Chun Sing.

PEMEGANG JAWATAN POLITIK LAIN

Selain Menteri, saya juga memberi tanggungjawab baru kepada beberapa POH (pemegang jawatan politik) yang lebih baru.

Koh Poh Koon akan menjadi Menteri Negara Kanan di Kementerian Tenaga Manusia, sebagai tambahan kepada pelantikannya di Kesihatan.

Poh Koon telah dipinjamkan ke NTUC sebagai Timbalan Setiausaha Agung sejak 2018.

Setelah berbincang dengan Setiausaha Agung Ng Chee Meng, saya akan menghantar Chee Hong Tat ke NTUC untuk menggantikan Poh Koon.

Hong Tat akan melepaskan jawatannya di MFA, tetapi akan kekal di MOT.

Di MFA, Hong Tat akan digantikan oleh SMS Sim Ann, yang kemudian akan melepaskan portfolio beliau di MCI.

Menteri Negara Tan Kiat How akan menggantikan Sim Ann di MCI.Akhir sekali, Setiausaha Parlimen Rahayu Mahzam akan mengambil jawatan tambahan di MCI.

Semua pelantikan baru berkuatkuasa pada 15 Mei 2021, selepas Sidang Parlimen seterusnya."


KOMEN DPM HENG

- Mengenai Lawrence Wong:
''Beliau bukan baru di MOF (Kementerian Kewangan), setelah menjadi Menteri Kedua sejak 2016. Memandang ke depan, Lawrence akan mempunyai tugas penting untuk terus melabur bagi jangka panjang, sambil mengekalkan disiplin fiskal.''


- Mengenai Chan Chun Sing:
''Beliau seorang timbalan yang berharga semasa saya memimpin pasukan 4G, dan membantu saya memacu perubahan ekonomi sebagai sebahagian daripada Majlis Ekonomi Masa Depan. Pekerjaan dan kemahiran akan menjadi bahagian penting dalam agenda ekonomi kita, dan saya menantikan untuk bekerjasama dengannya apabila beliau di MOE (Kementerian Pendidikan) nanti.''


- Kerjasama pasukan 4G:
''Rombakan itu akan memberi peluang kepada pasukan 4G untuk bekerjasama lebih rapat dalam jawatan baru mereka. Saya berharap anda akan memberi kami sokongan sepenuhnya sedang kami bekerjasama untuk mengatasi Covid-19 dan bangkit lebih kukuh daripada krisis ini.''


KOMEN PM LEE MENGENAI:

Lawrence Wong dan Ong Ye Kung sebagai pengerusi bersama pasukan bertindak Covid-19

''Saya jangkakan mereka akan kerjasama rapat untuk pastikan dasar diselaras dengan baik, dan tiada yang terlepas. Begitulah caranya pasukan perlu kerjasama, dan begitulah caranya Kabinet perlu kerjasama.. agar jika ada masalah timbul, kita atasinya secara menyeluruh.''


Pemindahan Chan Chun Sing ke MOE

''Chun Sing telah cemerlang dalam memulihkan ekonomi kita dan mempersiapkan industri serta syarikat kita untuk memberi respons kepada perubahan berstruktur dalam ekonomi global... Kini saya akan menghantarnya ke (Kementerian Pendidikan), di mana beliau akan meneruskan kerja-kerja menteri pendidikan sebelumnya bagi memperbaiki sistem pendidikan kita untuk menyerlahkan potensi terbaik dalam diri setiap anak dan pelajar, dan membangunkan warga Singapura muda untuk masa depan.''


Josephine Teo selia inisiatif Negara Bijak dan Agensi Keselamatan Siber

''Josephine Teo akan ambil alih dari Iswaran sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan... (Beliau juga) akan ambil alih sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak daripada Vivian Balakrishnan, dan sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber daripada Iswaran.''


Edwin Tong dilantik Timbalan Pengerusi Persatuan Rakyat

''Chan Chun Sing sudah agak lama mengetuai PA. Saya fikir beliau akan sibuk dalam Pendidikan dan beliau juga ada tanggungjawab lain.. Saya fikir lebih baik untuk membahagikan tugas. Dan saya berikan tanggungjawab PA kepada Edwin Tong, yang berada dalam MCCY (Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia). Saya fikir ada sinergi antara tugas MCCY dan PA.''


Tan See Leng sebagai Menteri Tenaga Manusia

''Tan See Leng akan tampil sebagai Menteri Tenaga Manusia. Sejak beliau dilantik sebagai Menteri Kedua di MOM pada Julai 2020, beliau telah memimpin usaha kami untuk menangani Covid-19 dalam asrama pekerja migran. Kini beliau akan memikul tanggungjawab penuh di MOM.''


Tiada jawatan baru untuk Desmond Lee

''Jika anda bercakap dengan Desmond Lee, beliau sudah ada lebih banyak tanggungjawab daripada yang diperlukannya. Beliau bukan sahaja Menteri di MND (Kementerian Pembangunan Negara), tetapi beliau juga.. melakukan usaha pendekatan yang intensif (dalam peranannya sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial). Saya ada idea mengenai apa untuk diberikan Desmond tetapi saya memutuskan untuk menangguhkannya buat masa ini.''

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3